Rabu, 10 Jun 2009

cuti sekolah, tapi tidak cuti..........

Cuti sekolah sudah hampir sampai ke penghujungnya. Tatapi cuti kali ini rasanya seperti tidak bercuti berikutan banyak program yang perlu dihadiri sepanjang cuti sekolah ini. Disebabkan program itu juga, banyak jemputan kenduri kahwin kawan-kawan tidak dapat dipenuhi. Minta maaf atas kekurangan itu. Tetapi apa boleh buat, sudah menjadi tugas sebagai seorang guru.

Perkhemahan pelajar IISKD

Perkhemahan ini berlangsung selama 3 hari 2 malam di Kalumpang, Hulu Selangor. Bermula pada hari Sabtu 30 Mei hingga Isnin 1 Jun. Walaupun nampak mudah, tetapi program ini amat meletihkan guru-guru yang terlibat dan turut serta dalam perkhemahan tersebut. Persiapan rapi perlu dialkukan sebelum berangkat pergi. Tambahan pula, pelajar perlu memasak sendiri makanan mereka sepanjang 3 hari perkhemahan.

Tak menang tangan juga menguruskannya. Mujur guru-guru memberi kerjasama yang baik dan membantu mana-mana bahagian yang difikirkan perlu. Perkhemahan ini amat baik untuk memberi pendedahan kepada "anak-anak bandar" di IISKD.

Kursus KRS (Leftenan Muda) untuk guru-guru

Selang 2 hari selepas perkhemahan dengan pelajar, 9 orang guru dari IISKD perlu menghadiri kursus Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM) yang diadakan di Setiawan, Perak selama 4 hari 5 malam. Gelap muka semasa perkhemahan dengan pelajar belum lagi hilang, kena pula pergi kursus 5 hari. Maka bertambah gelaplah muka ini.

Sudah lama juga tidak menjalani aktiviti perkhemahan yang agak lama seperti ini. Bagus juga pergi kerana badan ini sudah semakin membulat dan mengembang (gemuk).......Tambahan pula kami dapat berkongsi maklumat dan pengalaman daripada guru-guru sekolah Islam yang lain yang turut menghadiri kursus tersebut.

Perserta lelaki yang hadir...(bulatnya badan ini...)

Jadi sepanjang 5 hari ini juga kami perlu memasak sendiri untuk makan. Hal ini tidak menjadi masalah kerana guru-guru lelaki ramai yang tahu memasak. Cuma aktivitinya agak meletihkan bagi saya yang kurang stamina ini (maklumlah badan dah berat). Pada hari terakhir juga kami perlu memakai pakaian seragam KRS yang lengkap....Kali terakhir saya menyarungkan uniform pakaian seragam adalah pada tahun 2002 semasa di Tingkatan 6 ( menyertai pasukan Kadet Bomba)...Ketika itu badan kurus dan segak. Tapi sekarang, seperti nangka yang di balut....

Hari terakhir kursus

Kem Ibadah dan Sahsiah diri (anjuran Jazim Motivation)

Saya menghadiri program ini lewat sehari. Program bermula pada 8 jun tetapi disebabkan pada hari tersebut saya masih lagi di Perak, maka saya hanya boleh menghadirkan diri pada keesokan harinya. Program ini dikendalikan oleh Jazim Motivation, syarikat kepunyaan sahabat karib saya Ustaz Fadly Samin yang menetap di Melaka. Program ini diadakan di Masjid Putra Perdana. Ini adalah kali ketiga Jazim Motivation mengendalikan program di Masjid Putra Perdana. Alhamdulillah. Diharap kerjasama antara Jazim Motivation dan pihak Masjid Putra Perdana dapat dieratkan dan dikekalkan.

Saya telah terlibat membantu Jazim sebagai fasilitator agak lama juga, bermula pada tahun akhir pengajian di UM hinggalah sekarang. Jadi rasa tidak sampai hati menolak pelawaan daripada sahabat kali ini memandangkan program ini diadakan di kawasan Selangor dan terletak hanya 40 minit perjalanan dari rumah.

