Sabtu, 21 Mac 2009

Hanya Takdir....




Hanya Takd
ir

Tiada lagi yang bertanya
Tiada lagi yang peduli
Malam dan siang serupa
Tiada bulan tiada mentari

Gelap gelita di sini
Sama gelitanya hati
Hidup hari ke sehari
Esok yang indah umpama mimpi

Bebunga yang baru berputik
Berguguran di setiap detik

Di mana tanda setia saudara
Dihimpit derita
Tiada siapa sedia membela

Biar terbatas langkah
Tiada yang menyebelahi
Demi satu amanah semangat membara berapi

Biar tiap ruang darah mengalir
Perjuangan tak berakhir
Bukan dia, bukan kuasa
Penentu segala hanyalah takdir

Artis : Inteam
Lagu : Shamir Supaat & Azman Kassim
Lirik : Habsah Hassan
Baca artikel penuh...

Selasa, 17 Mac 2009

Masihkah kita peduli?

Bagaimana jika yang di dukung itu adalah adik beradik kita sendiri?


Berita berkenaan Palestin semakin 'sejuk', semakin kurang mendapat liputan di akhbar dan televisyen. Tidak seperti beberapa bulan yang lalu. Berita mengenai serangan ke atas Palestin hangat dibicarakan dan menjadi buah mulut semua. Seruan boikot produk Yahudi bergema dengan kuat. Cemuhan dan kutukan terhadap Yahudi hangat dilontarkan. Derma atas nama Palestin mencurah-curah....

Saat kita berteduh selesa, mereka...........

Kini berita itu semakin 'sejuk'. Namun bagaimana dengan kita? Adakah masih lagi peduli? Atau kepedulian kita bermusim, hanya ada apabila kekejaman itu mendapat liputan media? Sedangkan kekejaman Yahudi terhadap umat Islam Palestin tidak pernah surut, malah semakin membara. Setiap hari ada sahaja umat Islam yang terdiri daripada orang awam terkorban dibunuh tentera Yahudi. Cuma berita itu tidak mendapat liputan media.

Masihkah kita peduli? Masihkah sudi menghulur bantuan? Masih berjalankah kempen boikot? Masihkah ada doa kita untuk mereka? Atau sifat kepedulian kita hilang bersama iman yang semakin menipis di hati.....

Mangsa Yahudi tak mengenal umur....


Hanya Takdir

Tiada lagi yang bertanya
Tiada lagi yang peduli
Malam dan siang serupa
Tiada bulan tiada mentari

Gelap gelita di sini
Sama gelitanya hati
Hidup hari ke sehari
Esok yang indah hanyalah mimpi

Bebunga yang baru berputik
Berguguran di setiap detik

Di mana tanda setia saudara
Dihimpit derita
Tiada siapa sedia membela

Biar terbatas langkah
Tiada yang menyebelahi
Demi satu amanah semangat membara berapi

Biar tiap ruang darah mengalir
Perjuangan tak berakhir
Bukan dia, bukan kuasa
Penentu segala hanyalah takdir

Artis : Inteam
Lagu : Shamir Supaat & Azman Kassim
Lirik : Habsah Hassan

Jika kena masanya, bergenang juga airmata mendengar lagu ini.
Baca artikel penuh...

Isnin, 16 Mac 2009

Bermimpi...

Mimpi itu ada macam-macam. Ada mimpi yang gembira, sedih, mengerikan dan banyak lagi jenis-jenisnya. Kalau mimpi ngeri, ada yang kata "tidur tak basuh kaki"...Mimpi dipatuk ular tandanya akan bertemu jodoh, dan banyak lagi...Itu antara yang saya dengar dari orang tua-tua.


Saya masih ingat di tingkatan 6 dahulu, Ustazah Saerah memberitahu mimpi itu antara penyebabnya ialah sesuatu yang kita sentiasa ingat dan berfikir tentangnya. Kalau dalam kepala sentiasa fikir tentang duit, maka mungkin kita akan bermimpi duit. Kalau teringatkan seseorang (mungkin rindu...) maka kemungkinan besar akan bermimpi akan orang tersebut.

Saya mengakui kebenaran tersebut kerana sudah banyak kali terjadi pada diri saya...

Mimpikan seseorang

Saya pernah mimpikan keluarga, terutama ibu di kampung. Memang sebelum mimpi itu memang saya berfikir tentang ibu dan teringat sangat kepadanya. Malah pernah juga bermimpikan ayah yang 'telah pergi'. Mimpikan kawan-kawan juga pernah. Adakalanya tak teringatkan mereka pun, termimpi juga...

Mimpi hal kerja....

Ini sering dialami oleh saya kebelakangan ini. Paling kelakar mimpi mengendalikan mesin fotostat. Hal ini berlaku semasa bekerja di pusat tuisyen. Kebetulan saya mengendalikan mesin fotostat dan banyak sangat bahan yang perlu difotostat minggu tersebut. Akhirnya dalam minggu kesibukan mengendalikan mesin itu, saya bermimpi tentangnya. Entah apa yang saya fotostat dalam mimpi itu tidaklah saya ingat....

Yang terbaru, saya mimpi mengajar dan merotan murid dalam kelas. Mungkin disebabkan kerja saya sebagai seorang guru tuisyen. Malah hari Jumaat yang lepas, saya diterima bekerja di Integrated Islamic School Kota Damansara sebagai guru Bahasa Melayu tahun 3 dan 4. Sabtu dan Ahad pula menjadi fasilitator untuk program motivasi pelajar di Masjid Taman Putra Perdana. 3 hari berturut-turut berjumpa dengan anak-anak kecil cukup membuatkan saya bermimpi mengajar....

Namun saya tidaklah sampai mengigau bercakap-cakap dalam tidur seperti teman sebilik ini yang bercakap saban malam didalam tidurnya.
Baca artikel penuh...

Khamis, 12 Mac 2009

Album Allhu Rabbi - Inteam

Album terbaru oleh inteam ini baru sahaja berada di pasaran. Alhamdulillah berjaya juga menjadi antara pemilik terawal album ini. Album ini menggabungkan semula ahli lama kumpulan inteam. Jadi ahli kumpulan untuk album ini adalah 5 orang.

Inilah kulit albumnya....

Lagu di dalam album ini berjaya membuatkan diri ini bermonolog sendirian, bercakap dengan diri sendiri...

Lagunya bagi saya, Alhamdulillah. Memuaskan hati.

Ini senarai lagunya (diambil dari forum inteam.com.my)

1. Allahu rabbi - Konsep etnik kreatif hindustan - ketuk-ketuk
2. Hamzah asadullah - Pop nasyid - masih ada ketuk-ketuk
3. Hanya takdir - pop orchestra - banyak main vocal
4. Dia Muhammad - Arabic Fusion - etnik
5. Kepastian - Pop ballad- stail inteam dulu-dulu
6. Kemuliaan Quran - Etnik - Melayu Asli - ketuk-ketuk
7. Assyafie - etnik arabic fusion
8. Redha - pop ballad - stail inteam dulu-dulu
9. Asma Allah - Pop ballad - stail Sami Yusuf
10. Kasih sayang - Nasyid Kontemporari.

Saya sangat suka lagu Hanya Takdir yang ditulis oleh Habsah Hassan, penulis lagu yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Lagu ini dedikasi untuk Palestin.
Baca artikel penuh...

Isnin, 9 Mac 2009

Saya menjadi guru...

Tahun 2003, sementara menunggu keputusan peperiksaan STPM, saya telah memohon kerja di Pejabat Pendidikan Daerah Kluang sebagai Guru Sandaran. Alhamdulillah permohonan saya diterima. Tak dinafikan reputasi arwah ayah saya sebagai bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kluang banyak membantu saya untuk berjaya dalam permohanan tersebut. Tambahan pula insan yang dipertanggungjawabkan untuk memilih guru sandaran itu adalah kawan baik ayah. Hasilnya saya tidak perlu menghadiri sesi temuduga dengan kaunselor di PPD.

Walaubagaimanapun, saya tidak pernah meminta bantuan ayah dan kawan-kawannya untuk meluluskan saya. Saya pergi sendiri ke PPD meminta borang dan menghantarnya sendiri. Saya tidak pun memaklumkan kepada ayah bahawa saya memohon jawatan guru sandaran. Ayah cuma tahu bila kawannya menelefon ke rumah, memberitahu yang saya tersenarai.

Saya ditugaskan untuk mengajar di SRK Taman Kluang Barat, sekolah yang baru dibuka tahun itu. Guru Besar sekolah pula seperti yang saya jangka, memang kenalan rapat ayah saya. Hujung tahun 2002, kami guru-guru yang ada bertungkus lumus mengemas bilik darjah dan bilik guru untuk digunakan awal tahun 2003. Agak memeritkan kerana bilangan guru lelaki tidak sampai 10 orang berbanding guru perempuan seramai 21 orang. Jadi keringat guru lelaki memang diperah habis-habisan.

Inilah guru-guru yang ada ketika SRK Taman Kluang Barat baru dibuka...Saya memakai songkok

Seperti dijangkakan, saya terpaksa mengajar subjek Pendidikan Agama Islam untuk tahun 2 dan 3. Malah saya merupakan satu-satunya USTAZ di sekolah tersebut ketika itu. Ada 2 orang ustazah yang berpengalaman membantu. Situasi itu agak menekan memandangkan saya tidak pernah mengajar budak-budak kecil....Saya menjadi "ustaz muda" di sekolah itu...

Sebulan yang pertama, memang pening dibuatnya. Terkial-kial membuat persediaan mengajar, mengajar dalam kelas dan membuat laporan. Masuk bulan kedua, keadaan semakin terkawal. Saya semakin dapat membiasakan diri. Namun masih terlalu banyak yang perlu dipelajari terutama dari segi teknik mengajar dan komunikasi dengan murid di dalam kelas.

Cara saya mengajar agak "tradisional" dan tegas...."Ustaz Fauzi garang....." kata seorang pelajar tahun 3 kepada guru kelasnya...Namun memang begitu cara saya. Memang agak tegas dan garang ketika mengajar...Bayangkan kalau tidak garang, ada 27-32 anak murid yang sedia melompat-lompat seperti monyet jika saya terlalu bagi muka. Namun saya sedar, anak-anak kecil ini amat suka bila saya bercerita. Mata masing-masing tak berkelip memandang saya. Seringkali juga mereka gelak besar jika saya menceritakan kisah yang agak lucu.

Selalunya yang berlagak degil dalam kelas pasti akan menangis terkena "penangan" saya. Macam-macam gelaran yang diberi kepada saya seperti Ustat garang dan ustat Raihan (kerana saya suka menyanyi dan memakai kopiah hitam bila diluar waktu pejabat).

Saya memakai kopiah hitam (seperti Raihan)..Gambar di ambil ketika aktiviti ko-kurikulum pelajar..Saya sedang memikirkan ape yang tidak kena dengan cikgu itu...

Tahun 2003 juga merupakan tahun pertama saya menyambut Hari Guru sebagai seorang guru! Agak mengharukan walaupun saya sangat tegas dan garang dengan pelajar, ada juga yang bermurah hati memberikan hadiah khas untuk saya hohoho....Walaupun kecil, amat saya hargai. Hadiahnya masih ada lagi hingga hari ini. Sebuah bingkai gambar kecil untuk gambar bersaiz 3R.

Tawaran ke UM
Saya terpaksa berhenti kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah di Universiti Malaya. Sempat juga saya bekerja selama 5 bulan di sekolah tersebut. Masanya memang tepat kerana pelajar baru sahaja habis menjalani ujian pertengahan tahun.

Paling memuaskan hati saya apabila ada pelajar yang tidak pandai menulis, buruk tulisannya, sudah boleh menulis dengan baik ketika saya hendak berhenti. Saya masih ingat tangannya banyak kali saya ketuk dalam kelas, dan disuruh menulis berulang-ulang kali.

Saya mendapat kad ini pada hari terakhir saya bertugas...

Kad ini diusahakan oleh Cikgu Suryani (kalau tak silap) dengan bantuan anak murid kelasnya..

Macam-macam tulisan yang ada kan...Nama budak yang selalu diketuk tangannya itu ada dalam kad ini. Ruzaini namanya.

Muka surat seterusnya.....

Saya tersenyum sendirian membaca kad ini. Masih lagi disimpan hingga hari ini. Walaupun diarahkan oleh guru kelas mereka untuk menulis, tapi saya tetap menghargai tulisan tangan anak-anak ini. Terutama Ruzaini yang selalu diketuk tangannya itu. Saya tahu dia menulis dengan susah payah di atas kertas tersebut. Ada yang minta maaf, ada yang tulis "sayang cekgu", ada yang tulis "selamat pergi",ada yang panggil saya ustat Raihan, ada juga yang silap eja hahaha....

Hari ini....

Saya bekerja sambilan sebagai guru tuisyen. Mengajar juga jawabnya...Ibu saya kata, saya ikut perangai ayah sebagai seorang guru. Lagipun, saya memang suka mengajar. Namun saya tidak pasti adakah saya dapat mengajar dengan baik jika menjadi gru di sekolah...Sudah lama saya tinggalkan sekolah...
Baca artikel penuh...

Membaca buku.....

Hari Sabtu yang lalu saya mengambil keputusan untuk pulang sebentar menziarahi ibu di Kluang. Ramai sungguh yang pulang ke kampung masing-masing pada hari tersebut. Pudu Raya penuh sesak dengan manusia. Masing-masing menunggu bas untuk ke destinasi yang dihajati. Alhamdulillah tiket ke Kluang masih ada. Cuma saya perlu menunggu hingga pukul 12.30 tengah hari untuk menaiki bas. Maksudnya ada lagi 1 jam 30 minit.

Saya kebuntuan apa yang perlu dibuat selama tempoh sejam lebih itu....Saya tak boleh sekadar duduk diam "melangok" atau membelek telefon bimbit sementara menunggu bas. Masa Satu jam agak lama. Jadi kaki ini melangkah pergi ke kedai menjual bahan bacaan, untuk mencari apa-apa bahan yang boleh dibaca. Daripada duduk membuang masa, baik saya membaca sesuatu...

Hasilnya saya menemukan buku ini.

Salahudin Ayubi : Penakluk Jerusalem

Buku ini berjaya menarik perhatian saya. Melihat kulitnya, saya membaca sedikit awal cerita buku tersebut...Menarik juga. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli buku itu. Harganya cuma RM 26.90. Tidak mahal berbanding pengajaran yang kita perolehi daripada membaca buku ini.

Sementara menunggu bas, hampir separuh dapat saya habiskan. Dalam bas saya sambung lagi membaca (diselang-selikan dengan aktiviti tidur). Sampai di Kluang, sudah lebih 3/4 habis dibaca. Menjelang waktu Maghrib, buku itu habis saya baca. Saya kira inilah buku yang paling cepat saya habiskan membaca.

Buku ini berkisar tentang bagaimana Salahudin Al-Ayubi merancang menawan Jerusalem (Palestin) yang dikuasai oleh tentera Salib. Dengan perancangannya yang teliti, akhirnya Sultan Salehuddin berjaya menawan semula Jerusalem dari tangan tentera Salib yang kejam itu.

apa yang membuatkan saya tertarik ialah niat Salahuddin yang melakukan semua ini hanya kerana Allah semata-mata. Dia dan sahabatnya sanggup syahid demi menegakkan Islam. Saya rasa malu kepada diri sendiri. Amat jauh hendak dibandingkan semangat serta keikhlasan Salahudin Al-Ayubi dan para sahabatnya dengan diri ini...

Novel ini juga menyindir sikap umat Islam dan juga negara Islam pada hari ini yang amat susah untuk bersatu-padu memperjuangkan Islam. Malah lebih mementingkan diri masing-masing dan enggan membantu saudara seagama yang dilanda kesusahan.

Tidak rugi saya beli buku ini.

Sampai di Kluang, saya singgah di kedai menjual komik bersebelahan stesen bas Kluang. Saya mencari-cari kalau ada komik yang berkenan di hati untuk saya beli. Saya juga suka membaca komik (walaupun sudah tua bangka). Komik ini berjaya menarik perhatian saya.

Sejarah awal Sudirman

Saya sudah lama mencari komik ini. Baru hari itu saya jumpa. Komik ini dilukis sendiri oleh Sudirman. Melihat lukisannya, saya tahu yang dia meminati lukisan kartunis Lat, dan diakui sendiri olehnya dalam komik tersebut. Walaubagaimanapun komik ini tiada sambungannya, membiarkan ceritanya tergantung...

Ceritanya agak sedih juga. Mengisahkan kehidupan Sudirman semasa kecil sehingga remaja. Sudirman bukanlah tergolong dalam keluarga yang berada. Dia hidup dan membesar secara sederhana bersama adik beradiknya yang lain. Babak yang paling sedih bagi saya dalam komik ini ialah ketika Sudirman kematian ibu kandungnya semasa dia masih kecil dan tidak tahu apa erti "mati". Dia sangka ibunya itu tidur lena.......

Antara pengajaran yang saya dapat selesai membaca buku ini ialah, sayangi keluarga anda....
Baca artikel penuh...

Gambar-gambar lama

Kalau saya Pulang ke kampung, pasti saya akan membelek-belek gambar lama semasa zaman kanak-kanak...Tak dinafikan dahulu saya memang comel hahaha..Saya "scan" beberapa gambar untuk tatapan semua...

Saya sedang bergembira di atas motor arwah datuk..Gambar ini diambil di Mersing..Saya tak ingat berapa umur saya ketika itu..Di belakang itu abang saya yang sulung...Motor ini sekarang sudah tiada lagi di rumah datuk saya...

Saya memang comel kan? Sedang duduk di ribaan ayah saya. Rasanya gambar ini diambil dalam satu majlis di Sekolah Sains Johor..Yang sedang menoleh ke belakang itu abang sulung saya.

Inilah kami 5 beradik...Semuanya lelaki..Tapi saya tidak ingat siapakah gerangan yang tersenyum di belakang sekali itu.....Waktu itu adik bongsu saya (yang dipeluk oleh saya) itu menjadi tumpuan di rumah. Rasanya dia yang paling comel semasa kecil...

Ini pula gambar di Kg Sri Pantai, Mersing...Yang memegang senapang itu abang saya nombor dua. Kakak itu pula adalah pengasuh kami...Dia memang garang dengan kami, ibu pula memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjaga kami semasa ketiadaan ibu dan ayah di rumah. Yang duduk di belakang saya itu ialah sepupu saya (Alifmimyanun). Budak kecil yang duduk di atas sekali itu adalah adiknya yang bernama najwa. Sekarang semuanya sudah besar-besar belaka. Kak Nor pengasuh kami itu pun sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak.

Baca artikel penuh...

Hati damai, pulang ke kampung halaman..

Biasanya bila pulang sebentar ke kampung halaman, idea untuk menulis di blog sentiasa ada. Pulang ke kampung juga dapat meredakan tekanan dan juga merehatkan sebentar otak ini daripada memikirkan hal kerja dan belajar yang menanti di KL. Bagi saya, hati ini paling gembira bila melihat ibu sedia menanti kepulangan diri ini di depan pintu rumah sambil tersenyum....Saya memang sayang ibu saya.

Bila ibu ada teman di rumah, macam-macam verita yang ada. Yang terbaru, ibu kata kami adik beradik dapat anak sedara "4 ekor"......

Kucing di rumah....

Rumah saya memang menjadi tempat tumpuan kucing sejak dahulu lagi. Tambahan pula arwah ayah saya memang suka kucing. Jadi semasa zaman kanak-kanak saya adik beradik, sentiasa ada kucing yang menemani. Saya pun tidak ingat berapa puluh ekor yang sudah mati di rumah saya. Tapi yang pasti, memang banyak. Banyak juga kucing yang datang singgah dan makan. Bilangan kucing semakin bertambah apabila ayah saya bersara. Banyak masa yang diluangkan untuk kucing-kucing kesayangannya.

Ibu saya tidak suka pada kucing. Walaubagaimanapun, ibu saya akur dengan kehendak ayah...

Ayah memang rajin membela kucing...Hinggakan kalau ada anak kucing yang masih kecil kematian ibu pun akan dibela dan diberi susu menggunakan botol kecil..Makanan untuk kucing pula usah cerita. Saya tak tahu berapa wang yang dihabiskan. Rasanya banyak juga kerana ayah saya selalu membeli ikan di pasar untuk diberi kepada kucing-kucing peliharaannya. Malah kalau ada kucing yang sakit teruk seperti luka yang besar, akan dibawa ke klinik haiwan yang berhampiran..

Adik bongsu saya menyusukan anak kucing....Kucing ini kematian ibunya...Kesannya, kucing ini memang manja dengan kami sekeluarga.


Antara kucing yang ada dahulu..Ada orang kata bila kucing hitam melintas, ada sesuatu yang tak elok berlaku...Kami berjaya membuktikan perkara itu tidak betul, kerana tiap-tiap hari dahulu kucing itu berjalan melintas depan saya hahaha...


Kontot namanya...Kucing paling lama...

Kontot ini merupakan kucing yang paling lama hidup dan tinggal di rumah saya...Seingat saya lebih dari 10 tahun. Dari kucing itu kecil hinggalah dia tua. Kucing ini memang datang apabila dipanggil, terutamanya ayah saya. Namun dia tidak mati di rumah saya. Satu hari Kontot menghilangkan diri begitu sahaja. Mungkin dia tidak mahu kami sedih melihat kematiannya..Kalau dia masih hidup hari ini, umurnya lebih tua daripada adik bongsu saya yang berumur 20 tahun.

Hari ini, adik bongsu saya dilihat mewarisi sikap ayah saya yang sukakan kucing.

Anak-anak hari ini

Saya pulang ke KL agak awal. Seperti biasa, saya menaiki bas SATRIA dari Kluang ke KL. Dalam perjalanan pulang (sebelum mata terlelap) say sempat mendengar butiran perbualan antara seorang Pak Aji dengan pemandu bas. Pemandu bas tersebut sudah lebih 15 tahun bekerja sebagai pemandu bas ekspress.

Pemandu : Anak-anak sekarang ni Pak Aji, ramai yang dah tak hormat orang tua. Tak hargai pun mak ayah die orang.

Pak Aji: Kenape cakap macam tu pulak.

Pemandu : Ye la pakcik, tengok la perangai budak remaja hari ni pun.....Hari tu saya bawak bas malam dar Kluang ni. Ade la sorang pakcik tu nak pegi jenguk anak dia kat KL. Anak dia sibuk, tak dapat balik. Jadi Pakcik tu pun beralah la pergi KL, nak lawat cucu sekali.

Pak Aji: Habis tu ape jadi?

Pemandu : Pakcik ni bawak banyak barang, buah durian sekali untuk anak dengan cucu dia. Berat jugak la angkat tu. Kalau sorang letih angkat. Tapi untuk anak-anak, sanggup dia bawak.

Pak Aji : Anak dia macam mana?

Pemandu : Sampai kat pudu memang dah pukul 2 pagi. Anak dia datang. Tapi anak dia tu merungut-rungut marah angkat barang Pakcik tu...Beratlah, banyaklah katenye...Mulut dia bising kate "buat ape susahkan diri bawak dari kampung, kat sini melambak boleh beli". Membebel sepanjang angkut barang tu. Saya nampak dah muka Pakcik tu berubah dah...Tunduk diam je..

Pak Aji : Apehal pulak lah anak die tu ye...

Pemandu : Esoknya saya nak bawak bas balik Kluang, Pakcik tu ade dalam bas..Malam tadi sampai, hari ni terus nak balik....Pakcik tu diam, termenung je nampak..Memang sedih muka dia. Nampak sangat kecik hati.....

Pak Aji : tak patut la anak dia tu..

Pemandu : Ye la kan..Kalau saya pun kecik hati...Anak tu sibuk sangat tak dapat balik, jadi Pakcik tu dah beralah dah...Pegi lawat anak dengan cucu kat KL tu. Ingat kat anak ni, sampai bawak buah tangan nak bagi anak rasa. Tapi bila sampai, anak sendiri merungut, tak hargai langsung...

Saya rasa kalau pakcik tu sampai KL tengah hari, petang tu jugak dia balik Kluang semula. Mujur hari tu sampai dah pagi-pagi buta.

Saya yang mendengar perbualan itu jadi terkesan juga. Moga-moga kita tidak menjadi anak yang derhaka pada ibu bapa.........
Baca artikel penuh...

Khamis, 5 Mac 2009

Perihal pelajar-pelajar ( jawi dan mandi wajib)

Walaupun cuma mengajar secara sambilan di pusat tuisyen, namun pantang diri ini bila melihat pelajar kurang ajar, tidak berakhlak di hadapan guru. Tidak kiralah anak siapa pun. Anak dato' ke, kalau kurang ajar dengan saye, sile keluar kelas sebelum di halau dengan kasar. Insiden menghalau pelajar keluar kelas pernah saya lakukan beberapa kali pada tahun 2008 akibat pelajar menunjuk samseng dalam kelas. Setelah tidak tahan sabar, saya pula menunjukkan "kesamsengan" diri saya. Alhamdulillah, tiada terbawa hingga kes bertumbuk dengan pelajar...

Pakaian pelajar

Sebagai cikgu, saya tidaklah garang mana pun, cuma kalau ada yang naik tocang, maka akan naik tocang juga saya bila kesabaran tidak dapat ditahan. Pakaian murid pula, kalau ada yang tak berkenan di hati, teguran perlu dibuat. Bukanlah terlalu tegas hingga perempuan semua MESTI bertudung. Dakwah itu perlu berhikmah...Tapi kalau dah terlalu mencolok mata hingga nampak tali "bra" dan lurah yang tidak sepatutnya, teguran perlulah disampaikan.

Hinggakan tahun yang lalu di tempat tuisyen lama (kini saya sudah tukar pusat tuisyen) kami guru-guru berpakat menetapkan etika berpakaian apabila datang ke kelas tuisyen, setelah "bos" dilihat tidak begitu mengambil pusing hal pakaian.....

Pada suatu petang yang mendung.

Petang itu ada kemajuan. Pelajar datang tidak lewat seperti minggu sebelumnya (setelah di "sound" / di tegur oleh saya dengan nada yang agak tegas...).

Saye : Tulis nama masing-masing pada kertas jawapan tu ye..

Asan : Saye tulis guna "bahasa Jawi" boleh ke cekgu?


Saye : Mane ade bahasa Jawi daaa...Bahasa Jawe ade la....


Asan : ooooo...Silap cekgu...Tulisan Jawi...


Saye : Haaaa...T
erlanjur kawan ni cakap pasal tulisan Jawi, yang lain boleh tulis Jawi ke? (kebetulan semuanya Melayu Islam). Ca'er boleh ke?

Ca'er : Boleh cikgu. Takde hal punye.


Saye : Cila boleh tulis jawi?


Cila : Boleh cikgu. Bace pun bole.


Saye : Aida, boleh tulis Jawi?


Aida : Tak tau cikgu.


Pa'an : SAYA TAHU BACA JAWI JE. Tulis tak tau.


Saye : Biase orang kalau tau bace Quran, boleh la bace dgn tulis Jawi ni.


Aida : Saye tak pandai bace Quran cikgu.....

Saye : Sikit pun tak bole? alif ba ta ke.....


Aida : tak tau cikgu.


Saye : Pa'an pulak? boleh bace Quran?


Pa'an : Boleh cikgu.Eh tak boleh cikgu.

Saye : boleh ke tak?


Pa'an : Aaaaaaaa...Dulu boleh cikgu sikit-sikit...Sekarang tak boleh dah.


Ca'er : Laaaa. Kau tak tau ke....Ingat kau boleh tadi.........

Tertangkap lagi..

Masalah yang biasa kedengaran di bandar-bandar besar. Dah besar nak PMR, ada lagi yang tak tahu baca Al-Quran. Tak tahulah macam mana mak ayah mereka didik dahulu.....Mesti pening ustaz dengan ustazah di sekolah mengajar subjek Pendidikan Islam.

Petang yang lain..

Sambil-sambil mengajar, saya rajin bertanyakan soalan kepada murid. Kebetulan hari itu cuma seorang sahaja yang hadir kelas tuisyen..

Saye : Kamu dah baligh belum?

Pelajar : Dah cikgu.


Saye : Kamu mesti tahu mandi wajib kan?


Pelajar :.............(diam tersengih-sengih, malu untuk menjawab)


Saye : Laa...ini bukan benda main-main. Takde ape nak malunya....


Pelajar : Entahla...Saya tak ingat la cikgu...


Saye : Eh tadi kata dah baligh, kamu jangan mai-main hal ni...
 


Pelajar : Tak ingat cikgu..

Saye : Kamu solat kan?


Pelajar : Solat la cikgu.

Saye : Macam mana kamu solat? Mandi wajib pun kamu tak ingat?


Pelajar: .....(membisu, terkena perangkap saya)


Saye : Saye bukan nak malukan, nak main-main tanya hal macam ni. Ini hal asas, bukan hal remeh temeh. Belum terlambat lagi nak belajar.

Pelajar : Mandi pakai air kan cikgu?

Saye : Memanglah pakai air.....(pening kepala)


Kesudahannya saya mengajar tentang hal mandi wajib selama 15 minit....


Seringkali subjek Bahasa Melayu yang saya ajar, akan diselitkan subjek Pendidikan Islam atau Farhu Ain (lebih kurang 10-15 minit). Ini kerana tidak sampai hati rasanya melihat pelajar bandar hari ini yang kebanyakkannya makin jauh dengan Agama. Fardu Ain yang paling asas pun ramai sangat yang tidak tahu..Sudah mejadi satu kebiasaan.

Aduhai generasi akan datang...
Baca artikel penuh...

Selasa, 3 Mac 2009

Air paip di rumah

Di rumah saya ada dipasang penapis air. Penapis itu dipasang di sinki dapur kami. Rasanya hampir 8 bulan penapis air tersebut digunakan di rumah ini. Kehadiran penapis tersebut di rumah menyelamatkan kami daripada berterusan menggunakan air paip yang berkarat..

Karat yang terkumpul boleh dilihat dengan jelas pada penapis tersebut.....Memang berkarat...Saya tidak dapat bayangkan bagaimana karat yang berkumpul di penapis tersebut masuk ke dalam badan sebagai air minuman....



Ini keadaan penapis sebelum dicuci. Setelah sebulan digunakan, inilah keladak/karat yang dapat dikumpulkan. Pernah penapis ini warnanya lebih gelap, seperti warna lumpur. Kotornya......



Setelah dibasuh dan diberus sedikit, inilah rupanya. Itupun kelihatan kuning sedikit, kerana telah hampir setahun digunakan.

Segala hal ehwal tentang mencuci bahan makanan,memasak dan minum, saya akan gunakan air yang telah ditapis. Bila mengenang keladak dan karat yang terkumpul, jadi gerun dan tak sanggup nak minum air dari paip tanpa ditapis....

Nasihat saya, hati-hati minum air dari paip. Lagi elok kalau ditapis dahulu......
Baca artikel penuh...

Isnin, 2 Mac 2009

Saye berjaya memasak rendang....

Hari Sabtu yang lepas, saya memberanikan diri mencuba resepi baru untuk dimasak. Kebetulan pula terjumpa resepi rendang ayam di internet...Melihatkan cara memasaknya yang mudah, resepi dicuba tanpa berlengah lagi...

Bahan yang diperlukan...

1 ekor ayam (organik, kampung, atau ayam yang agak pejal isinya)
4 helai daun kunyit, dibuang empulurnya dan dihiris halus
5 batang serai, dititik (dihiris) halus
5 biji bawang merah saiz sederhana atau 2 biji bawang besar, dimayang halus
1 inci halia, juga dihiris halus
1 ketul lengkuas, dihiris kepingan
4 sudu besar kelapa kerisik
15 biji cili kering (ubah suai mengikut tahap kepedasan) direndam air panas dan dikisar lumat
Sedikit serbuk kunyit atau kunyit hidup yang ditumbuk lumat
3 sudu besar gula merah
2 kotak santan segera (atau 4 cawan santan pekat)
Garam secukup rasa

Cara saya masak....

Bahan-bahan dimasukkan dalam kuali termasuk santan, kerisik dan cili yang dikisar. Kacau hingga rata dan panaskan dengan api yang sederhana. Tidak perlu kacau terlalu kerap, takut isi ayam hancur. Cuma saya diingatkan supaya tidak membiarkan ayam melekat di kuali...Nanti hangit, lain sikit rasa...Bila sudah pecah minyak, masukkan gula merah dengan garam. Masak hingga kuahnya kering (ikut suka la nak kering macam mana)

Tahap kepedasan bergantung kepada berapa banyak cili yang digunakan. Kalau mahu pedas, lebihkan cili atau boleh tambah cili padi.

gambar dari blog pemberi resepi.....

Hasilnya lebih kurang seperti gambar di atas. Seperti yang dijangka, lauk rendang ini tidak bertahan lama apabila habis dibaham oleh "makhluk" tuhan yang kelaparan di rumah ini..Rasanya sedap juga jika dimakan bersama pulut kuning..Di lain hari, saya mahu mencuba resepi pulut kuning dan rendang yang lain pula. Masalahnya perlu ada alat pengukus jika mahu masak pulut....

Sebenarnya resepi ini saya jumpa di saifulislam.com (resepi rendang negeri Perak agaknye). Cara masak yang mudah ini rasanya sesuai sangat bila kena masa malas. Cuma leceh sedikit hendak cari barang seperti lengkuas dan daun kunyit yang selalu sahaja kehabisan di kawasan bandar.
Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...