Selasa, 24 Februari 2009

Pandai ke saya?

Baru-baru ini saya ada terdengar kawan-kawan berbicara mengenai hal lelaki akalnya lebih daripada perempuan. Teringat saya kawan-kawan di sekolah ada yang berbalah mengatakan pelajar lelaki lebih pandai dari pelajar perempuan. Setakat mana kebenarannya tak tahu pula. Tapi sepanjang saya bersekolah, tempat pertama dalam kelas memang selalu di dominasi oleh pelajar lelaki hahaha.

Semasa di tingkatan enam dahulu pun saya bukan jenis rajin belajar (bukan tak belajar langsung). Di dorm hanya bersembang dengan kawan-kawan dan membaca komik. Amat jarang sekali belajar. Masa belajar hanyalah di kelas dan waktu prep, termasuk kelas tambahan. Ataupun jika mahu belajar, saya akan pergi ke kelas. Di asrama, jangan harap nak buka buku.

Mencuba sedaya upaya membuat nota dalam kelas

Mungkin sedikit kelebihan yang Allah anugerahkan saya berbanding kawan-kawan lain adalah saya lebih cepat faham (cepat tangkap) apa yang diajar...(tidak termasuk subjek matematik). Dalam kelas saya memberi sepenuh perhatian dan tidak tidur (walaupun sangat mengantuk). Masa prep belajar, buat nota setakat yang terdaya. Waktu di dorm memang waktu rehat. Pendek kata suasana saya belajar kebanyakannya di dalam kelas.

Kawan-kawan yang lain terutama perempuan saya lihat sangat-sangat rajin dan tekun membaca, mengulangkaji dan membuat nota. Buku yang dibeli pula tebal-tebal (sering saya pinjam kerana saya tidak mempunyai buku rujukan yang tebal). Masa prep pula masing-masing tekun belajar, berbanding lelaki yang tidur dan selalu membuat "onar" dalam kelas, malah ada yang tidak muncul pun waktu prep.

Sedang merepek dalam dorm (saya sering merayau ke dorm orang lain)

Tiba waktu ujian, kebanyakan yang "study maut" ini markahnya biasa dan ada juga yang tidak lulus. Saya Alhamdulillah lulus (walaupun tidak cemerlang). Saya juga tidak menyangka boleh mendapat anugerah pelajar terbaik percubaan STPM di sekolah dahulu. Rasanya bukan pandai sangat pun.

Kawan-kawan ada yang pelik juga. Bukannya rajin sangat "study" tapi boleh lepas. Kebanyakan yang "study maut" itu saya lihat kurang faham apa yang dipelajari. Maksudnya tidak jelas apa yang perlu dijawab. Walaupun soalannya tidaklah sesukar mana. Ramai juga yang tidak tahu teknik atau cara menulis jawapan berbentuk esei.

Subjek sejarah STPM contohnya memang memecahkan kepala. Bukunya tebal dan perlu dijawab secara subjektif (menulis esei). Banyak sangat yang perlu diingat. Itu satu subjek yang amat sukar. Namun bagi saya subjek itu dapat saya kuasai (tidaklah mahir) kerana saya dapat faham jalan ceritanya. Saya membayangkannya seperti sebuah cerita. Jadi sedikit sebanyak saya dapat ingat nama-nama, tempat, tarikh yang penting dan apa sebenarnya yang terjadi, walaupun tidaklah secara terperinci.

Bernasib baik...

Rasanya saya juga bernasib baik semasa menjawab soalan sejarah STPM. Saya tidak mempunyai banyak wang ketika belajar di tingkatan 6 dahulu. Jadi saya hanya membeli buku sejarah yang paling murah, berbentuk soalan dan jawapan berbentuk esei. Buku itu nipis dan kecil sahaja. Buku itu yang sering saya baca. Hendak guna buku rujukan, saya akan pinjam sahaja dari kawan-kawan perempuan.

Dalam dewan exam, STPM 2002

Subjek sejarah saya tidak pernah dapat A. PMR saya dapat B. SPM pun dapat gred 3B. Ujian waktu di tingkatan 6, paling tinggi saya dapat Prinsipal C. Ustaz Saer yang mengajar kertas 1 (tamadun dunia & tamadun Islam) sangat kedekut markah. Pernah kertas saya ditanda depan pejabat sekolah dan memakan masa kurang 5 minit....(sambil disaksikan oleh pelajar lain yang lalu di situ).

Semasa STPM, kertas "membunuh" Ustaz Saer itu, saya berjaya mendapat gred A1! Saya kira itu nasib kerana ada satu soalan dalam buku kecil yang saya beli itu keluar dalam kertas sejarah STPM 2002! Memang "sebijik-sebijik" sama dalam buku itu. Kebetulan soalan itu yang sering saya baca dan ingat isinya. Syukur tak terhingga rasanya ketika itu. Selepas exam, rakan-rakan lain terkejut apabila saya tunjukkan soalan dalam buku kecil itu. Geleng kepala semuanya.

Saya pandai?

Kawan-kawan sekelas mengatakan saya bijak, pandai. Tapi saya tak rasa begitu. Saya rasa saya cuma bernasib baik. Saya hanya lebih cepat sedikit faham berbanding kawan-kawan di dalam kelas. Itu sahaja. Kalau nak kira pandai, ramai lagi yang lebih pandai daripada saya.

Di UM, saya bukan tergolong dalam pelajar cemerlang. Pencapaian saya cuma sederhana, 2nd Class Honour dengan PNGK 3.24. Agak rendah bagi pelajar jurusan Syariah di UM. Ramai di kalangan rakan sekuliah yang mendapat 1st Class semasa konvokesyen.

Pendek kata saya cuma insan biasa, tidaklah CERDIK seperti yang disangka oleh teman-teman lama. Namun otak saya tidaklah BEBAL. Banyak yang perlu saya belajar lagi.

Bukankah proses belajar itu hanya akan berhenti jika ajal kita sudah sampai?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aku dah cakap...
ko tak percaya...huhu

fauzi berkata...

apenye yg tak percaye?

Tanpa Nama berkata...

percaya pada kebolehan diri sendiri..=)
tapi memang rezeki ko..

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...