Alhamdulillah masih ada kesempatan menulis....Sempat curi-curi masa keluar pergi ke CC untuk melayari internet.
Tahun 2007 sudah berlalu, muncul pula tahun 2008..Rasanya seperti biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang menarik perhatian dengan kedatangan tahun 2008 ini melainkan menyedari umur yang semakin bertambah dan makin risau dengan amalan yang masih tidak cukup andai dijemput menghadap TUAN PUNYA DUNIA dalam jangka masa terdekat.....
Malam tahun baru saya hanya duduk dirumah selepas membuat sedikit latihan panas suara bersama rakan kumpulan nasyid. Menyaksikan sambutan tahun baru di kaca televisyen. Rata-rata hangat dijayakan dengan konsert nyanyian dan tari-menari, sama seperti tahun sebelumnya. Kasihan melihat mereka yang terkinja-kinja, memekik-mekik sempena kedatangan tahun baru, tidak faham apa yang disambut sebenarnya. Saya yang bosan menukar rancangan melihat cerita Starship Troopers yang ditayangkan dirancangan lain. Itu lebih baik rasanya dari sakit hati melihat telatatah umat melayu menyambut tahun baru 2008.
Cara Sambutan tahun baru 2008
Rata-rata sambutan dibuat dengan konsert dan nyanyian artis. Itu sebagai tarikan yang utama. Saya hanya tertarik dengan sambutan yang dianjurkan oleh Masjid Al-Syakirin KLCC yang menganjurkan forum dan persembahan nasyid oleh kumpulan Fareast dan usatz Akhil Hayy....Rugi rasanya tak sempat hadir.
Ditempat-tempat lain, rata-rata sambutannya sama. Bangsar, dataran merdeka, KLCC, Sunway dan banyak lagi tempat, saya kira sambutannya lebih menjurus kepada hiburan kosong melalaikan, walaupun ada tempat yang dihadiri oleh Perdana Menteri kita Pak Lah. Dapat dijangka muda-mudi berpesta dan berpeleseran hingga lewat pagi tanpa hala tuju. Dibukit bintang disambut dengan beribu-ribu botol minuman keras yang diteguk dan di jirus umpama air mineral.
Saya sedikit bersyukur kerana melihat Buletin Utama yang seolah-olah menegur tingkahlaku anak-anak muda yang dilanda masalah sosial yang hebat ini dengan membandingkan sambutan yang penuh dengan hiburan yang melalaikan ini dengan sambutan di Masjid Al-Syakirin KLCC. Harap perkara ini dapat disedari dengan lebih meluas lagi oleh masyarakat kita. Sesiapa yang menonton Buletin Utama 1 januari 2008 dapat melihat bagaimana lekanya muda mudi menyambut tahun baru di Bukit Bintang. Dan saya terdengar ayat pembaca berita "adakah ini pemuda harapan bangsa?" (kalau tak silap la...)
Saya bukan anti hiburan
Saya bukan anti muzik
Saya suka hiburan
Saya juga sangat sukakan muzik
Namun sebagai umat Islam kita perlu tahu setiap perkara ada batasnya dan tidak boleh melampau.
Selamat menyambut tahun baru 2008. Moga tahun ini kita menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan