Selasa, 28 April 2009

Novel Sejarah Islam....

Akhir-Akhir ini saya tertarik untuk membaca novel sejarah Islam yang ditulis oleh Pak Latip atau Abdul Latip Talib. Sejak membaca buku Salahudin Ayubi yang dikarangnya, rasa terdorong untuk membaca karya sejarahnya yang lain. Novel beliau kebanyakannya berdasarkan kepada tokoh Islam yang terbilang dan juga sahabat Rasulullah s.a.w.

Pesta buku yang diadakan minggu lalu tidak saya sia-siakan. Walaupun tidak pergi, namun sempat juga mengirim pesanan kepada sahabat serumah yang pergi menjengah ke PWTC. Ada sahabat yang kata saya telah "dibius" oleh Pak Latip. Tak mengapa. Itu lebih elok daripada dibius novel-novel jiwang karat stereotaip yang melambak di pasaran sekarang. 5 buah buku Pak Latif berjaya saya dapatkan semasa berlangsungnya pesta buku itu dengan perbelanjaan sebanyak RM 102 (selepas mendapat diskaun). Jumlah yang sangat kecil berbanding pengunjung lain yang menghabiskan ratusan malah ribuan ringgit (RM) untuk membeli bahan bacaan.

Di bawah ini antara tulisan Pak Latip yang telah dimiliki.

(Dibeli semasa bosan duduk menunggu bas di Puduraya)



(Juga dibeli di Puduraya....Lama menunggu bas)

Buku yang belum habis dibaca......


Alhamdulillah, daripada 4 novel yang habis dibaca, banyak sekali pengajaran yang dapat dikutip. Antara sebab nama-nama tersebut dikenang dan disanjung kerana sifat kepimpinan yang berjaya ditunjukkan. Kempimpinan mereka itu tunjang utamanya ialah keimanan dan ketaqwaan yang tidak berbelah bagi kepada Allah.....Benarlah apa yang telah dikatakan, Allah menilai seseorang manusia itu dari sudut iman dan taqwa manusia tersebut kepadanya.

Terfikir juga kepimpinan yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemimpin hari ini , terutamanya di Malaysia. Jauh panggang dari api!

Hidup Rasulullah dan para sahabatnya menempuh onak yang penuh liku untuk menegakkan Islam. Tanpa pengorbanan mereka terdahulu, mungkin sahaja kita kini tidak tergolong dalam golongan Muslim....Namun terasa hina bila memikirkan kita hidup bersenang lenang pada hari ini dalam masa yang sama nilai hidup sebagai Muslim semakin kita belakangkan....

Baca artikel penuh...

Ahad, 26 April 2009

Kuliah Jumaat.....

Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Wajar disamakan seperti orang yang berilmu dan bertaqwa, semakin banyak ilmu yang terisi di dada, semakin tunduk dan tawadu' merendah diri. Orang yang berilmu itu apabila semakin banyak yang dipelajari, dia sedar banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya...Maha luas ilmu Allah yang maha mengetahui.

Alhamdulillah IISKD menganjurkan kuliah atau majlis ilmu buat guru-guru yang berkelapangan untuk hadir pada Jumaat yang lalu. Penceramah yang di jemput adalah Dr Abdullah Yasin, yang bertugas di unit dakwah, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Orangnya sederhana sahaja. Penampilannya ringkas dan kemas. Senyum sentiasa mekar di bibir. Tutur kata kemas dan bersopan santun. Pertama kali berjumpa, terasa suka melihatnya. Mungkin benar kata Rasulullah, orang yang berilmu ini, wajahnya bercahaya....

Dr Abdullah Yasin...

Sebelum ini saya sempat mengikuti 2 ceramah 1 khutbah Jumaat Dr Abdullah Yasin semasa menuntut di peringkat Ijazah di UM. Atas inisiatif sahabat-sahabat di kolej 3 yang peka, saya ditugaskan untuk menjemput beliau untuk hadir untuk menjadi imam solat Terawikh dan memberikan pengisian ilmu buat penghuni kolej 3 UM. Itu pun setelah beberapa kali tarikh dipinda kerana beliau sememangnya sibuk bekerja, memberi kuliah dan mengajar di merata tempat. Ceramahnya bersahaja dan sedikit unik dengan cara beliau yang tersendiri. Kata-kata yang disampaikan mudah untuk difahami. Perbandingan dan contoh yang diberikan ringkas, tetapi sampai kepada maksudnya..Itu cerita pada tahun 2005.

Selepas itu saya tidak pernah bersua muka dengan Dr Abdullah Yasin sehingga Jumaat yang lalu di IISKD.

" di sini rupanya kamu ya Syeikh!"

Ucap beliau semasa menyambut salam saya sambil tersenyum. Walaupun sudah empat tahun berlalu, bertemu pula sekadar beberapa jam, beliau masih boleh mengecam muka "jawa" ini.

Kewajipan terhadap Al-Quran

Petang itu, kami diperingatkan semula oleh Dr Abdullah Yasin tentang kewajipan kita sebagai umat Islam terhadap Al-Quran. Sepertimana yang kita maklum, kitab suci yang sepatutnya menjadi pegangan bagi umat Islam itu semakin jauh sekali dipinggirkan. Walhal itulah "manual" untuk kita menjalankan kehidupan di dunia ini.

Seperti kita membeli alatan, contohnya kamera digital. Sudah tentu orang yang mencipta kamera itu lebih tahu semua segi tentang kamera tersebut. Kamera itu juga perlu digunakan selari dengan manual yang telah dibekalkan. Apabila disalahguna, manual atau panduan tersebut tidak dirujuk, maka akan berlaku kerosakan. Kamera yang sudah rosak itu tidak dapat digunakan lagi. Bila dibuang menjadi sampah.

Manusia yang diciptakan Allah. Allah lebih mengetahui fungsi manusia itu sendiri. Maka Allah bekalkan "manual" kepada kita iaitu Al-Quran. Hidup dengan tidak berpedomankan Al-quran menjadikan manusia itu rosak...Lalu jadilah seperti sampah....

Kewajipan terhadap Quran itu ada lima iaitu :
1. Beriman kepadanya
2. Tilawah Quran
3. Faham Al-Quran
4. Mengamalkannya
5. Menyebarkannya kepada yang lain.

Ini lima kewajipan yang disenaraikan oleh Dr. Abdullah Yasin kepada kami yang hadir pada kuliah tersebut.

Wajib kita beriman dengan Al-Quran kerana ianya terkandung di dalam rukun iman iaitu beriman kepada kitab. Kitab yang diturunkan inilah yang menjadi panduan dan pedoman hidup kita di dunia.

"Ada beza ya antara Tilawah dengan Qiraat. Bacaan dan tilawah itu ada beza. Mengapa Tilawah Al-Quran, bukan Qiraat Al-Quran? Qiraat atau bacaan itu, apabila kita baca sesuatu, tidak kira apa juga bahan bacaan, kita ada pilihan untuk percaya atau tidak. Ada pilihan untuk ikut atau pun ingkar. Itu Qiraat atau bacaan. Tapi Tilawah itu adalah apa yang kita baca itu wajib kita turuti...Tiada pilihan untuk kita ingkari. Ia mesti dipatuhi. Bukannya sekadar baca sahaja."

Itu antara yang dijelaskan oleh beliau. Tetapi kita hari ini pula kebanyakannya hanya Qiraat (membaca) sahaja. Seolah-olah menjadi budaya tanpa cuba kita fahamkan....
Baca artikel penuh...

Terkenang lagi

Terkenang zaman bernasyid masa di UM dulu. Kumpulan kami menyanyi sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang yang ada. Dapat jugalah sedikit pengalaman dan belajar mengatasi rasa gugup di atas pentas...

Bila di atas pentas dan ramai pula yang melihat, memang ketar jadinya. Mujur bukan seorang diri, kalau sorang-sorang barangkali suara tak keluar. Mujur juga saya bukanlah lead vokal, hanya sekadar suara latar 1 dan harmoni.

Kini semua ahli sudah membawa hala tuju masing-masing. Ada yang jadi guru dan dihantar ke Sabah (mat) dan Johor (kerol), ada yang buka syarikat (fadli), ada yang mengajar tuisyen (pidut) dan saya sendiri mengajar juga. Di bawah ini antara salah satu persembahan di UM. Pertandingan sebenarnya (tapi pakaian kami memang "out"). Suara sekarang pun sudah berkerak, kerana lama tak berlatih.

Baca artikel penuh...

Selasa, 21 April 2009

Tragedi di sekolah....

Hari ini masuk hari ke 4 dilanda batuk yang teruk. Alhamdulillah suara semakin pulih, tetapi belum boleh bercakap dengan suara yang kuat.

Walaupun tidak berapa sihat, terpaksa juga menjalankan tanggungjawab mengajar yang sudah diamanahkan. Mood sudah tentulah tidak berapa elok kerana tekak masih terasa perit. Tambahan pula perlu berdepan dengan satu kelas tahun 3 yang agak "hyper" pelajarnya. Tidak boleh duduk diam dan mulut masing-masing seperti murai tercabut ekor. Mengajar di kelas tersebut memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

Hendak dijadikan cerita, penghawa dingin kelas tersebut sudah rosak, maka kipas perlu dipasang dan pintu perlu dibuka untuk membenarkan pengaliran udara keluar masuk. Kalau tidak meruap dan panas kami di dalam kelas. Sedang asyik menulis di papan putih, telinga ini dapat menangkap satu suara tangisan....Sayup-sayup kedengaran dari arah luar kelas..Lama-lama saya dan anak-anak murid pasang telinga untuk mendengar.....Tergendala sebentar masa mengajar....Tangisan itu tidak dipedulikan oleh guru-guru lain. Barangkali mereka tidak dengar kerana pintu kelas mereka tertutup rapat.

Dengan rasa agak hairan saya mengikut suara tersebut. Tiada orang di tangga.....Rupa-rupanya datang dari arah tandas murid lelaki....Semakin dekat dengan tandas, semakin jelas kedengaran raungan tangisan tersebut. Bila dibuka pintu tandas, ternampak seorang anak kecil sedang meraung sekuat hati.....

Saya : Kenapa kamu menangis ni? Kawan buli kamu ye?

Pelajar : Tak cikgu........


Saya : Habis tu kenapa menangis kat tandas sorang-sorang ni??


Pelajar : Saya terkencing dalam seluar cikgu...!!!!! Waaaaaaaa!!!!!!!!!


Pelajar itu menangis dan meraung seperti ini.....

Tangisannya bersambung lagi......Patutlah hancing semacam bau tandas....Aduhai, bala besar.....Ingatkan menangis kena buli...Rupanya "tragedi banjir di dalam seluar" berlaku.....Sudah sekian lama saya tidak berjumpa dengan hal sebegitu. Kali terakhir pada 6 tahun lalu semasa menjadi guru sandaran.

Maka kelam kabut jugalah guru di kelasnya ketika itu (cekgu Asmah)....Seluar ganti terpaksa dicari. Jenuh juga memujuk pelajar itu supaya tidak bersedih dan menangis. Jadi tumpuan juga tandas buat seketika. Terpaksalah cikgu ini membersihkan apa yang perlu dan memberi seluar ganti kepadanya...Alhamdulillah mujur semuanya berjalan lancar...

Lain kali nak pergi tandas, cakap awal-awal ok?
Baca artikel penuh...

Isnin, 20 April 2009

Membaca buku


Pesta buku yang sedang berlangsung di PWTC sekarang tidak harus dilepaskan begitu sahaja bagi pencinta ilmu. Amat rugi sekiranya mereka yang berkemampuan untuk pergi ke sana tetapi mensia-siakan peluang tersebut.

Tahun lalu saya tidak berkesempatan untuk pergi lantaran dihambat kesibukan kerja walaupun pada hujung minggu. Saki baki masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk merehatkan badan. Tahun ini juga saya masih lagi sibuk, namun harap hajat untuk pergi ke PWTC pada hujung minggu ini kesampaian. Sabtu dan Ahad yang lalu, niat untuk meninjau pesta buku tidak kesampaian lantaran demam selsema dan juga batuk yang menyerang secara tiba-tiba....Seringkali badan ini tidak sihat sejak akhir-akhir ini.

Mahu ilmu, perlu membaca

Tiada jalan singkat untuk mahir dalam sesuatu bidang. Untuk mahir dan menguasai apa juga bidang ilmu (tidak kira dari bidang sastera hinggalah bidang sains) komitmen membaca amat-amat dituntut.

Mahu mahir sejarah, perlu baca buku sejarah.

Mahu mahir dalam bidang kejuruteraan, perlu baca buku berkenaan kejuruteraan.

Mahu mahir matematik, perlukan buku matematik.

Mahu mahir tentang ilmu botani, hasil kajian terdahulu juga perlu di baca.

Mahu mahir memasak sekalipun, perlu baca buku resepi dan hafal resepi sebelum praktikal memasak!

Pendek kata jika mahukan ilmu MESTI perlu membaca.

Mereka yang malas membaca, jangan bermimpi hendak menjadi pandai sekelip mata....

Baru tahu cerita tentang Abu Lukluah.....

Jika bukan disebabkan membaca, saya tidak akan tahu cerita mengenai Abu Lukluah, pembunuh Khalifah Islam yang kedua iaitu Umar Al-Khattab. Saya masih ingat cerita ustaz dan ustazah saya di sekolah agama dahulu bahawa Umar Al-Khattab mati dibunuh oleh Abu Lukluah. Namun sebab tukang besi itu membunuh Umar tidaklah dijelaskan dengan terperinci. Cuma saya diberitahu bahawa Abu Lukluah tidak berpuas hati dengan Umar Al-Khattab tentang bayaran yang terpaksa dibayar olehnya kepada seorang sahabat sebagai syarat untuk dia membebaskan dirinya daripada status hamba....Pada saya, perasaan tidak puas hati tersebut tidak cukup untuk mendorong Abu Lukluah mengambil risiko "GILA" dengan membunuh Khalifah!

Itu cerita lebih 13 tahun yang lalu....Sehinggalah saya menemukan buku ini...


Buku ini saya beli di Hentian Puduraya pada pertengahan April 2009 kerana perlu menunggu lebih 3 jam sebelum menaiki bas. Saya tidak tahan sekadar duduk "melangok" di tempat menunggu tanpa membuat apa-apa. Lebih baik membaca sesuatu, dapat juga menambah sedikit maklumat di kepala. Niat untuk membeli surat khabar terbantut apabila terpandang buku tersebut. Rasa tertarik hati melihat kulitnya.

Pada penghujung buku tersebut barulah saya mendapati mengapa Umar dibunuh oleh Abu Lukluah. Abu Lukluah sebenarnya adalah anak kepada pembesar Parsi yang bernama Yezdager III. Nama sebenar Abu Lukluah adalah Fairoz. Fairoz telah bersumpah dengan bapanya hendak membunuh Umar Al-Khattab. Dia telah memimpin hampir 100 ribu tentera Parsi untuk bertempur dengan tentera Islam. Tujuannya untuk merebut dan merampas kembali wilayah Parsi yang telah ditakluk oleh tentera Islam. Malangnya usaha itu gagal, tenteranya tewas dan dia sendiri menjadi tawanan perang.

Daripada Raja menjadi orang suruhan.......

Sebagai tawanan, dia dibawa pergi ke Madinah dan menghadap Umar Al-Khattab sendiri. Lantaran takut dibunuh, dia mengaku memeluk Islam dan tunduk kepada kerajaan Islam ketika itu. Dia kemudiannya menjadi orang suruhan kepada Al-Mughirah dan kemudian dibebaskan dengan syarat membayar hanya 2 dirham setahun kepada Mughirah. Pekerjaannya sebagai tukang besi mampu untuk menyara hidupnya serta membayar wang 2 dirham kepada Mughirah.

Daripada seorang anak pemerintah yang ulung dan dilimpahi kemewahan ketika di Parsi, Fairoz atau Abu Lukluah bekerja menjadi tukang besi untuk menyara hidup.....Dalam hatinya wujud dendam kesumat terhadap Khalifah Umar Al-Khattab kerana menyerang dan menakluk Parsi. Tambahan pula dia dihasut oleh sahabat lamanya yang juga menjadi tawanan perang dahulu.

Cara pembunuhan yang dilakukan adalah cara yang dilakukan oleh PENGECUT! Jika melawan Umar secara berhadapan, memang mustahil dia dapat menewaskan Umar kerana Umar amat mahir dengan ilmu perang dan gagah orangnya. Apa yang dilakukannya adalah berpura-pura menjadi makmum semasa solat Subuh di belakang imam. Sudah menjadi kelaziman solat fardu di Masjid akan diimamkan oleh Khalifah sendiri. (pemimpin kita hari ini, tidak ramai yang mahu mengimamkan solat....)

Senjata yang di gunakan itu ditempanya sendiri, berbentuk pisau bermata dua dan disapu dengan racun. Ketika hendak mula solat, Abu Lukluah menikam Umar bertubi-tubi dari belakang.........Perkara itu menjadi punca kematian Umar Al-Khattab. Abu Lukluah pula berjaya ditangkap dan dibunuh oleh sahabat yang telah menghasutnya dengan tujuan Abu Lukluah tidak mendedahkan bahawa mereka juga turut terlibat.

Novel ini menarik untuk dibaca bagi mereka yang meminati sejarah Islam dan ingin mengetahu lanjut tentang tokoh-tokoh Islam yang terkemuka.

Kaum Arab yang dahulunya hidup berpecah belah dan dipandang hina oleh tamadun Rom dan Parsi, menjadi mulia disebabkan oleh kedatangan Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w..(mulianya manusia adalah kerana taqwa di sisi Allah, bukan disebabkan bangsa. Tanpa Islam, tidak mungkin kaum arab mampu pergi jauh)..Siapa sangka dengan kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab, dua tamadun besar dunia iaitu ROM dan PARSI ditewaskan oleh TAMADUN ISLAM...

Baca artikel penuh...

Rabu, 15 April 2009

Allah itu maha adil


Sebaik mana pun kita cuba untuk berbaik dengan semua orang, kita takkan dapat puaskan hati semua orang.....Rasulullah s.a.w yang merupakan sebaik-baik manusia pun masih ada juga manusia yang tidak suka, inikan lagi kita umatnya yang hina dan penuh dosa.

Seringkali juga terjadi perbuatan dan niat baik kita terhadap seseorang disalah sangka. Maka dihamburkan kemarahan kepada kita..

Seringkali juga usaha kita yang terbaik disalah sangka dan dipandang remeh oleh orang lain....

Kejujuran hati kita untuk membantu disalahsangka mahu memburukkan lagi keadaan...

Pendiamnya kita tidak menjamin mengelakkan salah sangka orang lain. Bagi kita elok berdiam, beristighfar untuk meredakan kekalutan, tetapi telah disalahsangka oleh sebelah pihak dan dituduh sombong dan tidak penyabar......

Maka apakah tindakan yang sepatutnya kita lakukan?

Jika diikutkan hati dan nafsu, hamburkan sahaja kembali kemarahan kita....Barulah adil bukan?

Tetapi bukan itu yang diajar oleh Rasulullah.....Islam tidak mengajar umatnya begitu.

Apakah bezanya jika makian dibalas dengan makian...Apa beza kita dengan orang yang memaki kita itu?

Biar orang buat kita, jangan kita buat orang....Mungkin ada terselit kesilapan diri kita yang tidak kita sedari lalu mencederakan emosi pihak lain....Oleh itu segera "tekan butang pause" sebelum melenting membalas kemabali......

Api lawan api, makin marak membakar api itu......lebih elok disiram air.....Marah lawan marah, maka akan bertambah kemarahan kedua-dua pihak....Elok disejukkan dengan diam di sebelah pihak...


Rasulullah s.a.w tidak pernah membalas semula kejahatan yang dilakukan oleh kaumnya ke atas dirinya. Berkali-kali dihina, dibaling batu, dibaling najis. Malah di Taif, badan Rasulullah s.a.w berlumuran darah dibaling batu.....Sehingga Malaikat Jibril menawarkan mahu menghempaskan gunung kepada kaum itu jika baginda mengizinkannya....

Namun kerana sifat pengasihnya, Rasulullah tidak membenarkannya.....Najis dan batu yang dibaling oleh kepadanya, tidak pula dibaling kembali kepada pembuatnya...Malah baginda berdoa kepada Allah moga ada anak cucu dari penduduk di Taif itu yang yang menerima hidayah...Jika ikutkan logik, patut dimusnahkan sahaja penduduk Taif itu...Tapi baginda tidak berbuat demikian.....

Namun sejauh manakah kita dapat mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah ini?

Adakah kejian dan cacian orang kepada kita dapat kita balas dengan senyuman dan kemaafan?

Mampukah kita bertahan dengan senyuman dan hati yang redha?

Sesungguhnya Allah itu maha adil....Allah juga menyayangi orang-orang yang sabar. Allah juga mengasihi hambanya yang memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya...

Cuma terkadang terdetik juga sedih dan hiba di hati. Seolah terasa tidak dihargai. Maka pada Allah sahaja dipanjatkan doa agar ditabahkan hati ini menerima segala ujiannya dengan hati yang REDHA....

Ya Allah kurniakan kami hati yang ikhlas.....Ikhlas dalam semua perkara, hanya keranaMu ya Rabbi...Kurniakan juga kami hati yang Redha ...Redha menerima segala ketentuan yang telah Engkau tentukan kepada kami...Sesungguhnya apa jua yang didatangkan kepada kami sama ada yang kami sukai dan tidak kami sukai, semuanya adalah ketentuanMu jua....Oleh itu redhakanlah hati ini menerima semua "pemberianMu" ini ya Allah...

Amin..........
Baca artikel penuh...

Jumaat, 10 April 2009

Hargai masa....

Sudah lama rasanya tidak mengemaskini blog ini lantaran dihambat kesibukan kerja yang semakin menggila. Badan menjadi letih lesu (walaupun nampak gagah dan besar hahaha), muka seperti ayam berak kapur apabila sampai di rumah. Pantang baring sedikit, mata akan terlelap. Tempoh hari, duduk berehat di sofa di IPS Universiti Malaya. Sempat terlelap 10 minit, akibat badan terasa letih dan lesu. Siang bekerja di sekolah, malam atau petang hari pula kelas tuisyen menanti. Hendak dibatalkan kelas tuisyen, tidak sampai hati rasanya kerana agak susah hendak mencari pengganti dalam masa yang singkat.

Di sini tempat kerjaku.....

Minggu kedua bertugas di IISKD, saya diserang cirit-birit selama 3 hari. Hasilnya, 2 hari saya diberikan cuti sakit oleh doktor. Keracunan makanan katanya.....

Bertugas sbagai guru di IISKD tidak semudah yang disangkakan. Namun disebalik tekanan kerja disitu, banyak hikmahnya yang saya perolehi. Antaranya mengingatkan bahawa Allah menyediakan banyak peluang kepada hambanya untuk beroleh pahala secara mudah. Membaca doa naik kenderaan, doa belajar, doa masuk ke surau, doa keluar surau, doa makan atau doa selepas solat dhuha, antara perkara yang semakin dipandang enteng oleh kebanyakan individu muslim pada hari ini. Di sini, pelajarnya diterapkan dengan nilai-nilai positif seperti itu.

Bacaan Al-Quran menjadi amalan harian dan wajib bagi setiap pelajar di situ. Bahasa Inggeris adalah bahasa utama di situ. Turut ditekankan adalah bahasa Arab dan penggunaan bahasa Melayu yang baik oleh pelajar. Walaubagaimanapun bagi memastikan perkara tersebut berlaku, komitmen daripada guru amat-amat dituntut.....Tunggang langgang juga kami bekerja. Tak menang tangan dibuatnya kerana banyak perkara yang perlu diperhatikan, ditambah pula dengan kerja-kerja yang lain.

Namun saya amat suka suasana di sini berbanding sekolah biasa. Peluang pelajar untuk menjadi baik amat terbuka luas, cuma terpulang kepada mereka untuk memilih. Malah secara tidak langsung, guru juga dilatih supaya menunjukkan contoh yang baik dan menerapkan nilai positif dalam diri mereka. Tidaklah nanti dikatakan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.....

Perbandingan yang saya jumpa.....

Saya tersenyum melihat anak-anak kecil sekolah rendah fasih menghafaz ayat al-quran dan doa-doa harian. Anak-anak seawal 9 tahun dilatih membaca doa selepas solat. Setiap kali selepas solat, pelajar yang akan membaca doa, bukannya guru. Guru hanya membetulkan dan mengingatkan sahaja. Anak-anak tahun 6 (berumur 12 tahun) boleh menulis jawi dan Al-fatihah serta memberikan maksudnya secara ringkas. Walaupun ada juga tersilap, tapi nampak usaha mereka yang ingin mencuba. Itu cerita di IISKD.

Di kelas tuisyen, soalan yang sama ditanyakan kepada pelajar. Hasilnya amat mengecewakan hati. Menulis jawi pun tidak tahu, apatah lagi menulis Al-Fatihah. Menulis "basmallah" cuma 40% betul. Maksudnya pula, jauh panggang dari api.....Lebih dukacita soalan yang sama ini ditanyakan kepada pelajar PMR......

Saya semakin sedih mengenangkan anak-anak bangsa Melayu pada hari ini.....Betapa beruntungnya pelajar di IISKD itu kerana peluang telah terhidang di depan mata. Walaupun bayaran yuran lebih mahal berbanding sekolah lain, namun saya rasa perkara itu berbaloi dengan apa yang diperolehi oleh pelajar-pelajar.

Walaupun kerja di IISKD membuatkan badan letih lesu, tetapi bila mengenangkan pelajarnya terubat sedikit hati ini....

Bagi saya, anak-anak kecil itu juga memberikan peluang untuk saya terus belajar. Belajar untuk menjadi lebih penyabar, belajar mengurus masa dengan baik, belajar berkomunikasi dengan berkesan dan banyak lagi. Di sini saya tidak setakat mengajar, malah turut belajar.

Bukankah proses belajar itu hanya akan terhenti apabila kita menemui ajal.....


*** Kepada cekgu Sue, terima kasih kerana memaklumkan kekosongan kerja dan mengaturkan temuduga saya di IISKD.
Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...