Ahad, 26 April 2009

Kuliah Jumaat.....

Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Wajar disamakan seperti orang yang berilmu dan bertaqwa, semakin banyak ilmu yang terisi di dada, semakin tunduk dan tawadu' merendah diri. Orang yang berilmu itu apabila semakin banyak yang dipelajari, dia sedar banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya...Maha luas ilmu Allah yang maha mengetahui.

Alhamdulillah IISKD menganjurkan kuliah atau majlis ilmu buat guru-guru yang berkelapangan untuk hadir pada Jumaat yang lalu. Penceramah yang di jemput adalah Dr Abdullah Yasin, yang bertugas di unit dakwah, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Orangnya sederhana sahaja. Penampilannya ringkas dan kemas. Senyum sentiasa mekar di bibir. Tutur kata kemas dan bersopan santun. Pertama kali berjumpa, terasa suka melihatnya. Mungkin benar kata Rasulullah, orang yang berilmu ini, wajahnya bercahaya....

Dr Abdullah Yasin...

Sebelum ini saya sempat mengikuti 2 ceramah 1 khutbah Jumaat Dr Abdullah Yasin semasa menuntut di peringkat Ijazah di UM. Atas inisiatif sahabat-sahabat di kolej 3 yang peka, saya ditugaskan untuk menjemput beliau untuk hadir untuk menjadi imam solat Terawikh dan memberikan pengisian ilmu buat penghuni kolej 3 UM. Itu pun setelah beberapa kali tarikh dipinda kerana beliau sememangnya sibuk bekerja, memberi kuliah dan mengajar di merata tempat. Ceramahnya bersahaja dan sedikit unik dengan cara beliau yang tersendiri. Kata-kata yang disampaikan mudah untuk difahami. Perbandingan dan contoh yang diberikan ringkas, tetapi sampai kepada maksudnya..Itu cerita pada tahun 2005.

Selepas itu saya tidak pernah bersua muka dengan Dr Abdullah Yasin sehingga Jumaat yang lalu di IISKD.

" di sini rupanya kamu ya Syeikh!"

Ucap beliau semasa menyambut salam saya sambil tersenyum. Walaupun sudah empat tahun berlalu, bertemu pula sekadar beberapa jam, beliau masih boleh mengecam muka "jawa" ini.

Kewajipan terhadap Al-Quran

Petang itu, kami diperingatkan semula oleh Dr Abdullah Yasin tentang kewajipan kita sebagai umat Islam terhadap Al-Quran. Sepertimana yang kita maklum, kitab suci yang sepatutnya menjadi pegangan bagi umat Islam itu semakin jauh sekali dipinggirkan. Walhal itulah "manual" untuk kita menjalankan kehidupan di dunia ini.

Seperti kita membeli alatan, contohnya kamera digital. Sudah tentu orang yang mencipta kamera itu lebih tahu semua segi tentang kamera tersebut. Kamera itu juga perlu digunakan selari dengan manual yang telah dibekalkan. Apabila disalahguna, manual atau panduan tersebut tidak dirujuk, maka akan berlaku kerosakan. Kamera yang sudah rosak itu tidak dapat digunakan lagi. Bila dibuang menjadi sampah.

Manusia yang diciptakan Allah. Allah lebih mengetahui fungsi manusia itu sendiri. Maka Allah bekalkan "manual" kepada kita iaitu Al-Quran. Hidup dengan tidak berpedomankan Al-quran menjadikan manusia itu rosak...Lalu jadilah seperti sampah....

Kewajipan terhadap Quran itu ada lima iaitu :
1. Beriman kepadanya
2. Tilawah Quran
3. Faham Al-Quran
4. Mengamalkannya
5. Menyebarkannya kepada yang lain.

Ini lima kewajipan yang disenaraikan oleh Dr. Abdullah Yasin kepada kami yang hadir pada kuliah tersebut.

Wajib kita beriman dengan Al-Quran kerana ianya terkandung di dalam rukun iman iaitu beriman kepada kitab. Kitab yang diturunkan inilah yang menjadi panduan dan pedoman hidup kita di dunia.

"Ada beza ya antara Tilawah dengan Qiraat. Bacaan dan tilawah itu ada beza. Mengapa Tilawah Al-Quran, bukan Qiraat Al-Quran? Qiraat atau bacaan itu, apabila kita baca sesuatu, tidak kira apa juga bahan bacaan, kita ada pilihan untuk percaya atau tidak. Ada pilihan untuk ikut atau pun ingkar. Itu Qiraat atau bacaan. Tapi Tilawah itu adalah apa yang kita baca itu wajib kita turuti...Tiada pilihan untuk kita ingkari. Ia mesti dipatuhi. Bukannya sekadar baca sahaja."

Itu antara yang dijelaskan oleh beliau. Tetapi kita hari ini pula kebanyakannya hanya Qiraat (membaca) sahaja. Seolah-olah menjadi budaya tanpa cuba kita fahamkan....

Tiada ulasan:

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...