Bersama Puan Norjah (insan yang membawa dan memperkenalkan Jazim ke Putra Perdana)

Balik dari kursus KRS, terus sambung program di Masjid Putra Perdana selama dua hari. Letih juga badan ini. Sudahlah kepala "gondol", muka pun gelap sebab berjemur, badan pula besar "gedabak", jadi arahan yang saya berikan kepada pelajar mudah dipatuhi. Mungkin disebabkan gerun agaknya hahahaha......

Kesimpulannya, untk cuti sekolah kali ini, 8 hari dihabiskan untuk "bercamping" dan 2 hari untuk program motivasi....Meletihkan bagi insan yang lembik ini. Kertas ujian masih belum habis ditanda. Maka saya terpaksa memendekkan masa untuk berada di kampung halaman. Mungkin 2 hari sahaja.

Apa-apa pun semua ini adalah pengalaman yang perlu saya lalui untuk mematangkan fikiran....
Baca artikel penuh...

Selasa, 2 Jun 2009

Album nasyid

Saya menjadi peminat nasyid sejak tahun 1997. Masih ingat lagi zaman itu zaman kegemilangan kumpulan Raihan yang berjaya mencatat jualan album paling tinggi di MALAYSIA iaitu sebanyak 600 000 unit dalam masa kurang setahun....Mungkin jualan keseluruhan album Puji-pujian mencecah lebih sejuta unit. Satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah kumpulan nasyid.

Sebelum nasyid bertapak di hati, saya senang mendengar lagu berentak rock ballad dan balada. Kalau penyanyi Inggeris, memang minat dengan suara Richard Marx (hingga sekarang) dan Michael Learns To Rock...

Alhamdulillah pelaburan ayah saya membeli kaset Raihan bertajuk Puji-pujian membuahkan hasil apabila seorang daripada lima orang anaknya (saya) meminati dan terus meminati nasyid hingga sekarang ini. Terima kasih ayah....

Ada banyak album nasyid yang saya beli. Ada yang bagus, dan ada juga yang kurang saya minati. Namun album nasyid yang paling berbaloi dan terbaik bagi saya adalah album Syukur oleh kumpulan Raihan.

Album nasyid terbaik bagi saya

Di kala album ini dikeluarkan, saya masih di tingkatan dua (1997). Duit dalam tangan pun bukan banyak sangat. Harga kaset RM 15 ketika itu saya rasakan amat-amat mahal. Namun sanggup berjimat menyimpan duit sedikit demi sedikit semata-mata untuk membeli album ini. Ketika itu saya masih tidak tahu apa itu suara bass, second harmoni atau third voice. Sebelum membeli album ini, saya cuma mendengar lagu syukur di televisyen (TV3 kalau tak silap). Rasa sangat-sangat tenang ketika mendengar lagu dari album Syukur. Saya menyukai semua lagu dalam album ini.

Raihan ketika itu dianggotai oleh lima orang ahli. Masing-masing mempunyai peranan vokal berbeza. Paduan suara suara yang harmoni ditambah dengan keunikan vokal Nazrey Johani cukup membuatkan saya tertarik mendengar. Senikata dalam album ini juga tidak terlalu berbunga-bunga dan sangat mudah untuk difahami. Mesej lagunya mudah sampai kepada pendengar.

Sehingga hari ini saya masih lagi mendengar lagu-lagu daripada album Syukur. Bagi saya paduan vokal kumpulan Raihan sukar untuk ditandingi oleh kumpulan nasyid yang lain.

Siapa yang bertanya kepada saya album nasyid apa yang patut dibeli, saya sangat-sangat mengesyorkan album SYUKUR nyanyian kumpulan Raihan.
Baca artikel penuh...

