Selasa, 2 Jun 2009

Melayan anak-anak "camping"

Kalau dahulu, saya pergi berkhemah sebagai peserta (semasa sekolah) kali ini saya pergi sebagai seorang guru yang mengendalikan anak-anak murid. Pengalaman yang berbeza, Tambahan pula anak-anak yang dibawa bersama ini majoritinya adalah anak-anak mereka yang berada.

Maka berkampunglah kami di Kalumpang, Hulu Selangor selama 3 hari 2 malam.

Perkhemahan seperti ini amat wajar dihadiri oleh anak-anak.

Mereka perlu memasak sendiri selama 3 hari. Bahan akar semestinya kayu api. Bahan memasak pula, apa yang ada akan dimasak. Namun kebanyakan yang mengikuti perkhemahan kali ini adalah pelajar sekolah rendah, jadi bantuan guru-guru amat diperlukan.

Memasak sambil dibantu oleh ustaz.........

Hari pertama, kami guru-guru menunjukkan demo memasang khemah dan cara-cara memasak kepada pelajar. Memang rata-rata pelajar tidak tahu memasak langsung! Terutama pelajar lelaki. Nak potong bawang, ade yang terhiris tangan sendiri. Nak hidupkan api, berair mata terbatuk-batuk tersedut asap kayu api. Tidak ketinggalan ada juga yang memegang bara api. Ada yang ambil masa sejam untuk hidupkan api sahaja!

Mandi sungai

Ada juga pelajar yang buat kali pertama dalam hidupnya mandi sungai. Macam-macam ragam yang ada. Bila dah turum ke air, memang leka semuanya. Sampai ada yang tinggalkan kuali yang masih menyala api berisi lauk!

Apabila cekgu mandi sungai....riuh mengalahkan budak....

Namun agak kasihan bagi pelajar perempuan kerana peluang mereka untuk mandi sungai agak terhad. Ini disebabkan kehadiran orang luar (pengunjung lain) yang turut mandi di situ. Jadi agak sukar bagi mereka kerana mereka perlu menjaga aurat masing-masing. Kawasan yang yang ditetapkan untuk mandi bagi perempuan juga perlu dipastikan agak terlindung supaya tidak mudah dilihat oleh orang lain terutamanya lelaki.

Bagi lelaki, tempat mereka mandi adalah di sungai. Tandas hanya digunakan untuk Qada' hajat sahaja. Ini kerana aurat lelaki lebih mudah dijaga berbanding dengan aurat perempuan.

"teacher, this is the first time i see a rubber tree!"kata salah seorang peserta sambil tersenyum.

Semasa berjalan ke tempat perkhemahan, pelajar akan melalui kebun getah dan dusun orang kampung disitu. Maka ramai juga yang berhenti berjalan dan berkumpul di pokok getah di tepi jalan kerana asyik melihat susu getah yang ditoreh meleleh masuk ke cawan.

Ada juga yang tersenyum menunjuk ke arah buah cempedak yang sudah masak di pokok. Macam-macam ragam yang ada. Memang mereka kurang terdedah dengan suasana kampung seperti itu. Kebanyakan masa mereka dihabiskan di "hutan batu".

Solat perlu dijaga

"itu ok lagi bang, hari tu ade orang luar dari kl datang camping sini. Siap ade yang bergaduh pasal pokok. Sorang cakap ni pokok durian, sorang lagi pokok manggis" kata pekerja di situ.

"habis tu yang ditunjuk tu pokok ape?" saya menyoal kembali.

"yang ditunjuk tu pokok manggis. Kan ke jauh beza manggis dengan durian. Itu pun ade yang tak kenal bang!" katanya sambil ketawa besar.

alhamdulillah tiada perkara buruk terjadi sepanjang perkhemahan kami di situ. Setakat luka-luka kecil tu biasalah kan....Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang turut serta kerana memberikan kerjasama yang baik dan banyak membantu melancarkan program.

Saya amat yakin "anak-anak bandar" ini memperoleh pengalaman baru setelah melalui program 3 hari ini.

"rugi la siape yang tak nak pergi tu" antara ungkapan yang didengari dari mulut pelajar.

Tiada ulasan:

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...