Khamis, 13 Ogos 2009

Kehilangan

Hari Khamis 13 Ogos dunia nasyid dikejutkan dengan kehilangan Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani. Satu kehilangan yang sangat besar.

Kumpulan Rabbani (Ustaz Asri Ibrahim duduk di tengah)

Kumpulan Rabbani berjaya mendapat tempat di hati pendengar khususnya yang meminati lagu-lagu nasyid. Sejak ditubuhkan, kumpulan ini terus stabil dan gigih berdakwah dalam bidang muzik. Ketika banyak kumpulan lain tenggelam dan timbul, kumpulan Rabbani masih lagi kukuh dan wujud hingga kini.

Dunia nasyid pada hari ini saya kira ketandusan insan seperti Ustaz Asri Ibrahim. Satu demi satu rasanya insan yang berbakat dalam seni nasyid ini pergi dan kehilangannya memang sukar untuk diganti. Kita dikejutkan dahulu dengan pemergian Allahyarham Azahari (Zairi) dari kumpulan Raihan dan juga Salleh Ramli dari kumpulan Hijjaz...Kini Ustaz Asri Ibrahim pula.

Walaupun saya kurang meminati kumpulan Rabbani, tetapi secara peribadi saya tertarik dengan suara Ustaz Asri terutama apabila beliau mengalunkan ayat suci Al-Quran. Lagu Rabbani yang paling menarik hati saya adalah lagu Di Ambang Syawal. Walaupun sebuah lagu lama, tetapi amat menyentuh hati jika dihayati. Rentak balada ditambah dengan suara vokal dan latar yang serasi membuatkan saya meremang bulu roma ketika pertama kali mendengar lagu tersebut.

Rabbani - Di Ambang Syawal.mp3

Entah mengapa rasa sebak mendengar berita kehilangan ini. Namun saya kira insan yang rapat dengan beliau pastinya lebih sedih lagi.

Bulan Julai yang lalu adalah kali pertama saya berjumpa Ustaz Asri Ibrahim ketika membeli alat muzik di Rabbani Production. Ternyata beliau ramah dan mudah diajak berbual dan sentiasa tersenyum. (cuma saya yang banyak diam dan tak pandai berbual)

Mari bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau....

Sesungguhnya ajal dan maut itu di tangan tuhan........Mungkin esok giliran kita yang bakal menyusul.....


E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...