Khamis, 16 Jun 2011

Saya pun percaya Allah...

Beberapa minggu lepas, pergi menghadirkan diri ke sebuah kedai gunting rambut di Simpang Renggam. Kenapa? Lantaran rambut yang semakin panjang. "rambut cikgu pun panjang jugak!" Tak mahu telinga ini mendengar ayat itu keluar dari mulut murid. Alhamdulillah setakat ini tak ada.


Keluar rumah sekitar 8.30 pagi menuju ke destinasi berhampiran dengan stesen bas Simpang Renggam. Pagi-pagi hari Sabtu, banyak kedai gunting rambut masih tutup. Tuan kedai rehat-rehat barangkali. Pusing punya pusing, ternampak satu kedai yang buka. Milik seorang lelaki cina yang sudah tua atau pun lebih kita kenali dengan nama apek. Niat di hati nak pergi ke kedai melayu, tapi masih belum buka. Rajin pula pakcik ni buka kedai pagi-pagi.

Semasa melangkah masuk kedai pakcik, kelihatan seorang pakcik melayu sedang digunting rambutnya. Diluar kedai tertulis nama BOTAK. Pakcik ini senang orang memanggilnya dengan nama BOTAK. Tapi kepalanya tidak pula botak licin.

"Haloo, selamat pagi!" Pakcik Botak menyapa diri ini yang belum pernah dia nampak bertandang ke kedainya. Kedainya kemas dan bersih, walaupun kecil. Pakcik Botak ramah. Rajin berbual dengan pelanggan. Pandai mengambil hati pelanggan.

" Orang sekarang ni, ramai sudah lupa tuhan, lupa agama. U tengok ramai orang kaya sekarang ni. Kedekut, tak mahu bagi wang, tak mahu tolong orang susah. Ada wang banyak pun tak cukup"

" Tapi itu orang lupa semua. Benda tak elok, tuhan balas balik. Allah balas apa kita buat. Saya cina, tapi saya percaya Allah. Sekali Allah balas kita buat jahat, memang habis kita. Buat apa hidup mau sombong-sombong sama orang."

" Kaya sangat pun apa guna maa. Duit tak bole bawak mati. Kita mati, orang lain yang guna duit. Orang kaya-kaya pun, ramai yang tak sihat. Sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, sakit hati. Apapun tak boleh makan. Ikan sedap-sedap, ayam, tak bole makan. Sakit."

"Saya tak kaya maa..Tapi syukur la badan sihat. Boleh kerja. Takda kereta pun, wa naik basikal saja. Banyak terima kasih pada tuhan. Ini tuhan bagi pada saya, saya terima. Badan sudah sihat, takda sakit pun, sudah banyak terima kasih Allah."

Mungkin petahnya pakcik Botak itu adalah antara strateginya untuk menjaga pelanggannya. Namun isi perbualannya dengan pelanggannya itu ada antaranya menusuk ke hati yang tumpang mendengar ini.

Kita mesti bersyukur.

Itu pengajaran yang saya dapat berkunjung ke kedai pakcik Botak. Walaupun seorang cina, dia bersyukur dengan kehidupannya. Syukur masih sihat dan kuat badan walaupun tidak kaya.

Ditakdirkan allah saya mendapat pengajaran daripada seorang apek yang bukan beragama Islam.

Ampunkan dosaku ya Allah...Sering kali lalai dan tidak bersyukur dengan jutaan rezeki yang telah dilimpahkan...

Tiada ulasan:

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...