Jumaat, 27 Februari 2009

Niat solat Zohor


Pertengahan bulan Februari, sempat saya melencong sebentar ke Melaka untuk membantu Ustaz Fadly menjadi Fasilitator untuk program kepimpinan untuk pelajar sekolah rendah di Melaka. Program berlangsung di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, berhampiran dengan UITM. Program ini dikendalikan oleh unit Rumahku Syurgaku dan Jazim Motivation Group Melaka.

Alhamdulillah Jazim Motivation Group telah mempunyai tapak yang kukuh untuk berkembang di Melaka. Tahniah diucapkan kepada Ustaz Fadly selaku pengarah urusan. JAZIM berkembang sedikit demi sedikit. JAZIM di Melaka bermula sebagai sebuah pusat tuisyen yang berpusat di Air Molek. Ketika diasaskan, Ustaz Fadly masih lagi belajar di Universiti Malaya.

Ustaz Fadly berbaju melayu hijau, bersama fasilitator lelaki (Gambar semasa majlis berbuka puasa 2008)

Saya tiba agak lewat (tengah malam) ketika pelajar memulakan slot "Night Walking". Seperti biasa pelbagai aksi dapat disaksikan malam itu. Ada yang pura-pura pengsan, ada yang bersilat, ada yang menangis, ada yang meraung ketakutan dan ada juga yang tidur (hebat!). Agak malang malam itu, saya digigit oleh seorang pelajar yang ketakutan bila saya cuba memegang tangannya. Mujur "refleks" saya untuk meluku kepala pelajar tersebut dapat ditahan. Kalau tidak ada yang benjol kepala malam itu.

Paling menarik perhatian apabila ada yang berzikir tunggang terbalik. Baca surah Al-Fatihah lintang pukang tak ikut susunan ayat....Kerana terlalu takut..Walhal saya difahamkan ramai yang agak sombong pada waktu siang....

Alhamdulillah program berjalan lancar tanpa sebarang "gangguan" lain.

Mari solat....

Dalam program sebegini, kami menekankan perlunya untuk pelajar solat secara berjemaah. Selepas solat, biasa ada sedikit tazkirah atau kuliah ringkas yang memberikan penekanan tentang kepentingan ibadah dalam hidup. Bila ditanya semua solat atau tidak, masing-masing mengaku solat.

Namun kami tahu ada yang tak mahu mengaku tak solat. Jadi usaha untuk mengenalpasti pelajar yang "kelentong" ini dilakukan. Tidaklah sesukar mana. Hanya perlu rapat dengan pelajar dan tanya latarbelakang keluarga dan lain-lain....

Nak dijadikan cerita, ada seorang kawan Fasilitator yang rajin bertanya-tanya hal-hal asas solat pada pelajar. Hal asas seperti niat, wuduk, bacaan asas dan lain-lain yang mudah. Sebelum pelajar bergerak ke dewan solat, sempatlah di cekup 2 orang untuk ditanya....Mereka di tanya berdasarkan perilaku mereka yang sedikit mencurigakan. Rambut gaya terpacak keras (pengaruh artis la ni) yang nyata tidak sesuai dengan pelajar dan sedikit perang kerana diwarnakan.

Hafiz : Kau pandai solat tak ni? Nak tanya sikit ni. Tadi solat zohor macam mana niat die? Kau solat tak tadi?

Murid : Solat bang..

Hafiz : bace niat solat zohor.


Murid : Asyhadu anlailahaillallah.......


Kami terkedu dan melopong.................


Hafiz : Asar berape rakaat solat?


Murid : 3 rakaat.


Hafiz : Maghrib pulak?


Murid : Maghrib 2 rakaat.


Hafiz : Isya'?


Murid : Isya' 3 rakaat.


Hafiz : Subuh?


Murid : Subuh 4 rakaat bang.


Hafiz : Tau baca Quran tak ni?

Murid: (hanya menggelang kepala sambil tertunduk malu)


Dapat juga dicekup. Walhal awal program dahulu mengaku solat. Bila diasak soalan bertalu-talu, terbuka juga pekung di dada. Mujur jumpa, kalau tidak entah bila mereka akan terus dengan pembohongan besar tersebut.

Hasil soal selidik kami dengan 2 orang pelajar tersebut, nyata solat itu adalah sesuatu yang "ganjil" di rumah. Jarang sekali solat. Namun tidak pula kami hebahkan pada kawan-kawan pelajar tersebut tentang kekurangannya. Aib mereka perlu dijaga juga. Kami meminta bantuan mereka untuk mengenalpasti di kalangan mereka yang tidak pandai solat.

"Mak ayah saya pun tak solat bang....."

Ada nada kecewa di sebalik jawapan yang kami terima dari pelajar tersebut. Kasihan benar anak-anak sekarang ini. Ramai betul yang dilepaskan oleh Ibu dan Ayah mereka menghadapi dunia, tanpa bekalan yang cukup.

Umpama pergi berperang dengan hanya bersenjatakan batang kayu atau buluh, berbaju nipis. Walhal musuh lengkap dengan baju perisai dan senjata moden... Zalimnya..

Nampak sangat sekarang keruntuhan moral pada hari ini bermula dari keruntuhan yang berlaku dalam institusi keluarga.

Mungkin saya akan pertimbangkan untuk memohon DPLI selepas ini, untuk menjadi guru.....

Baca artikel penuh...

Selasa, 24 Februari 2009

Lelaki lebih pandai dari perempuan?

Ramai yang mengatakan bahawa lelaki itu ada 9 akal dan 1 nafsu. Perempuan pula 1 akal dan 9 nafsu. Lantas ada yang menyimpulkan bahawa lelaki lebih pandai dari perempuan. Lelaki lebih layak mempimpin kerana akalnya lebih. Lelaki lebih pandai.

Saya teringat ada antara kawan-kawan yang berbalah mengenai hal ini di sekolah. Bila dikenang-kenang kelakar pula.

Pernyataan lelaki 9 akal dan permpuan 1 akal itu saya kira perlu dilihat pada perspektif yang lain.

Saya kurang bersetuju jika lelaki lebih pandai dari perempuan. Pada saya otak yang dikurniakan Allah ini sama sahaja. Setiap manusia ada kelebihannya masing-masing. Kalau betul lelaki lebih pandai, mengapa di IPTA sekarang ini pelajar lelaki hampir pupus? Amat sedikit sekali peratusan pelajar lelaki di Universiti. Pergi sahaja ke mana-mana Universiti, pasti jumlah pelajar perempuan jauh mengatasi pelajar lelaki.

Jadi benarkah lelaki itu lebih pandai? Lelaki akalnya 9?

Saya meminjam pandangan yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal mengenai hal ini. Apa yang dapat saya jelaskan dengan mudah ialah lelaki itu lebih banyak rasional, sedikit emosinya. Manakala perempuan pula sedikit rasional dan banyak emosinya.

Perlu kita akui di sini bahawa wanita ini kaya dengan emosi,berbanding sang lelaki. Wanita bukan tidak pandai. Ramai yang cerdik-cerdik. Tetapi disebabkan oleh emosinya yang lebih, maka kebanyakan urusan berkaitan dengan "ketua" ini diserahkan kepada lelaki.

Saya tak tahu kalau perempuan tak mengakui kebenran hal ini, namun sepanjang pemerhatian saya, memang wanita itu lebih beremosi. Apabila emosinya tidak stabil, pertimbangannya juga akan lari dan banyak dipengaruhi oleh emosinya ketika itu.

Saya kira itu sesuai dengan sifat semulajadi wanita yang lemah lembut. Lelaki pula sesuai dengan sifat rasionalnya yang lebih kerana perlu melindungi wanita.
Baca artikel penuh...

Pandai ke saya?

Baru-baru ini saya ada terdengar kawan-kawan berbicara mengenai hal lelaki akalnya lebih daripada perempuan. Teringat saya kawan-kawan di sekolah ada yang berbalah mengatakan pelajar lelaki lebih pandai dari pelajar perempuan. Setakat mana kebenarannya tak tahu pula. Tapi sepanjang saya bersekolah, tempat pertama dalam kelas memang selalu di dominasi oleh pelajar lelaki hahaha.

Semasa di tingkatan enam dahulu pun saya bukan jenis rajin belajar (bukan tak belajar langsung). Di dorm hanya bersembang dengan kawan-kawan dan membaca komik. Amat jarang sekali belajar. Masa belajar hanyalah di kelas dan waktu prep, termasuk kelas tambahan. Ataupun jika mahu belajar, saya akan pergi ke kelas. Di asrama, jangan harap nak buka buku.

Mencuba sedaya upaya membuat nota dalam kelas

Mungkin sedikit kelebihan yang Allah anugerahkan saya berbanding kawan-kawan lain adalah saya lebih cepat faham (cepat tangkap) apa yang diajar...(tidak termasuk subjek matematik). Dalam kelas saya memberi sepenuh perhatian dan tidak tidur (walaupun sangat mengantuk). Masa prep belajar, buat nota setakat yang terdaya. Waktu di dorm memang waktu rehat. Pendek kata suasana saya belajar kebanyakannya di dalam kelas.

Kawan-kawan yang lain terutama perempuan saya lihat sangat-sangat rajin dan tekun membaca, mengulangkaji dan membuat nota. Buku yang dibeli pula tebal-tebal (sering saya pinjam kerana saya tidak mempunyai buku rujukan yang tebal). Masa prep pula masing-masing tekun belajar, berbanding lelaki yang tidur dan selalu membuat "onar" dalam kelas, malah ada yang tidak muncul pun waktu prep.

Sedang merepek dalam dorm (saya sering merayau ke dorm orang lain)

Tiba waktu ujian, kebanyakan yang "study maut" ini markahnya biasa dan ada juga yang tidak lulus. Saya Alhamdulillah lulus (walaupun tidak cemerlang). Saya juga tidak menyangka boleh mendapat anugerah pelajar terbaik percubaan STPM di sekolah dahulu. Rasanya bukan pandai sangat pun.

Kawan-kawan ada yang pelik juga. Bukannya rajin sangat "study" tapi boleh lepas. Kebanyakan yang "study maut" itu saya lihat kurang faham apa yang dipelajari. Maksudnya tidak jelas apa yang perlu dijawab. Walaupun soalannya tidaklah sesukar mana. Ramai juga yang tidak tahu teknik atau cara menulis jawapan berbentuk esei.

Subjek sejarah STPM contohnya memang memecahkan kepala. Bukunya tebal dan perlu dijawab secara subjektif (menulis esei). Banyak sangat yang perlu diingat. Itu satu subjek yang amat sukar. Namun bagi saya subjek itu dapat saya kuasai (tidaklah mahir) kerana saya dapat faham jalan ceritanya. Saya membayangkannya seperti sebuah cerita. Jadi sedikit sebanyak saya dapat ingat nama-nama, tempat, tarikh yang penting dan apa sebenarnya yang terjadi, walaupun tidaklah secara terperinci.

Bernasib baik...

Rasanya saya juga bernasib baik semasa menjawab soalan sejarah STPM. Saya tidak mempunyai banyak wang ketika belajar di tingkatan 6 dahulu. Jadi saya hanya membeli buku sejarah yang paling murah, berbentuk soalan dan jawapan berbentuk esei. Buku itu nipis dan kecil sahaja. Buku itu yang sering saya baca. Hendak guna buku rujukan, saya akan pinjam sahaja dari kawan-kawan perempuan.

Dalam dewan exam, STPM 2002

Subjek sejarah saya tidak pernah dapat A. PMR saya dapat B. SPM pun dapat gred 3B. Ujian waktu di tingkatan 6, paling tinggi saya dapat Prinsipal C. Ustaz Saer yang mengajar kertas 1 (tamadun dunia & tamadun Islam) sangat kedekut markah. Pernah kertas saya ditanda depan pejabat sekolah dan memakan masa kurang 5 minit....(sambil disaksikan oleh pelajar lain yang lalu di situ).

Semasa STPM, kertas "membunuh" Ustaz Saer itu, saya berjaya mendapat gred A1! Saya kira itu nasib kerana ada satu soalan dalam buku kecil yang saya beli itu keluar dalam kertas sejarah STPM 2002! Memang "sebijik-sebijik" sama dalam buku itu. Kebetulan soalan itu yang sering saya baca dan ingat isinya. Syukur tak terhingga rasanya ketika itu. Selepas exam, rakan-rakan lain terkejut apabila saya tunjukkan soalan dalam buku kecil itu. Geleng kepala semuanya.

Saya pandai?

Kawan-kawan sekelas mengatakan saya bijak, pandai. Tapi saya tak rasa begitu. Saya rasa saya cuma bernasib baik. Saya hanya lebih cepat sedikit faham berbanding kawan-kawan di dalam kelas. Itu sahaja. Kalau nak kira pandai, ramai lagi yang lebih pandai daripada saya.

Di UM, saya bukan tergolong dalam pelajar cemerlang. Pencapaian saya cuma sederhana, 2nd Class Honour dengan PNGK 3.24. Agak rendah bagi pelajar jurusan Syariah di UM. Ramai di kalangan rakan sekuliah yang mendapat 1st Class semasa konvokesyen.

Pendek kata saya cuma insan biasa, tidaklah CERDIK seperti yang disangka oleh teman-teman lama. Namun otak saya tidaklah BEBAL. Banyak yang perlu saya belajar lagi.

Bukankah proses belajar itu hanya akan berhenti jika ajal kita sudah sampai?
Baca artikel penuh...

Khamis, 19 Februari 2009

Aku menulis bukan kerna nama......

Terlanjur saya melawat lawan web Sami Yusuf, saya sempat menonton beberapa rakaman video yang ada termasuklah semasa beliau ditemuramah.

Menarik sekali melihat temuramah tersebut.

"I'm not going to make something religious because it is going to sell!!"

Agak terkesan dengan ayat tersebut. Harap-harap kita tidak termasuk dalam golongan yang menggunakan agama untuk mendapatkan keuntungan.

"I'm going to sing what is honest, what i feel..."

"I don't want people say i'm making maoney out of religion, Islam, prophet"

Ini boleh menjadi ingatan kepada penggiat nasyid di Malaysia untuk menghasilkan sesuatu dengan ikhlas, berkualiti dan bukan untuk keuntungan semata-mata.

Mendengar wawancara tersebut, saya teringat lagu dendangan Ramli Sarip yang bertajuk Bukan Kerna Nama..

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Baca artikel penuh...

Penasyid ditipu.....

Sejak mendengar lagu Asma Allah dendangan Sami yusuf, saya memang ternanti-nati album beliau yang terbaru. Keharmonian melodi dan suara zikir dalam lagu Asma Allah memang memikat dan mendamaika. Memang terasa Islam itu indah dan sesuai untuk semua. Islam itu universal.

Saya minat lagu-lagu hit Sami Yusuf kerana rasa lagunya "sampai" di hati pendengar. Bagi yang tidak pernah dengar, cuba dengarkan lagu Mu'allim dan Asma Allah. untuk kualiti yang elok, boleh lihat video di website samiyusufofficial.com dan klik bahagian video.

Berita terkini yang saya dapati, album Sami Yusuf yang terbaru sudah keluar. Bertajuk "Without You". Saya terus terang kurang berminat dengan album ini setelah mendengarnya di youtube. Rasanya muzik ini buka muzik Sami Yusuf.

Rupa-rupanya album ini diterbitkan tanpa kebenaran Sami Yusuf sendiri. Memang benar suara dalam album tersebut adalah suara beliau, tetapi pihak Awakening Records bertindak membelakangi penyanyi itu dan menerbitkan album tersebut. Nampak jelas sikap tamak menguasai.

Memang teruk sungguh!



Ini mungkin disebabkan album Sami Yusuf dan lagu al-Mu'allim menjadi hit. Konsertnya di London dibanjiri ribuan penonton hingga jalan penuh sesak. Jadi ada pihak yang sudah kelabu mata, yang ada di mata hanya potensi keuntungan, bukan lagi peluang dakwah melalui muzik.

Sami Yusuf sendiri dalam website beliau samiyusufofficial.com menyeru peminatnya supaya memboikot album tersebut. Boleh lihat sendiri rakaman video yang ada di laman web beliau.
Baca artikel penuh...

Ahad, 15 Februari 2009

We will not go down in Gaza tonight!!!

Saya terjumpa lagu ini. Lagu mengenai GAZA yang dinyanyikan oleh Michael Heart, penyanyi dari Amerika. Bagi saya ini lagu yang baik.


Baca artikel penuh...

Jumaat, 13 Februari 2009

Soalnya hati.....Sukar dimengerti?

Saya sempat membelek sebentar majalah SOLUSI bulan Februari. Namun tidak sempat menghabiskan membaca kesemua artikel di dalamnya. Walaubagaimanapun sempat juga melihat-lihat tajuk artikel dan membaca mana yang berkenan di hati. InsyaAllah akan cuba dihabiskan secepat mungkin.


Dalam banyak banyak-banyak majalah berbentuk keagamaan yang saya baca seperti Anis, majalah i, al-Islam dan Solusi, pastinya akan ada dan MESTI ada artikel atau ruangan yang menyentuh mengenai persoalan HATI......

Soal Hati.....
Soal hati ini memang tidak dapat lari daripada dibicarakan oleh manusia. Ada yang berfikiran pendek, memandang soal hati ini lebih kepada sudut CINTA, kasih sayang semata-mata. Dan lebih banyak cinta dan kasih sayang itu dijuruskan kepada cinta sesama makhluk yang lebih mengutamakan nafsu. Walhal persoalan hati ini adalah amat luas. Cinta dan kasih kepada pasangan atau manusia hanya sebahagian daripadanya.

Dalam diri manusia itu ada seketul daging...Jika baik ia, maka eloklah semuanya. Jika buruk ia, maka buruklah semuanya. Itulah dia hati.

Kata-kata ini acap kali kita dengar. Namun sejauh manakah kita mengaitkan diri kita dengan kata-kata tersebut. Sejauh manakah kita menjaga hati kita?

Analogi...

Pokok tidak akan tumbuh dengan baik jika akarnya tidak kuat, tidak dapat mencari air yang cukup. Akar pokok yang kuat akan mencengkam tanah dengan baik,dan mecari air serta membekalkan air untuk pertumbuhan. Maka dengan itu pokok itu akan mempunyai batang yang kuat, daunnya yang menghijau dan tidak mudah untuk gugur, rebah jika ditiup angin. Sukar sekali kita hendak mencabut atau menumbangkan sebatang pokok yang mempunyai akar tunjang dan tertanam jauh di dalam tanah.

Namun begitu, akar pokok yang kuat itu juga akan menjadi lemah jika air tidak dapat ditemui. Pokok tidak disiram dengan air yang baik dan mencukupi, menjadikan akarnya lemah. Lalu tidak dapat membekalkan air dan makanan yang mencukupi untuk pembesaran dirinya. Batang yang dulunya kuat akan semakin reput dan lemah. Daun yang menghijau segar semakin lama semakin layu dan kering tidak bermaya. Mudah sekali dipatahkan dahan dan batang kerana sudah kering dan reput. Daunnya usah dibilang lagi, bertaburan gugur ditiup angin, apatah lagi bila angin kencang melanda. Sampai masa akan mati juga.



Bagaimana dengan hati?
Saya suka menggunakan analogi ataupun perbandingan supaya sesuatu yang dijelaskan boleh difahami dengan mudah. Akar pokok itu tidak nampak pada pandangan kita. Tetapi akar itulah bahagian yang paling penting bagi pokok tersebut, walaupun tidak nampak. Jika akarnya bermasalah, maka pokoknya akan bermasalah juga. Pokok tidak akan hidup tanpa akar.

Hati manusia itu juga tidak nampak oleh mata kasar. Letaknya didalam diri manusia, mustahil untuk kita lihat dan belek. Namun perilaku dan akhlak manusia dapat kita lihat dengan jelas. Boleh kita nilai dengan mata dan akal kita (insyaAllah berpandukan iman). Boleh kita lihat bagaimana percakapannya, bagaimana tingkah lakunya, bagaimana cara berpakaiannya, banyak sekali yang boleh kita pandang dan nilai luaran seseorang manusia itu.

Banyak sebenarnya analogi yang boleh dibuat berkaitan dengan hati ini, namun kita ambil satu contoh sahaja. Saya kiaskan hati seperti akar kepada sebatang pokok.

Hati seperti akar yang tidak nampak
Hati yang tidak nampak itu akan menentukan segala tindak tanduk luaran kita. Hati itu yang akan menentukan bagaimana kita berakhlak dengan masyarakat sekeliling. Bagaimana kita berpakaian, bercakap, berinteraksi, itu semua ditentukan oleh hati.

Baik dalaman, maka luaran juga akan turut baik. Hati yang dijaga rapi, selalu dibersihkan akan mencerminkan peribadi dan akhlak yang mulia. Seperti akar pokok yang baik, disiram dengan air yang cukup, ditanam di tanah yang sesuai, maka akan menghijau dan subur pokok itu. Hati yang bersih pastinya akan membuahkan percakapan yang sopan dan tertib. Hati yang baik pastinya menjadikan perilakunya elok dan bersopan dengan masyarakat. Hati yang ikhlas pastinya memudahkannya membuat kebaikan tanpa di balas. Tak ketinggalan hati yang jujur juga akan melahirkan sifat kasih sayang yang bertunjangkan iman.

Akar yang rosak, maka pokok juga rosak. Begitu juga hati yang rosak, maka peribadinya juga akan rosak. Mulutnya mudah melafaz kata nista, carutan menjadi amalan. Malah kata-katanya sering mengguris hati. Tingkahlakunya tidak beradap, pakaiannya juga begitu.

Begitu juga dengan hati yang tidak dijaga, akan rosak seperti akar yang kering tidak mendapat air. Pada mulanya memang elok, tetapi hati jika tidak dijada, tidak dipagar dengan baik, akan rosak juga. Sedikit demi sedikit dihakis nafsu, menggelapkan iman dihati...

Manusia yang pakaiannya tidak senonoh, nampak lurah-lurah yang tidak sepatutnya. Percakapan mencarut dan kasar, tidak tentu arah. Perangainya tidak senonoh, mengundang kemarahan ramai. Dosa dan pahla berselang seli dapat. Tiba-tiba mengaku hatinya baik, bersih, tak tinggal solat. bolehkah kita terima. Yang lebih penting bolehkah tuhan terima?
Lihat analogi di sini.

Pendek kata persoalan hati ini amat penting sekali kerana ianya mempengaruhi tindakan dan perilaku kita seharian. Soal hati bukan hanya soal cinta semata-mata. Bukan soal jiwang-jiwang karat. Bukan juga soal remeh temeh.

"aku tak main la hal-hal pasal hati ni...Jiwang betul la"

kata seorang lelaki yang perasan dirinya "macho". Tidak "macho" baginya berbicara mengenai hati dan perasaan. Terasa seperti menunjukkan kelemahan dirinya. Baginya lelaki yang bercakap tentang hati ini adalah lemah.

Tetapi mungkin dia lupa, manusia berhubung dengan hati dan perasaan....

Jagalah hati, jangan kau kotori
Jagalah hati, lantera hidup ini

Jagalah hati, jangan kau nodai
Jagalah hati, cahaya illahi
(Snada)
Baca artikel penuh...

Rabu, 11 Februari 2009

Gemawan....

Saya amat suka lagu ini. Muzik, melodi dan suara yang sepadan. Bahasa yang bagus. walaupun sudah lama (tahun 2001), namun saya masih suka mendengar lagu ini.

Mudah sekali berubah hati
Walau kasih kita termeteri
Wajahnya kembali bertakhta di hati
Saat bahagia kita kan pergi

* Chorus
Mudahnya kau berperi
Cinta bertamu lagi
Gemawan kasihku mendung lagi
Akan tiba hari kau merisik kembali
Mendung kini raja di hati ini...

Senja yang menadir
Sendiri ku terpinggir
Mentari pun berlabuh lagi
Leburlah memori berkubur dalam mimpi
Mendung kini berarak pergi

*Chorus

Walau pedih kembara kusendiri
Ku masih menanti gemawan ku pergi
Bahagia kembali
Leburlah memori berkubur dalam mimpi
Mendung kini berarak pergi
Mendung kini berarak pergi...

Klik di sini untuk dengar di imeem.
Baca artikel penuh...

Selasa, 10 Februari 2009

Bersopanlah....Walaupun dengan pengemis!

Saya masih ingat ketika kecil, ayah dan ibu membawa kami adik beradik berjalan-jalan ke utara Semenanjung Malaysia. Ada juga ayah membawa kami pergi bercuti ke Kelantan dan Terengganu. Memang seronok berjalan-jalan bersama keluarga tersayang.

Bila berjalan-jalan, memang ada juga berjumpa dengan peminta sedekah atau pengemis yang mengemis belas ihsan orang sekeliling untuk memberikan sedikit wang. Ayah dengan ibu biasanya akan memberikan 10sen ataupun 20 sen untuk diberikan kepada mereka. Saya fikir itu sebagai latihan untuk kami adik beradik supaya lebih "bersikap memberi" dan kasihan kepada mereka yang susah. Walaupun 10 sen, namun amat besar ertinya bagi mereka yang memerlukan.

Satu hari ketika berjalan dijejantas, di kedah rasanya kami berjumpa lagi dengan seorang pengemis sedang duduk. Jadi kali ini giliran adik saya pula yang memberi. 10 sen kalau tak silap. Yang mengejutkan adik saya hanya mencampakkan (seperti melambungkan) syiling tersebut. Kelam kabut pakcik tu nak menyambut syiling 10 sen itu yang akhirnya terjatuh dilantai.

Lebih kurang begini keadaan pakcik itu. Sedang duduk dengan keadaan yang uzur dan lemah.

Kasihan pula melihat pakcik itu. Merah padam muka ibu melihat perlakuan adik saya. Dia tidaklah terus marah. Menurut ibu perlakuan itu amat kurang ajar! Walaupun orang itu pengemis, tetapi dia masih lagi manusia, perlu hormat!

Tapi ibu tidaklah menengking atau marah terus pada adik saya. Cuma mengingatkan jangan diulang lagi.

Ibu : Kenapa baling macam tu? Kan tak elok..Kesian pakcik tu

Adik : Adik tak tahu. Tengok dalam TV orang buat macam tu.


Ibu : Takpe. Lain kali jangan buat lagi. Kena bagi elok-elok tau.


Memang ketika itu kami agak terpengaruh dengan lakonan yang dipamerkan dalam televisyen.

Itu antara pengajaran awal yang kami dapat daripada ibu dan ayah. Hormat orang, tidak kira pangkat dan rupa, walaupun orang itu pengemis jalanan! Jangan menyombong kerana kita ada harta. Jangan kedekut nak membantu orang.

Baca artikel penuh...

Isnin, 9 Februari 2009

Mengapa perlu sombong?

Kadang-kadang tidak faham dengan gelagat manusia. Lain orang lain ragam. Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Jadi kalau terjumpa dengan perkara yang tidak berkenan di hati, sabar sahaja....Api jangan di lawan api. Nanti makin marak jadinya..

Tapi mengapa ya kita perlu bersikap sombong?

Maksudnya sombong tak bertempat.....

Akhlak dan perilaku kita memang memberikan kesan kepada penilaian orang terhadap diri kita. Termasuklah percakapan, walaupun ketika ber"chatting".

Setakat kita bertanya apa kabar.....

Tapi di balas, "jangan kacau boleh tak...Banyak kerja nak buat ni!!!"

Bunyi seperti kasar, dan pastinya melukakan hati yang bertanya.

Bukankah lebih elok jika dijawab

"minta maaf..ade banyak kerja"

"banyak kerja ni, lain kali sembang ok.."

"tengah bz....."

Atau diam sahaja.........

Tidaklah yang bertanya itu terasa hatinya. Niatnya bukan mahu mengganggu, mungkin mahu berbual-bual bertanya kabar..Namun disalah ertikan sebagai "mengganggu" pula...

Saya banyak kali menghadapi situasi sebegini. Jadi tidaklah kecil hati sangat bila terkena. Namun kadang-kadang terasa hati juga kerana memang niat kita hendak bertanya kabar, bukan sengaja menggangu.

Ada betulnya maksud pepatah melayu "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya"

Ada benarnya saranan Rasulullah s.a.w supaya kita bersabar ketika marah, supaya tidak terlepas apa yang tidak sepatutnya dilafazkan. Memang benar orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan marahnya.

Baca artikel penuh...

Memori pada sekeping gambar


Saya sempat pulang sebentar ke kampung halaman pada hari Sabtu yang lalu untuk menghadiri dua kenduri kahwin. Satu di Johor Bahru dan satu lagi di Kluang. Maka bertambahlah soalan " kau bile nak buat kenduri" diajukan kepada saya. Mana yang mampu akan dijawab, kalau tidak, tersenyum dan tersengih sahajalah yang saya mampu.

Di rumah
Dirumah, hendak dijadikan cerita, saya membelek-belek album lama yang sudah disusun oleh ibu. Album itu sudah siap dilabel contohnya "anak-anak" dan "ibu dan ayah". Dalam hati berkata "sempat juga ayah susun gambar sebelum dia meninggal".

Paling menarik perhatian adalah gambar kami adik beradik. Album itu yang mempunyai paling banyak gambar berbanding album lain. Geli hati melihat muka diri sendiri dari kecil hinggalah besar. Tak ketinggalan juga gambar sepupu-sepupu dan pakcik-pakcik yang rapat dengan kami. Bila lihat sahaja pada sekeping gambar, banyak betul memori dan kenangan yang datang singgah di fikiran. Melihat gambar kami adik beradik dan sepupu yang banyak, saya dapat rasa "sayang betul ayah pada anak-anak", walaupun ayah seorang yang pendiam dan garang.

Teringatlah saya akan peristiwa saya terjun ke dalam kolam ikan hiasan di Pejabat Kesihatan Kluang. Maka saya ditertawakan oleh abang-abang saya dan kawan-kawan yang sewaktu dengannya. Tak ketinggalan juga ayah dan ibu (juga kawan-kawannya), turut ketawa melihat saya basah kuyup. Saya pun lupa kenapa saya begitu "pandai" terjun ke dalam kolam itu. Kolam itu tak silap masih ada hingga saat ini.

Hobi yang sama
Teringatlah saya akan hobi ayah yang suka mengambil gambar dan mengumpulkannya untuk dibuat koleksi. Tidak kira gambar keluarga, kawan-kawan sekerja atau saudara mara. Mana yang rasanya elok, akan diambil. Rajin juga saya menyelongkar, hingga terjumpa gambar klasik hitam putih ayah zaman muda sebelum kahwin, sedang "berpiknik" di tepi sungai bersama kawan-kawan.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Bapa borek, anak rintik.

Sedar tak sedar, kami berkongsi hobi yang sama. Patutlah ayah tak keberatan memberikan saya sebuah kamera semasa di sekolah menengah. Jadi, banyaklah gambar saya bersama kawan-kawan di sekolah dalam simpanan saya. Cuma kurang tersusun dan berselerak. InsyaAllah akan disusun dengan lebih elok selepas ini.

Usaha untuk "scan" gambar-gambar lama juga akan dilakukan secara berperingkat. InsyaAllah bila sudah selesai, akan dimaklumkan kepada semua. Di bawah ini antara gambar zaman sekolah yang sempat di "scan".

3KA1 1998

Taman Aspura 2000

Dorm Hassan 2000

Baca artikel penuh...

Palestin...Masihkah kita peduli...?

Serangan terhadap Palestin masih lagi diteruskan oleh Yahudi laknat. Walaupun gencatan senjata telah berlaku, tetapi mereka peduli apa? Dunia tak mampu berbuat apa-apa melihat mereka dengan kejamnya membunuh orang awam yang tidak berdosa....

Tiap-tiap hari pasti ada berita mengenai keadaan di Palestin, tentang kematian orang awam dan serangan oleh Yahudi. Presiden Amerika, encik Obama itu tak mampu pun berbuat apa-apa untung menghalang rakan baiknya menghentikan serangan.

Kempen boikot...
Masih kita hayati lagi kempen ini? Nampak seperti sudah sejuk sekarang. Walaubagaimanapun bagi mereka yang masih bergiat aktif memboikot, tahniah. Harap diteruskan sampai bila-bila. Kepada yang tidak menyahut seruan ini, didoakan andai hati anda terbuka satu hari nanti amin.....

Yang memboikot, tunjukkan contoh yang baik, istiqamah dan ikhlaskan niat dihati. Moga dengan akhlak baik yang ditunjukkan, mampu menarik lebih ramai lagi untuk turut serta. Makin ramai yang boikot, makin laku produk tempatan, makin berkembang ekonomi negara.

Majalah tiga
Saya sempat menonton sebentar rancangan Majalah Tiga hari Sabtu yang lepas. Liputan tentang isu di Gaza dan keadaan selepas serangan Yahudi di Gaza. Yang terkorban seribu lebih, tetapi yang menderita cedera, cacat dan menunggu maut akibat cedera dilaporkan lebih 5 ribu orang awam. Ya orang awam, bukannya tentera.

Saya lihat pengacara yang menemuramah mangsa dan doktor di Hospital sendiri kelu lidah tak terkata, melihat mangsa yang begitu tenat dan ramai. Apatah lagi melihat yang terbaring menanti ajal adalah kanak-kanak seumur 5 tahun..Malah seringkali melihat mata mereka bergenang menahan air mata jatuh kerana sedih melihat kemusnahan di gaza.

Doktor yang ditemuramah menyatakan mangsa yang memerlukan rawatan lanjutan di Mesir tidak dapat dihantar ke sana kerana kerajaan Mesir yang BANGSAT itu menutup pintu sempadan dan tidak membenarkan penduduk Gaza mendapatkan perlindungan di Mesir, walaupun untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital.

Ada dipaparkan bagaimana derita kanak-kanak yang hatinya sudah tidak berfungsi dengan baik, matanya sudah kuning tanda-tanda keracunan (darahnya yang tidak elok). Dia hanya menunggu sahaja di katil hospital. Doktor yang ada tidak dapat berbuat apa-apa kerana kurang kemudahan. Rawatan susulan hanya boleh dibuat di Mesir.

Melihat kepada apa yang dipaparkan, semakin tak sanggup rasanya membeli produk-produk yang telah diisytiharkan untuk diboikot...Ibarat menyokong lagi Yahudi tersebut untuk membunuh kanak-kanak lemah itu.

Anda peduli? Apa yang anda lakukan untuk menunjukkan anda peduli?
Baca artikel penuh...

Jumaat, 6 Februari 2009

politik....politik...politik.....

Kejadian yang berlaku di Perak membuatkan hati ini sakit dan menyampah dengan sikap pemimpin yang banyak kerenah, tidak tetap pendirian dan bersikap seperti budak-budak.

Hasilnya....Saya semakin menyampah dengan UMNO dan BN...Walaupun ayah saya dahulu adalah penyokong BN. Nampak jelas perangai buruk sesetengah pemimpin kita yang bergelar Yang Berhormat.

Sudah lama hati ini tidak rasa sakit hati dan menyampah seperti semalam...Lebih-lebih lagi melihat liputan di RTM 1, apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi di wawancara...KAli pertama saya rasa tersangat benci apabila mendengar beliau menjawab soalan yang diutarakan. Ada nada angkuh, dan menyindir yang mendalam terhadap kerajaan negeri Perak sebelum ini. Seperti puas hati dapat membalas dendam..

Sabar.........
Baca artikel penuh...

Khamis, 5 Februari 2009

Nostalgia Nadamurni - Rabbani

Saya baru membeli CD Nostalgia Nadamurni. Setakat yang saya dengar, boleh tahan. Suara ustaz Asri memang sedap, mengembalikan memori lama. Dengan suara yang baik, lirik yang baik, muzik yang diberi nafas baru dan kualiti audio yang baik, saya rasa album ini berbaloi dibeli.


Tahniah kepada Inteam Records kerana menerbitkan album sebegini. Lagu yang mendapat perhatian saya dalam album ini ialah Sifat 20 dan Bila Nur Melimpah di Hati.
Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...