Sabtu, 18 Mei 2013

Hal MLM : Tabur pasir periuk nasi orang?

Nampaknya post berkenaan MLM agak mendapat sambutan. Tengah musim MC Ocean barangkali. Ada saja yang datang singgah baca.

Apa pun kalau dibaca komen-komen di kebanyakan blog atau page anti MLM, saya akan jumpa ayat tabur pasir periuk nasi orang. Mesti ada.

Termasuklah dalam blog ni.

Kalau menegur dan komen berkenaan isu syariah dalam MLM pun dikatakan tutup rezeki orang lain, maka JAKIM, institusi fatwa, bahagian syariah perbankan Islam, takaful, suruhanjaya sekuriti dan ramai cerdik pandai / ulama boleh dikategorikan dalam perkara yang sama.

Kenapa?

Sebab ada fatwa HARAM interest/bunga di perbankan konvensional, ada fatwa haram riba, ada fatwa haram rokok, ada fatwa haram insurans konvensional, dan banyak lagi.

Walhal semua itu telah tersebar luas dan diaplikasikan dalam industri hari ini.

Bahagian syariah Suruhanjaya Sekuriti membuat penilaian terhadap saham-saham dan memberikan kelas patuh syariah dan tidak patuh syariah. Tidak patuh syariah itu HARAM diambil oleh orang Islam. Jadi mereka tutup rezeki orang?

Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa haram interest di perbankan konvensional dan juga haram insurans konvensional. Padahal ribuan agen insurans saban hari cuba berusaha memasarkan produk insurans. Perbankan hari ini banyak yang berteraskan riba.
Jadi mereka (MUFTI) juga sekat rezeki orang?

Perlu faham.

Sebarang keputusan yang dibuat bukan sesuka hati. Asasnya adalah maqasid syar'iyyah. Ada dalil yang dirujuk, ada kaedah yang digunakan, ada kajian yang dibuat. Bukan sewenang-wenangnya.

Tak keterlaluan juga, hal sebegini agak sukar difahami orang awam yang tiada asas dalam bidang syariah. Justeru, orang awam (beragama Islam) dinasihatkan supaya bertaqlid (ikut) fatwa tanpa membuat sebarang pertikaian kerana dibimbangi boleh memberi kesan dari sudut akidah. Kerna mempertikaikan sesuatu / hukum syarak yang ada jelas dalilnya.

Jika kurang jelas, seeloknya dapatkan penjelasan daripada mereka yang faham.

Bagaimana hal MLM?

Hal berkaitan hukum MLM ini mula 'meletop' sejak mendapat komen dan pandangan daripada Ustaz Zaharuddin (rujuk zaharuddin.net). Ustaz Zaharuddin merupakan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Komen dan kritikannya mendapat sokongan dan ramai juga dalam kalangan ahli akademik mempunyai pendapat yang sama. Tak kurang juga ada beberapa pendapat yang tidak setuju, tapi dilihat menyerong dan tidak mempunyai asas yang kukuh.

Kebanyakan kritikan beliau menonjolkan beberapa hal dalam MLM yang tidak menpati kehendak muamalat Islam. Kalau diikutkan dengan 'promosi agresif' kebanyakan syarikat MLM yang mengesyorkan pelan secara 'fast track' hukumya adalah haram. Memang ramai top leader MLM seperti Uptrend, Hai O, Lempe Berger, Luxor dan banyak lagi yang kepanasan. Kerana majoriti yang terlibat dengan MLM ini adalah umat Islam.

Beliau tutup rezeki orang lain?

Akhirnya lanjutan daripada komennya maka JAKIM mengambil inisiatif mengeluarkan satu garis panduan MLM yang patuh syariah. Antara panel yang dipanggil dalam merangka garispanduan MLM itu adalah Ustaz Zaharuddin sendiri.

Boleh cari dan muat turun garispanduan tersebut di internet. PERCUMA.

Ringkasnya, mana-mana MLM yang tidak menepati garispanduan tersebut adalah tidak patuh syariah. Namun bukan haram secara mutlak! Kena beringat juga.

Jika setakat beli guna sendiri, atau jual kepada end user memang tak ada masalah. Hukumnya harus. Masalah terjadi apabila ada jaringan networking yang dilakukan melibatkan bonus daripada downline.

Isunya lebih teknikal dan perlu diteliti oleh mereka yang mahir dalam bidang muamalat.

Malah MLM yang mempunyai penasihat syariah seperti Score A dan HPA masih tak terlepas dari hukum haram apabila ahli melakukan manipulasi pelan / head hunting untuk menaikkan pendapatannya. Jika anda baca hal kepatuhan syariah yang dikeluarkan oleh score A, hal ini jelas disebutkan oleh panel yang menilai pelan pemasaran score A .
(salah seorang panel penilainya adalah pensyarah/guru saya semasa belajar di UM).

Berapa banyak MLM yang ada panel syariah yang menyemak pelan pemasaran dan perjalanan syarikat mereka? Walhal dalam garispanduan MLM Syariah JAKIM ada menyebut tentang keperluan dilantik Panel tersebut sebagai syarat untuk Patuh Syariah.

Sebab itu walaupun hukum MLM secara amnya adalah harus jika merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan JAKIM, namun ia perlu mematuhi garispanduan yang telah dikeluarkan.

Jika diteliti, kritikan terhadap MLM ini lebih kepada soal model perniagaannya. Pelan pemasaran yang dijalan. Bagaimana ia berfungsi dan berjalan, serta adakah ia mematuhi syarak.
bukan kritikan terhadap perubahan diri ke arah yang positif, bermotivasi mengubah diri, sikap berusaha bersungguh-sungguh, berfikiran positif dan banyak lagi.

Oleh sebab itu juga saya tidak mengesyorkan MLM kepada sesiapa. Kerana banyak keraguan yang boleh ditimbulkan.

Kepada mereka yang bukan Islam, bukan niat menyekat rezeki sesiapa. Namun sebagai orang Islam, mereka perlu mencari rezeki yang halal dan tidak bercanggah dengan syariat. Itu adalah tuntutan agama.Niat yang baik semata-mata tidak boleh menghalalkan cara. 

Tiada ulasan:

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...