Selasa, 11 Januari 2011

Terminal Bersepadu Selatan - Rakyat didahulukan?



Di media arus perdana tersiar berita Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sudah mula beroperasi pada bulan Januari. Dengan adanya TBS ini, bas-bas ekspress dari selatan akan tertumpu di TBS ini. Maksudnya tidak perlu bersesak-sesak ke Puduraya. Namun muncul pula berita setakat ini hanya 4 syarikat sahaja yang beroperasi di sana.

Apa jadi kepada syarikat bas ekspress yang lain??

Mereka boikot! Kenapa boikot? Senang cerita sebab kos terlalu mahal (bahasa pasarnya mahal gile!) Diberitakan setiap bas yang keluar masuk TBS itu akan dikenakan caj sebanyak RM20. Itu untuk setiap bas.

Maksudnya kalau 5 bas keluar masuk, RM100 perlu dibelanjakan oleh syarikat sehari hanya untuk caj bas keluar dan masuk. Itu baru 5 bas. Agak-agak untuk satu syarikat bas, berapa banyak bas yang keluar masuk setiap hari?

Itu tidak termasuk caj seringgit untuk setiap penumpang bas.

Ada juga isu sewa gerai yang mahal bagi peniaga-peniaga kecil. Macam mana nak untung kalau sewanya mahal. Walhal perniagaan menjual air dan makanan ringan bukannya menjana berpuluh ribu ringgit sebulan. Penyelesaian, barang jualan dinaikkan harga juga? Tak tahu lah.....

Itu antara sebab utama ramai pengusaha bas yang memboikot. Sudahlah minyak mahal, alat ganti bas mahal, untung pula tak seberapa. Sekarang dikenakan caj yang teramat-amat mahal pula. Rasanya seperti diperas ugut oleh samseng konsi gelap untuk membayar wang perlindungan pula.

Tak terhenti setakat itu,Datuk Halimah Mohd Sadique (Pengerusi LPKP) yang mengarahkan semua bas operator (bas ekspress ke Selatan) memulakan operasi di Terminal Bersepadu Selatan selewat-lewatnya 16 Januari 2011 ini atau bakal dikenakan tindakan.

Pengusaha bas perlu patuh pada arahan ini atau permit mereka ditarik balik!

Sifir mudahnya, untuk mengimbangi kos-kos GILA yang ditanggung oleh pengusaha bas, tambang bas akan dinaikkan.

Tidak tahulah siapa yang untung di sini. Sekiranya kos itu tidak berubah dan pengusaha bas terpaksa akur dengan arahan pindah itu, maka semua kos itu sebenarnya akan ditanggung oleh kita yang menaiki bas, melalui jualan tiket yang mahal.

Hidup di Malaysia semakin terhimpit. Kos hidup meningkat, tetapi pendapatan tidak meningkat. Ringkasnya semakin ramai yang miskin. Mereka yang berpendapatan rendah terpaksa membayar harga yang mahal untuk menggunakan pengangkutan awam.

Ya, menggunakan pengangkutan awam seperti bas ekspress pun perlu membayar harga yang mahal. Pengusaha bas mempunyai alasan yang kukuh kerana mereka juga mahu meneruskan kelangsungan hidup. Tiada pengusaha yang mahu rugi dan terus rugi.

Rakyat didahulukan?

Tiada ulasan:

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...