Isnin, 20 April 2009

Membaca buku


Pesta buku yang sedang berlangsung di PWTC sekarang tidak harus dilepaskan begitu sahaja bagi pencinta ilmu. Amat rugi sekiranya mereka yang berkemampuan untuk pergi ke sana tetapi mensia-siakan peluang tersebut.

Tahun lalu saya tidak berkesempatan untuk pergi lantaran dihambat kesibukan kerja walaupun pada hujung minggu. Saki baki masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk merehatkan badan. Tahun ini juga saya masih lagi sibuk, namun harap hajat untuk pergi ke PWTC pada hujung minggu ini kesampaian. Sabtu dan Ahad yang lalu, niat untuk meninjau pesta buku tidak kesampaian lantaran demam selsema dan juga batuk yang menyerang secara tiba-tiba....Seringkali badan ini tidak sihat sejak akhir-akhir ini.

Mahu ilmu, perlu membaca

Tiada jalan singkat untuk mahir dalam sesuatu bidang. Untuk mahir dan menguasai apa juga bidang ilmu (tidak kira dari bidang sastera hinggalah bidang sains) komitmen membaca amat-amat dituntut.

Mahu mahir sejarah, perlu baca buku sejarah.

Mahu mahir dalam bidang kejuruteraan, perlu baca buku berkenaan kejuruteraan.

Mahu mahir matematik, perlukan buku matematik.

Mahu mahir tentang ilmu botani, hasil kajian terdahulu juga perlu di baca.

Mahu mahir memasak sekalipun, perlu baca buku resepi dan hafal resepi sebelum praktikal memasak!

Pendek kata jika mahukan ilmu MESTI perlu membaca.

Mereka yang malas membaca, jangan bermimpi hendak menjadi pandai sekelip mata....

Baru tahu cerita tentang Abu Lukluah.....

Jika bukan disebabkan membaca, saya tidak akan tahu cerita mengenai Abu Lukluah, pembunuh Khalifah Islam yang kedua iaitu Umar Al-Khattab. Saya masih ingat cerita ustaz dan ustazah saya di sekolah agama dahulu bahawa Umar Al-Khattab mati dibunuh oleh Abu Lukluah. Namun sebab tukang besi itu membunuh Umar tidaklah dijelaskan dengan terperinci. Cuma saya diberitahu bahawa Abu Lukluah tidak berpuas hati dengan Umar Al-Khattab tentang bayaran yang terpaksa dibayar olehnya kepada seorang sahabat sebagai syarat untuk dia membebaskan dirinya daripada status hamba....Pada saya, perasaan tidak puas hati tersebut tidak cukup untuk mendorong Abu Lukluah mengambil risiko "GILA" dengan membunuh Khalifah!

Itu cerita lebih 13 tahun yang lalu....Sehinggalah saya menemukan buku ini...


Buku ini saya beli di Hentian Puduraya pada pertengahan April 2009 kerana perlu menunggu lebih 3 jam sebelum menaiki bas. Saya tidak tahan sekadar duduk "melangok" di tempat menunggu tanpa membuat apa-apa. Lebih baik membaca sesuatu, dapat juga menambah sedikit maklumat di kepala. Niat untuk membeli surat khabar terbantut apabila terpandang buku tersebut. Rasa tertarik hati melihat kulitnya.

Pada penghujung buku tersebut barulah saya mendapati mengapa Umar dibunuh oleh Abu Lukluah. Abu Lukluah sebenarnya adalah anak kepada pembesar Parsi yang bernama Yezdager III. Nama sebenar Abu Lukluah adalah Fairoz. Fairoz telah bersumpah dengan bapanya hendak membunuh Umar Al-Khattab. Dia telah memimpin hampir 100 ribu tentera Parsi untuk bertempur dengan tentera Islam. Tujuannya untuk merebut dan merampas kembali wilayah Parsi yang telah ditakluk oleh tentera Islam. Malangnya usaha itu gagal, tenteranya tewas dan dia sendiri menjadi tawanan perang.

Daripada Raja menjadi orang suruhan.......

Sebagai tawanan, dia dibawa pergi ke Madinah dan menghadap Umar Al-Khattab sendiri. Lantaran takut dibunuh, dia mengaku memeluk Islam dan tunduk kepada kerajaan Islam ketika itu. Dia kemudiannya menjadi orang suruhan kepada Al-Mughirah dan kemudian dibebaskan dengan syarat membayar hanya 2 dirham setahun kepada Mughirah. Pekerjaannya sebagai tukang besi mampu untuk menyara hidupnya serta membayar wang 2 dirham kepada Mughirah.

Daripada seorang anak pemerintah yang ulung dan dilimpahi kemewahan ketika di Parsi, Fairoz atau Abu Lukluah bekerja menjadi tukang besi untuk menyara hidup.....Dalam hatinya wujud dendam kesumat terhadap Khalifah Umar Al-Khattab kerana menyerang dan menakluk Parsi. Tambahan pula dia dihasut oleh sahabat lamanya yang juga menjadi tawanan perang dahulu.

Cara pembunuhan yang dilakukan adalah cara yang dilakukan oleh PENGECUT! Jika melawan Umar secara berhadapan, memang mustahil dia dapat menewaskan Umar kerana Umar amat mahir dengan ilmu perang dan gagah orangnya. Apa yang dilakukannya adalah berpura-pura menjadi makmum semasa solat Subuh di belakang imam. Sudah menjadi kelaziman solat fardu di Masjid akan diimamkan oleh Khalifah sendiri. (pemimpin kita hari ini, tidak ramai yang mahu mengimamkan solat....)

Senjata yang di gunakan itu ditempanya sendiri, berbentuk pisau bermata dua dan disapu dengan racun. Ketika hendak mula solat, Abu Lukluah menikam Umar bertubi-tubi dari belakang.........Perkara itu menjadi punca kematian Umar Al-Khattab. Abu Lukluah pula berjaya ditangkap dan dibunuh oleh sahabat yang telah menghasutnya dengan tujuan Abu Lukluah tidak mendedahkan bahawa mereka juga turut terlibat.

Novel ini menarik untuk dibaca bagi mereka yang meminati sejarah Islam dan ingin mengetahu lanjut tentang tokoh-tokoh Islam yang terkemuka.

Kaum Arab yang dahulunya hidup berpecah belah dan dipandang hina oleh tamadun Rom dan Parsi, menjadi mulia disebabkan oleh kedatangan Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w..(mulianya manusia adalah kerana taqwa di sisi Allah, bukan disebabkan bangsa. Tanpa Islam, tidak mungkin kaum arab mampu pergi jauh)..Siapa sangka dengan kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab, dua tamadun besar dunia iaitu ROM dan PARSI ditewaskan oleh TAMADUN ISLAM...

1 ulasan:

nieza83 berkata...

aku baru nak p ahad nie...
untung2 banyak diskaun..hehe
nak kena sediakan senarai buku yang nak dibeli tapi pastikan poket penuh jugak..huhu..takut terlebih budget..

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...