Jumaat, 27 Februari 2009

Niat solat Zohor


Pertengahan bulan Februari, sempat saya melencong sebentar ke Melaka untuk membantu Ustaz Fadly menjadi Fasilitator untuk program kepimpinan untuk pelajar sekolah rendah di Melaka. Program berlangsung di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, berhampiran dengan UITM. Program ini dikendalikan oleh unit Rumahku Syurgaku dan Jazim Motivation Group Melaka.

Alhamdulillah Jazim Motivation Group telah mempunyai tapak yang kukuh untuk berkembang di Melaka. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Fadly selaku pengarah urusan. JAZIM berkembang sedikit demi sedikit. JAZIM di Melaka bermula sebagai sebuah pusat tuisyen yang berpusat di Air Molek. Ketika diasaskan, Ustaz Fadly masih lagi belajar di Universiti Malaya.

Ustaz Fadly berbaju melayu hijau, bersama fasilitator lelaki (Gambar semasa majlis berbuka puasa 2008)

Saya tiba agak lewat (tengah malam) ketika pelajar memulakan slot "Night Walking". Seperti biasa pelbagai aksi dapat disaksikan malam itu. Ada yang pura-pura pengsan, ada yang bersilat, ada yang menangis, ada yang meraung ketakutan dan ada juga yang tidur (hebat!). Agak malang malam itu, saya digigit oleh seorang pelajar yang ketakutan bila saya cuba memegang tangannya. Mujur "refleks" saya untuk meluku kepala pelajar tersebut dapat ditahan. Kalau tidak ada yang benjol kepala malam itu.

Paling menarik perhatian apabila ada yang berzikir tunggang terbalik. Baca surah Al-Fatihah lintang pukang tak ikut susunan ayat....Kerana terlalu takut..Walhal saya difahamkan ramai yang agak sombong pada waktu siang....

Alhamdulillah program berjalan lancar tanpa sebarang "gangguan" lain.

Mari solat....

Dalam program sebegini, kami menekankan perlunya untuk pelajar solat secara berjemaah. Selepas solat, biasa ada sedikit tazkirah atau kuliah ringkas yang memberikan penekanan tentang kepentingan ibadah dalam hidup. Bila ditanya semua solat atau tidak, masing-masing mengaku solat.

Namun kami tahu ada yang tak mahu mengaku tak solat. Jadi usaha untuk mengenalpasti pelajar yang "kelentong" ini dilakukan. Tidaklah sesukar mana. Hanya perlu rapat dengan pelajar dan tanya latarbelakang keluarga dan lain-lain....

Nak dijadikan cerita, ada seorang kawan Fasilitator yang rajin bertanya-tanya hal-hal asas solat pada pelajar. Hal asas seperti niat, wuduk, bacaan asas dan lain-lain yang mudah. Sebelum pelajar bergerak ke dewan solat, sempatlah di cekup 2 orang untuk ditanya....Mereka di tanya berdasarkan perilaku mereka yang sedikit mencurigakan. Rambut gaya terpacak keras (pengaruh artis la ni) yang nyata tidak sesuai dengan pelajar dan sedikit perang kerana diwarnakan.

Hafiz : Kau pandai solat tak ni? Nak tanya sikit ni. Tadi solat zohor macam mana niat die? Kau solat tak tadi?

Murid : Solat bang..

Hafiz : bace niat solat zohor.


Murid : Asyhadu anlailahaillallah.......


Kami terkedu dan melopong.................


Hafiz : Asar berape rakaat solat?


Murid : 3 rakaat.


Hafiz : Maghrib pulak?


Murid : Maghrib 2 rakaat.


Hafiz : Isya'?


Murid : Isya' 3 rakaat.


Hafiz : Subuh?


Murid : Subuh 4 rakaat bang.


Hafiz : Tau baca Quran tak ni?

Murid: (hanya menggelang kepala sambil tertunduk malu)


Dapat juga dicekup. Walhal awal program dahulu mengaku solat. Bila diasak soalan bertalu-talu, terbuka juga pekung di dada. Mujur jumpa, kalau tidak entah bila mereka akan terus dengan pembohongan besar tersebut.

Hasil soal selidik kami dengan 2 orang pelajar tersebut, nyata solat itu adalah sesuatu yang "ganjil" di rumah. Jarang sekali solat. Namun tidak pula kami hebahkan pada kawan-kawan pelajar tersebut tentang kekurangannya. Aib mereka perlu dijaga juga. Kami meminta bantuan mereka untuk mengenalpasti di kalangan mereka yang tidak pandai solat.

"Mak ayah saya pun tak solat bang....."

Ada nada kecewa di sebalik jawapan yang kami terima dari pelajar tersebut. Kasihan benar anak-anak sekarang ini. Ramai betul yang dilepaskan oleh Ibu dan Ayah mereka menghadapi dunia, tanpa bekalan yang cukup.

Umpama pergi berperang dengan hanya bersenjatakan batang kayu atau buluh, berbaju nipis. Walhal musuh lengkap dengan baju perisai dan senjata moden... Zalimnya..

Nampak sangat sekarang keruntuhan moral pada hari ini bermula dari keruntuhan yang berlaku dalam institusi keluarga.

Mungkin saya akan pertimbangkan untuk memohon DPLI selepas ini, untuk menjadi guru.....

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nak jadi cikgu? mmm...kalau sungguh sunguh nak...siapkan mental fizikal...kita selalu dengar, jadi cikgu senang..kacang..realitinya tidak...tapi dalam susah ada bahagia^^

-i lost your hp number. enhe'Poji...

Tanpa Nama berkata...

senario yang biasa berlaku apabila kem melibatkan remaja..
last year aku p program lebih kurang serupa juga situasinye..
mula2 susah nak mengaku tapi bila lembut hati sikit baru nak cakap..
berdoa mudah2an anak2 ini sentiasa diberi hidayah dan dilindungi... ameen..

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...