Kali ini masak rendang. Rasanya kali terakhir masak rendang masa bujang dahulu. Sempat juga bagi bakal mak mertua rasa rendang ni. (sekarang ni dah jadi mak mertua lah..)
Resepi dan cara masaknya mudah. Memang mudah sangat. Resepi ini dapat dari saifulislam.com. Sebelum itu memang tak pernah masak rendang pun. Main redah saje ikut resepi dan cara memasak yang disyorkan.
Bahan-bahan:
1 ekor ayam. Lebih elok ayam yang pejal macam ayam tua atau ayam kampung.
4 helai daun kunyit, dibuang empulurnya dan dihiris halus
4 batang serai, dititik (dihiris) halus
5 biji bawang merah saiz sederhana atau 2 biji bawang besar
1 inci halia
1 ketul lengkuas. Seeloknya cari lengkuas yang masih merah. Lembut dan wangi baunya.
4 sudu besar kelapa kerisik
15 biji cili kering (ubah suai mengikut tahap kepedasan) direndam air panas dan dikisar lumat
Sedikit serbuk kunyit atau kunyit hidup yang ditumbuk lumat
3 sudu besar gula merah atau boleh digantikan dengan gula pasir
2 kotak santan segera (atau 4 cawan santan pekat)
Garam secukup rasa
Senang kalau di kampung ni, kunyit, serai, daun kunyit dan halia tak payah nak beli. Ada ditanam sekitar rumah. Kalau masa di KL dulu, semua kena beli.
Semua bahan dicampur dan digaul dalam periuk / kuali, kecuali gula.
Masak dengan api yang sederhana. Jangan terlalu kuat apinya. Ayam tak perlu dikacau kerap supaya tak cepat hancur. Masak sampai pecah minyak.
Bila sudah pecah minyak, masukkan gula dan kacau. Kalau guna gula merah, warna rendang agak gelap sikit.
Jika ayam sudah masak dan kuah masih banyak, boleh asingkan ayam dan masak kuah mengikut kepekatan yang anda mahu. Saya suka ada kuah sedikit. Sedap makan dengan nasi, atau boleh dicecah dengan apa-apa yang sesuai.
Senang kan? Taklah susah mana pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan