Mengubah satu kebiasaan memang memerlukan usaha yang lebih. Malah perkara baru yang mahu dibiasakan itu perlu selalu cuba dibuat untuk menggantikan perkara yang telah kita terbiasa. Contohnya sudah biasa bangun lewat pagi, mahu ubah bangun awal. Memanglah perlu 'bertarung' atau 'berperang' dan bermujahadah melawan mata mengantuk yang minta ditutup itu..Kali pertama mungkin tidak berjaya. Cubaan kedua mungkin gagal. Mungkin cubaan ketiga dan seterusnya akan membuahkan hasil yang lebih baik.
Kuncinya?
Mulakan sahaja dahulu. Kalau tidak cuba mana tahu? Kita selalu meletakkan diri kita dalam zon selesa dan melakukan perkara yang biasa tanpa mahu menyusahkan diri membuat sedikit kelainan. Walhal yang biasa tak semestinya betul, tetapi kita perlu biasakan perkara yang betul.
Amalan memberi cenderahati pada tetamu kehormat atau VIP memang menjadi amalan dalam majlis di Malaysia. Kalau di peringkat sekolah, pasti disediakan cenderamata untuk perasmi majlis yang dijemput dari luar. Lebih-lebih lagi jika perasmi merupakan orang yang berjawatan tinggi. Tak lengkap jika tidak ada cenderamata. Malah dianggap melanggar protokol dan tidak beradab.
Dari satu perspektif, amalan ini menunjukkan rasa hormat kepada tetamu yang hadir.
Apa yang diberi?
Kalau di peringkat sekolah, saya melihat kebiasaannya, perasmi akan mendapat cenderamata berbentuk plak (betul ke ejaan?) atau hamper yang terdiri daripada makanan.
"untuk PPD atau wakilnya nanti, kita nak beri apa?" tanya seorang cikgu jQAF kepada guru besar.
"kita beli buah-buahan je. Beli yang mahal-mahal sikit, letak dalam bakul. Boleh dia makan. Kalau bagi plak, bukan boleh buat ape pun."
"Kalau kita bagi buku boleh tak cikgu? Kita bagi buku yang harganya mahal sikit. Saya cadangkan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan susunan Ustaz Ismail Kamus. Yang dapat tu boleh baca, rujuk apa-apa masalah fiqh, solat ke dalam buku tu. Buku tu sesuai untuk panduan orang awam, dari lahir sampai ke pengurusan jenazah pun ada." jelas cikgu jQAF dengan bersemangat.
"mmmmm....Buku ke? Macam tak sesuai je bagi buku. Orang jarang bagi buku untuk cenderamata."
Ahh...proposal rejected.....
Benar, amalan memberi buku sebagai cenderamata jarang sekali berlaku. Bukan tidak ada, tetapi jarang. Tidak salah rasanya kita menghadiahkan buku kepada perasmi sesuatu majlis jika majlis itu bersesuaian. Kalau majlis solat hajat atau perasmian mesyuarat, rasanya boleh kita berikan buku yang difikirkan sesuai. Bahkan boleh sahaja diberikan Al-Quran kepada VIP yang beragama Islam. Ataupun cenderamata plak atau hamper itu boleh disertakan sekali dengan buku.
Berlainan dengan perasmian majlis berbentuk sukan, mungkin cenderahati berbentuk plak, atau barang-brang lain lebih sesuai. Cenderamata berbentuk buku rasanya lebih sesuai untuk majlis berbentuk ilmiah, perbincangan dan spiritual.
Nanum jarang sekali kalau di peringkat sekolah, cenderamata yang diberikan adalah buku...Sayang sekali...
Dalam buku itu terselit ilmu yang mungkin berguna dan belum kita temui sebelum ini. Atau jika buku itu sudah kita perolehi, boleh kita memanjangkan pahala dengan memberikan buku itu kepada orang yang belum membacanya.
Membaca belum lagi menjadi amalan rakyat Malaysia.
Namun, untuk mengubahnya, perlu dimulakan sekarang.
Mari kita hadiahkan buku sebagai cenderamata!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan