Isnin, 9 Mac 2009

Membaca buku.....

Hari Sabtu yang lalu saya mengambil keputusan untuk pulang sebentar menziarahi ibu di Kluang. Ramai sungguh yang pulang ke kampung masing-masing pada hari tersebut. Pudu Raya penuh sesak dengan manusia. Masing-masing menunggu bas untuk ke destinasi yang dihajati. Alhamdulillah tiket ke Kluang masih ada. Cuma saya perlu menunggu hingga pukul 12.30 tengah hari untuk menaiki bas. Maksudnya ada lagi 1 jam 30 minit.

Saya kebuntuan apa yang perlu dibuat selama tempoh sejam lebih itu....Saya tak boleh sekadar duduk diam "melangok" atau membelek telefon bimbit sementara menunggu bas. Masa Satu jam agak lama. Jadi kaki ini melangkah pergi ke kedai menjual bahan bacaan, untuk mencari apa-apa bahan yang boleh dibaca. Daripada duduk membuang masa, baik saya membaca sesuatu...

Hasilnya saya menemukan buku ini.

Salahudin Ayubi : Penakluk Jerusalem

Buku ini berjaya menarik perhatian saya. Melihat kulitnya, saya membaca sedikit awal cerita buku tersebut...Menarik juga. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli buku itu. Harganya cuma RM 26.90. Tidak mahal berbanding pengajaran yang kita perolehi daripada membaca buku ini.

Sementara menunggu bas, hampir separuh dapat saya habiskan. Dalam bas saya sambung lagi membaca (diselang-selikan dengan aktiviti tidur). Sampai di Kluang, sudah lebih 3/4 habis dibaca. Menjelang waktu Maghrib, buku itu habis saya baca. Saya kira inilah buku yang paling cepat saya habiskan membaca.

Buku ini berkisar tentang bagaimana Salahudin Al-Ayubi merancang menawan Jerusalem (Palestin) yang dikuasai oleh tentera Salib. Dengan perancangannya yang teliti, akhirnya Sultan Salehuddin berjaya menawan semula Jerusalem dari tangan tentera Salib yang kejam itu.

apa yang membuatkan saya tertarik ialah niat Salahuddin yang melakukan semua ini hanya kerana Allah semata-mata. Dia dan sahabatnya sanggup syahid demi menegakkan Islam. Saya rasa malu kepada diri sendiri. Amat jauh hendak dibandingkan semangat serta keikhlasan Salahudin Al-Ayubi dan para sahabatnya dengan diri ini...

Novel ini juga menyindir sikap umat Islam dan juga negara Islam pada hari ini yang amat susah untuk bersatu-padu memperjuangkan Islam. Malah lebih mementingkan diri masing-masing dan enggan membantu saudara seagama yang dilanda kesusahan.

Tidak rugi saya beli buku ini.

Sampai di Kluang, saya singgah di kedai menjual komik bersebelahan stesen bas Kluang. Saya mencari-cari kalau ada komik yang berkenan di hati untuk saya beli. Saya juga suka membaca komik (walaupun sudah tua bangka). Komik ini berjaya menarik perhatian saya.

Sejarah awal Sudirman

Saya sudah lama mencari komik ini. Baru hari itu saya jumpa. Komik ini dilukis sendiri oleh Sudirman. Melihat lukisannya, saya tahu yang dia meminati lukisan kartunis Lat, dan diakui sendiri olehnya dalam komik tersebut. Walaubagaimanapun komik ini tiada sambungannya, membiarkan ceritanya tergantung...

Ceritanya agak sedih juga. Mengisahkan kehidupan Sudirman semasa kecil sehingga remaja. Sudirman bukanlah tergolong dalam keluarga yang berada. Dia hidup dan membesar secara sederhana bersama adik beradiknya yang lain. Babak yang paling sedih bagi saya dalam komik ini ialah ketika Sudirman kematian ibu kandungnya semasa dia masih kecil dan tidak tahu apa erti "mati". Dia sangka ibunya itu tidur lena.......

Antara pengajaran yang saya dapat selesai membaca buku ini ialah, sayangi keluarga anda....

2 ulasan:

alifmimyanun berkata...

komik sudirman tu dulu amin ade bace tahun 2007 dulu.

fauzi berkata...

tau tau...cume baru je jumpe. puas mecari kat kedai takde

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...