Melayan anak-anak "camping"

Kalau dahulu, saya pergi berkhemah sebagai peserta (semasa sekolah) kali ini saya pergi sebagai seorang guru yang mengendalikan anak-anak murid. Pengalaman yang berbeza, Tambahan pula anak-anak yang dibawa bersama ini majoritinya adalah anak-anak mereka yang berada.

Maka berkampunglah kami di Kalumpang, Hulu Selangor selama 3 hari 2 malam.

Perkhemahan seperti ini amat wajar dihadiri oleh anak-anak.

Mereka perlu memasak sendiri selama 3 hari. Bahan akar semestinya kayu api. Bahan memasak pula, apa yang ada akan dimasak. Namun kebanyakan yang mengikuti perkhemahan kali ini adalah pelajar sekolah rendah, jadi bantuan guru-guru amat diperlukan.

Memasak sambil dibantu oleh ustaz.........

Hari pertama, kami guru-guru menunjukkan demo memasang khemah dan cara-cara memasak kepada pelajar. Memang rata-rata pelajar tidak tahu memasak langsung! Terutama pelajar lelaki. Nak potong bawang, ade yang terhiris tangan sendiri. Nak hidupkan api, berair mata terbatuk-batuk tersedut asap kayu api. Tidak ketinggalan ada juga yang memegang bara api. Ada yang ambil masa sejam untuk hidupkan api sahaja!

Mandi sungai

Ada juga pelajar yang buat kali pertama dalam hidupnya mandi sungai. Macam-macam ragam yang ada. Bila dah turum ke air, memang leka semuanya. Sampai ada yang tinggalkan kuali yang masih menyala api berisi lauk!

Apabila cekgu mandi sungai....riuh mengalahkan budak....

Namun agak kasihan bagi pelajar perempuan kerana peluang mereka untuk mandi sungai agak terhad. Ini disebabkan kehadiran orang luar (pengunjung lain) yang turut mandi di situ. Jadi agak sukar bagi mereka kerana mereka perlu menjaga aurat masing-masing. Kawasan yang yang ditetapkan untuk mandi bagi perempuan juga perlu dipastikan agak terlindung supaya tidak mudah dilihat oleh orang lain terutamanya lelaki.

Bagi lelaki, tempat mereka mandi adalah di sungai. Tandas hanya digunakan untuk Qada' hajat sahaja. Ini kerana aurat lelaki lebih mudah dijaga berbanding dengan aurat perempuan.

"teacher, this is the first time i see a rubber tree!"kata salah seorang peserta sambil tersenyum.

Semasa berjalan ke tempat perkhemahan, pelajar akan melalui kebun getah dan dusun orang kampung disitu. Maka ramai juga yang berhenti berjalan dan berkumpul di pokok getah di tepi jalan kerana asyik melihat susu getah yang ditoreh meleleh masuk ke cawan.

Ada juga yang tersenyum menunjuk ke arah buah cempedak yang sudah masak di pokok. Macam-macam ragam yang ada. Memang mereka kurang terdedah dengan suasana kampung seperti itu. Kebanyakan masa mereka dihabiskan di "hutan batu".

Solat perlu dijaga

"itu ok lagi bang, hari tu ade orang luar dari kl datang camping sini. Siap ade yang bergaduh pasal pokok. Sorang cakap ni pokok durian, sorang lagi pokok manggis" kata pekerja di situ.

"habis tu yang ditunjuk tu pokok ape?" saya menyoal kembali.

"yang ditunjuk tu pokok manggis. Kan ke jauh beza manggis dengan durian. Itu pun ade yang tak kenal bang!" katanya sambil ketawa besar.

alhamdulillah tiada perkara buruk terjadi sepanjang perkhemahan kami di situ. Setakat luka-luka kecil tu biasalah kan....Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang turut serta kerana memberikan kerjasama yang baik dan banyak membantu melancarkan program.

Saya amat yakin "anak-anak bandar" ini memperoleh pengalaman baru setelah melalui program 3 hari ini.

"rugi la siape yang tak nak pergi tu" antara ungkapan yang didengari dari mulut pelajar.
Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...