Saya cukup seronok mengajar anak-anak murid di sekolah bernasyid, terutamanya bermain alat muzik "ketuk-ketuk". Walaupun memenatkan (suara serak, tangan sakit bengkak, sabar dengan kerenah murid), saya rasa berpuas hati jika mereka dapat menangkap dan melakukan apa yang saya ajarkan. Memang ada pelajar yang berbakat bermain alat muzik seperti ini. Dalam masa yang terhad, mereka dapat mengikuti apa yang saya ajarkan.
Oleh kerana sekolah masih lagi kekurangan alat muzik, kami terpaksa meminjam "conga" dari sebuah surau yang berhampiran. Saya menambah dengan meminjamkan alat muzik dalam koleksi saya, sebuah darbuka@yankee, shaker dan yang terbaru, sebuah djembe!
Saya baru membeli djembe ini dua hari yang lepas pada harga RM 600....Lama juga masa yang diambil untuk mengumpul wang sebanyak itu. Tetapi kerana minat, dibeli juga. Pada pendapat saya, lebih mudah saya mengajar jika pengajar itu memiliki alat muzik itu sendiri, dalam masa yang sama boleh mempertingkatkan kemahiran dengan berlatih mermain sendiri di masa lapang.
Suasana di sekolah minggu ini gamat dengan bunyi ketukan alat muzik.
Djembe yang dibeli...saya terkejut melihat saiznya yang besar..
"Ustaz, kami nak "jamming" sekarang boleh?"
"Ustaz...kami nak main kompang.."
"macam mana nak main benda ni ustat?"
"Ustat tak nak ajar kami main kompang ke?"
Rata-rata mereka suka aktiviti "ketuk-mengetuk" alat muzik ini. Pantang lepa, ada saja pelajar yang singgah ke bilik simpanan alat muzik. Maka bergemalah bunyi kompang,yankee, shaker, tamborine dan macam-macam lagi. Bermacam-macam irama ada hinggalah irama kompang majlis kahwin turut dimainkan...
Difahamkan tahun ini adalah tahun pertama mereka bermain alat muzik yang pelbagai (sebelum ini cuma ada kompang sahaja). Terhibur juga hati melihat mereka bermain kompang, terutama murid murid yang kecil-kecil.
Saya bercadang mahu menubuhkan "percussion group" di sekolah pada tahun hadapan memandangkan sambutan pelajar yang menggalakkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan