Sabtu, 31 Januari 2009

Hal PPSMI...

Hal berkenaan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris masih lagi dimuatkan dalam surat khabar. Secara peribadi saya kurang setuju dengan rancangan ini walaupun niatnya bagus. Sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu untuk subjek UPSR, saya melihat PPSMI ini memberi kesan yang negatif kepada tahap penguasaan bahasa melayu pelajar sekarang. Memang ada baik dan buruknya, namun saya lihat lebih banyak negatifnya. Mungkin kita masih belum bersedia untuk melaksanakan PPSMI ini.

Mungkin tiada masalah bagi kawasan bandar. Mungkin! Namun bagi kawasan luar bandar seperti di kawasan pedalaman contohnya sekolah orang asli yang terletak di ceruk hutan, PPSMI ini tidak sesuai. Ajar dalam bahasa Melayu pun ramai yang ketinggalan, ini pula dalam bahasa Inggeris.

Saye : Hang ajar matematik dengan sains kan kat sekolah. Berbuih la mulut hang sembang english tiap-tiap hari.

Helmi : Berbuih apenye? Aku ajar guna BM pun depa tak paham. Lagi la aku cakap english. Dah try dah...Tapi depa tak paham.

Saye : Payah sangat ke?

Helmi : Aku tanya 2 x 5 dalam bahasa melayu pun tak dapat jawab. Sifir tak hapal. Sains lagi la berkerut-kerut dahi semua.

Inilah lebih kurang dialog saya dengan seorang kawan yang bertugas sebagai guru di Sabah.

Pada saya, nak memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, perlu ditingkatkan lagi keberkesanan subjek itu dahulu. Kasihan anak-anak yang duduk di kampung-kampung yang jauh dari bandar.

Arwah ayah saya seorang cikgu Bahasa Melayu, namun boleh juga berbahasa Inggeris dengan fasih. Saya walaupun tidaklah "fluent" namun bolehlah juga bercakap dalam bahasa Inggeris. Walhal belajar di sekolah dahulu subjek sains dan matematik menggunakan bahasa Melayu sahaja.

Saya mengajar tuisyen...
Apa yang saya lihat, pelajar sekarang apabila bercakap, serng menggunakan bahasa rojak. Campur-campur. Bahasa Melayunya ada yang teruk sekali. Bahkan ada perkataan yang mudah juga tidak dapat difahami maksudnya. Ramai yang lebih tertumpu untuk memantapkan bahasa Inggeris, tapi dalam masa yang sama memandang ringan kepada bahasa Melayu, bahasa kita sendiri.

Bila ditanya pepatah melayu, peribahasa, simpulan bahasa, tunggang langgang. Ramai yang tidak tahu, walaupun yang mudah-mudah. Kalau dibaca ayat dalam karangan mereka, sedih dan hiba hati ini. Ayatnya kurang menarik. Memang kelakar bila dibaca, tapi sedih bila mengenang begini jadinya mutu bahasa Melayu mereka, bahasa yang digunakan setiap hari.

Namun apa boleh buat, sabar sahaja. Saya cuba juga ajar setakat mana yang terdaya.

Bagi pelajar sekolah menengah di bandar, ramai yang menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Memang bagus, tetapi bila tiba subjek bahasa Melayu, lain pula jadinya.

Itu belum lagi masuk bab Sejarah tanah air sendiri.........Mengajar subjek sejarah agak menyedihkan...Pelajar memang ambil mudah subjek ini. Sejarah tanah air sendiri pun ramai yang tak ingat.

Kecewa betul rasanya....Membaca buku? Rasanya amalan ini semakin terhakis bila melihat generasi muda pada hari ini. Tidak kira buku bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Iri hati melihat Korea dan Jepun. Pelajar dari luar yang pergi belajar di Jepun dan Korea perlu pandai berbahasa Jepun atau Korea terlebih dahulu kerana kuliah akan dijalankan dalam bahasa mereka. Bukan bahasa Inggeris. Mereka boleh maju dan teknologi mereka jauh meninggalkan kita walaupun menggunakan bahasa ibunda mereka untuk belajar. Sampaikan di UM, ada tempat persediaan bagi pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Jepun. Mereka mesti fasih berbahasa Jepun terlebih dahulu!
Baca artikel penuh...

Buku percuma....

Alhamdulillah...Saya dapat banyak buku percuma bulan ini. Jika dihitung-hitung, lebih RM 100 juga habis kalau dibeli menggunakan duit sendiri. Nak dijadikan cerita, tuan punya buku yang asal tidak mahu buku tersebut lantaran lambakan buku-buku lain yang masih belum sempat dibaca. Daripada membiarkan buku itu terbiar tak dihiraukan oleh tuannya, eloklah saya kutip dan simpan untuk dibaca. Itu pun setelah mendapat izin daripada tuan punya buku...

Kasih disemai, sayang dituai

Satu rasa dua hati

Cinta luar biasa di alam rumahtangga

Alahai pengantin baru

Demi masa

Satu anugerah : Kembara Atiq Wazif

Setakat ini 3 buku sudahpun dibaca....Yang lain insyaAllah dibaca bila berkelapangan.

Baca artikel penuh...

Jumaat, 30 Januari 2009

Teringat lagi.....salah kiblat dalam masjid

Tahun 2004, pernah saya buat kerja gila. Membonceng motorsikal EX5 bersama kawan ke karak dari UM untuk makan durian. Kemudian balik semula selepas makan...

Sampai di karak, selepas makan durian, kami rehat sebentar.

Asri (bukan nama sebenar) : Ustat, rehat kojap la. Eden ponat la pulak.

Saye : Kita pi solat dulu la kek masjid. Dah asar dah ni. Masjid kek mano? Eden tak tau.

Asri : Kek sano nun. Jom kite pegi.

Sampai di masjid......................

Asri : Ekau pegi dulu la ustat. Den jage motor kau ni kejap.

Saye : Kite pegi skali la sonang. Motor tu kunci je la. Tak hilang la

Asri : Takpo-takpo kau pegi dulu. Den tunggu. Motor kau ni baru lagi. Hilang tak balik kito kang.

15 minit kemudian..................................

Saye : Eden sudah dah. copek la kau pulak solat. Pukul berapo dah ni.

Asri : ok. Ekau tunggu sini ustat. Jangan tinggal den pulak. Den solat tak lamo macam kau. Kejap je

Saye : haaa copek la. Den nak balik tido ni. Lotih naik moto.

20 minit berlalu...............................

Saye : Ape ke halnye lamo bonar asri ni. Selalu ajak solat liat bonar. Solat tak sampai limo minit solosai dah. Ni 20 minit dah. Dah taubat apo budok ni?

Tak lama lepas tu ternampak asri keluar dari masjid. Tersengih-sengih nampaknye dari jauh. Yang baru keluar dari masjid nampak macam menjeling-jeling pade Asri.

Saye : Ekau buek apo lamo sangat tu. Wirid pajang sangat ke. Hari nak golap dah ni.

Asri : Jom balik copat ustat. Den malu dah ni. Orang pandang-pandang den ni!

Saye : Ekau buek apo bonarnye dalam masjid tu lamo sangat. Borak-borak ke?

Asri : Sebenarnye ustat.....Ekau Jangan golak pulak den kabor ni....

Saye : Ape halnye?

Asri : Sobonarnye den salah kiblat dalam masjid tadi ha..Time den solat takde orang dalam masjid..Dah duo rakaat solat ha baru sodar....Den ingat org sini takde keje nengok-nengok, pandang-pandang orang solat.....

Saye : (terkesima dan kemudian gelak tak ingat dunia samapi orang keliling tengok)

Asri : Dah la tu ustat den malu ni. Jom la balik. Orang nengok nun! Copek laaa!!!!

Sepanjang hidup saya, itu kali pertama dengar orang salah kiblat dalam masjid. Kawan sebilik pula...Tak tahu la apa dalam kepala sampai dalam masjid pun salah kiblat.
Baca artikel penuh...

Selasa, 27 Januari 2009

fizikal yang semakin melebar....

Tertawa sendirian kerana melihat gambar lama diri ini dan dibanding dengan gambar baru.....

Tahun 2002 di dalam keretapi........Mata bengkak kena tembel

Jauh beza dengan gambar terkini. Pada mereka yang lama tidak nampak kelibat saya lepas sekolah, pasti terkejut melihat...

tahun 2008 di Melaka....gemuk.....

Alasan saya:"benda hidup, mestilah membesar..." (sekadar mencari alasan)
Baca artikel penuh...

Copy and paste : artikel boikot

SOALAN UMUM: Perniagaan ini beroperasi di negara Muslim, memberi pekerjaan dan meningkatkan ekonomi. Tidakkah usaha boikot merugikan kita sendiri?

Benar, banyak dari syarikat perniagaan yang tersenarai menjalankan operasi atau perniagaan mereka di negara-negara Islam, justeru mereka memberi pekerjaan kepada masyarakat Islam dan membantu ekonomi negara Islam. Tetapi kita seharusnya belajar dari peristiwa-peristiwa pembangunan ekonomi dunia, di mana keruntuhan sesebuah entiti perniagaan selalunya membuka peluang kepada entiti yang lain. Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan sebagai kehilangan punca ekonomi.

Sebagai contoh, Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, ZamZam Cola. ZamZam Cola sehinggakan tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola. Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark, mula mengimpot ZamZam Cola.

Senario sama berlaku di Mesir pada tahun 2001, di mana penutupan syarikat Sainsbury telah berjaya meningkatkan perniagaan milik tempatan yang tidak mungkin mampu bertahan dengan dominasi pasaran syarikat-syarikat besar dari luar.

Buat kita di Malaysia, apakah salahnya kita meninggalkan ayam goreng McDonald's dan seterusnya mencuba produk alternatif, contohnya Radix Fried Chicken atau mana-mana restoran Mamak Muslim berdekatan. Tidak rugi kita meninggalkan minuman Coca-Cola dengan memilih alternatif produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Apakah salahnya kita beralih daripada mengunjungi Pasaraya Tesco kepada Pasaraya Maidin?

Apakah usaha ini akan berjaya?

Mengapa tidak? Lihat kepada salah satu syarikat yang mengalami kesan teruk akibat boikot - McDonald's.

McDonald's merupakan "rakan korporat utama" kepada Jewish United Fund (JUF.) JUF menggelarkan diri mereka sebagai "bekerja untuk mengukuh ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel; memerhati dan sekiranya perlu, memberi respon kepada laporan media berkenaan Israel." Pengerusi dan Ketua Eksekutif McDonald's adalah Jack M Greeberg, yang juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry.

Dalam bulan Oktober 2002, McDonald's menutup operasi mereka di Asia Tengah kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot. Di Jordan, 2 daripada 6 francais McDonald's terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di Mesir, McDonald's terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan. Usaha menukar jenama itu tidak berjaya, dan pihak berkuasa Mesir terpaksa diarahkan mengawal pintu-pintu masuk ke restoran McDonald's akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan. Sejumlah 175 restoran mungkin ditutup, dengan membawa kerugian sebayak USD350juta.

Sekiranya syarikat gergasi seperti McDonald's boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Dalam kes memboikot Amazon.com, perniagaan yang menjual buku dan produk berkaitan melalui internet tersebut telah menghentikan kerjasama mereka dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang dari tugasan mereka di daerah Palestin.

Iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi "Buy Amazon.com & Support Israel" dipaparkan dalam hampir setiap mukasurat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat yang sedih dengan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, membuat keputusan untuk turut bersama memboikot Israel.

Pada bulan May 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di US yang mengekspot peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan dengan Israel.

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan US dan Israel, sehinggakan US mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan US telah mengenakan lebih dari USD 26milion denda tidak lagi mengeluarkan lesen ekspot kepada syarikat yang terlibat.

artikel ini saya baca di link di bawah...
http://www.inteam.com.my/viewtopic.php?topic=4998&forum=2


Ada juga benarnya...Lain orang lain pendapat. Bagi saya kalau nak ubah ekonomi, atau apa jua keadaan, manusia itu yang perlu berubah dahulu. Sikap itu yang perlu diubah.

Sikap manusia sukar hendak diubah, namun itu tidak mustahil untuk dilakukan.
Baca artikel penuh...

Isnin, 26 Januari 2009

teringat-ingat masa dahulu

Cuti ini minda saya agak tenang kerana meninggalkan seketika (bukan tinggal terus) tugasan dan assignment yang diberi oleh pensyarah. Nak dijadikan cerita terpandang pula album gambar lama, semasa di tingkatan enam di SMKA Segamat.


Printer baru
Saya memanfaatkan printer yang belum sampai usia seminggu ini. RM 183 telah saya habiskan untuk membeli printer HP Deskjet F4280 All in one. Fungsi scan yang ada dimanfaatkan untuk scan gambar-gambar lama.

inilah printer yang saya beli

Gambar-gambar lama bersama kawan-kawan saya scan satu demi satu (yang mana saya rasa mahu scan). Letih juga kerana banyak gambar yang perlu di scan.

Langkah ini diambil untuk langkah keselamatan. Ditakuti gambar yang ada itu hilang atau dimakan lipas atau terkoyak atau lain-lain keadaan yang membuatkan gambar itu rosak. Lagipun zaman sudah berubah, kebanyakan gambar disimpan dalam bentuk digital. Tiada lagi filem hitam yang bergulung. Tambahan pula negatif filem saya terutamanya semasa di F6 telah pun berjaya DIHILANGKAN oleh encik BOlok a.k.a Farid. Jadi apa yang saya mampu ialah menyelamatkan saki baki gambar yang ada.

Saya suka ambil gambar...
Saya memang suka mengambil gambar. Kerana dengan gambar itu, berbagai kenangan yang akan dapat kita imbau kembali. Terutama bersama kawan-kawan. Sebab itu kebanyakan gambar yang saya "snap" adalah gambar beramai-ramai. Amat jarang sekali saya ambil gambar solo sama ada diri sendiri atau orang lain. Saya juga sering dicari apabila ada kawan-kawan yang memerlukan kamera untuk mengambil kamera. Senang kata, "nak pinjam kamera, pergi cari poji."

Namun hobi mengambil gambar itu terbantut apabila saya menjejakkan kaki ke UM pada tahun 2003. Kebetulan kamera saya hilang (entah ke mana saya tak tahu) dan ditambah pula dengan peralihan kepada penggunaan kamera berbentuk Digital. Sepanjang tempoh itu hingga sekarang, gambar yang ada dalam simpanan saya adalah hasil belas ihsan daripada tuan punya kamera. Dan saya masih lagi tidak mempunyai kamera digital hingga saat ini.

Jadi "gadjet" sasaran saya seterusnya adalah sebuah kamera digital.......

Zaman sekolah
Saya mengakui kata-kata guru kelas saya dahulu - Ustaz Zambri - yang kini bertgas sebagai pensyarah di Institut Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang. Katanya zaman paling seronok ialah zaman sekolah. Bila difikirkan semula, saya paling suka dan seronok semasa di tingkatan 6. Kenapa? Sukar nak dijelaskan.

ustaz zambri sedang baring (kami melawat ketika dia sakit)

Tapi zaman tingkatan 6 banyak mengubah diri dan personaliti diri saya. Mungkin kerana bercampur dengan kawan-kawan yang mempunyai pelbagai ragam. Antaranya saya belajar untuk lebih banyak bercakap (dahulu memang pendiam sangat), lebih bertolak ansur dll..Walaupun ramai kawan-kawan boleh tahan degilnya (hingga kami dikenali oleh guru-guru kerana keras kepala), namun saya rasa seronok.

Di tingkatan 6 juga saya merasa hukuman gantung sekolah selama 10 hari. Agak pelik kerana sebelum itu, saya tidak pernah dikenakan hukuman walaupun hukuman rotan.

Saya memang rindu masa seperti itu...Bila melihat semula gambar-gambar yang ada, memang mengundang gelak ketawa (bersendirian), dan saya rasa gembira bila berpeluang berjumpa dengan teman-teman lama semasa bersekolah dahulu...

masa muda...

Zaman persekolahan memang menyeronokkan....

***dahulu saya sangat kurus......tidak seperti sekarang, babat semakin banyak berkumpul di badan.
Baca artikel penuh...

Ahad, 25 Januari 2009

Cuti Tahun Baru Cina..Selamat bercuti

Cuti kali ini agak lama....Berlangsung selama empat hari. Mungkin bagi sesetengah syarikat, ada yang memberi cuti selama seminggu kepada staff.

Selamat bercuti bagi yang bercuti lama.

Meminang..
Bila cuti panjang, biasanya pelbagai aktiviti yang akan dirancang bagi memenuhi masa yang terluang. Ibu saya memilih masa ini untuk pergi merisik bagi pihak abang saya, "mat perang" yang sentiasa sibuk dengan tugasan hariannya sebagai pegawai tentera. Cuti tidak menentu. Sukar nak diajak berjalan ke sana ke mari. Jadi dengan nekadnya ibu perancangan dibuat untuk pergi merisik di Bentong, Pahang. Namun tidak dapat diri ini turut serta kerana kereta sudah penuh.

Ini juga kali kedua ibu pergi merisik. Kali pertama pada dua tahun lepas untuk abang yang sulung di Kulim, Kedah. Destinasi yang agak jauh bagi peduduk di Selatan Semenanjung Malaysia.

Tekanan
Saya sedikit sebanyak rasa tertekan....Kerana tidak lama lagi (mungkin dalam tahun ini) majlis akad nikah bagi "mat perang" ini akan berlangsung...Memang patut pun dia kahwin, keperluan dari segi fizikal nampaknya sudah mencukupi...Dan tumpuan seterusnya pasti beralih kepada diri ini, sebagai anak nombor 3. Tandanya soalan-soalan yang kurang menyenangkan telinga sering diajukan (buat masa ini) seperti:

"sudah ada calon?"
"bila nak pergi meminang"
"lepas ni giliran siapa?"


malah kenyataan seperti
"anak aku dah berlari dah..kau bila lagi?"
juga membuatkan hati ini agak terasa...

Tambahan pula harga hantaran semakin meningkat hari ini. Mengikut maklumat yang saya terima daripada ibu, abang saya perlu menyediakan hantaran yang telah dipersetujui, sebanyak RM 10 ribu. Agak besar jumlahnya jika dibanding dengan keadaan ekonomi hari ini yang memerlukan kita berjimat cermat.....

Kepada kawan-kawan yang sering bertanya, saya masih belum berkemampuan lagi untuk berumahtangga. Belajar peringkat sarjana pun sudah cukup membuatkan diri ini tunggang terbalik dan serabut. Keadaan kewangan belum kukuh. Simpanan setiap bulan pun tak seberapa. Kerja pula baru sambilan (mengajar tuisyen).


Baca artikel penuh...

Rabu, 21 Januari 2009

Yang berlaku sekitar kita

Kempen boikot
Harapnya kempen ini berterusan dan terus dijalankan...Bagi saya ianya banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara apabila kita banyak menggunakan produk buatan tempatan. Aliran wang akan berlaku di dalam negara dan kurang aliran wang ke luar negara.

Ada yang bertanya, perlu ke boikot semua barangan Amerika dan barat...Jawapan saya, tidaklah sampai begitu. Kempen boikot yang dijalankan hanya menyeru boikot terhadap produk terpilih, yang diketahui memberikan sumbangan kepada ekonomi negara haram Yahudi. Tidak perlu juga jika secara drastik boikot semua barangan tersebut. Bagi saya perubahan yang kita lakukan biar sedikit, tetapi berterusan. Janganlah terlalu taksub sehingga kita tinggalkan ubat yang perlu kita makan kerana ubat tersebut buatan negara Barat!

Mana yang boleh kita elakkan, jangan dibeli..Jika tidak mampu dan kita memang memerlukannya, tak mengapa. Buat setakat yang kita termampu. MAmpu boikot sedikit tak mengapa...Lebih elok ada daripada tiada langsung.

Kepada yang memboikot, jangan pula terlalu taksub sehingga kita terlalu anti kepada rakan-rakan yang tidak menyahut kempen ini. Jangan membentak, jangan berkasar. Jangan kerana beriya-iya berkempen boikot ini sehingga kita hilang adab dan budi bahasa.

Tetapi sedar tak sedar, selama ini kita memang banyak bergantung kepada produk dari barat bukan? Daripada makanan, minuman sehinggalah kepada pakaian.

Hal ini sebenarnya kembali kepada sikap kita sendiri. Jika manusia itu berubah, insyaAllah perubahan akan berlaku tidak kira dari segi politik, ekonomi dan lain-lain.

Harga minyak
Berita ada menyiarkan harga petrol dan diesel kemungkinan akan naik pada bulan 2 ini. Pening juga rasanya. Pensyarah ekonomi ada yang menyatakan kita sekarang membayar lebih tinggi daripada harga semasa (RM 1.80). Harga asal adalah RM 1.32 (menurut apa yang saya dengar). Maksudnya kita memberi 'subsidi' kepada kerajaan sebanyak 48 sen.

Saya juga baru tahu pada awal 90 an hingga 1997, ekonomi Malaysia berada di tahap yang baik dan mempunyai lebihan (bukan defisit seperti sekarang) dan sebahagian lebihan ini yang digunakan oleh kerajaan untuk dibayar kepada Petronas. Maksudnya ketika itu ia tidak tergolong dalam subsidi minyak untuk rakyat kerana kerajaan menggunakan wang lebihan, bukan daripada belanjawan atau bajet yang dirangka.
(ini adalah apa yang dijelaskan oleh pensyarah saya di dalam kelas ekonomi makro minggu ini. Setakat mana benarnya tidaklah saya tahu. Namun penerangannya memang mnarik perhatian saya)

Kes kepala babi di dalam surau APIUM
Saya tidak tahu apa perkembangan terhadap siasatan yang dilakukan. Harap yang melakukannya mendapat balasan semasa di dunia ini lagi. Sungguh kurang ajar. Rasanya kalau dapat ditangkap malam itu, pasti mati dilanyak oleh siswa yang berkepala angin.

Pelik kerana berita ini tidak disiarkan dalam akhbar arus perdana. Dengar kabar, tak diluluskan oleh ketua editor....Tak tahu mengapa..

Gencatan senjata di Gaza
Sungguh kurang ajar Yahudi tersebut, mengisytiharkan mereka telah menang dan melakukan gencatan senjata selama 22 hari sahaj. Habis runtuh sekolah, hospital, rumah dan masjid dibedil. Bangga sungguh mereka membunuh orang awam termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Berita melaporkan lebih banyak lagi mayat akan dijumpai dalam runtuhan bagunan yang menimbun di Gaza. Bantuan kemanusiaan masih lagi mengalami sekatan oleh kerajaan Mesir yang sangat BANGSAT itu. Mereka tidak membenarkan bantuan masuk, walhal orang awam di Gaza menderita dan kebuluran kerana tidak cukup makanan, air dan bantuan perubatan.

Pilihanraya Kampus
Rasanya tahun ini macam kurang bahangnya. Mungkin kerana lewat diadakan setelah tarikhnya ditunda. Malah kempen juga hanya beberapa hari sahaja. Saya tidak tahu apa masalah Kementerian Pengajian tinggi kerana menunda tarikh dan memendekkan tempoh kempen. Katanya mahu mahasiswa menjadi matang, berfikiran terbuka, belajar mentadbir. Tetapi yang berlaku sebaliknya. Sengaja disekat peluang untuk mahasiswa mengembangkan idea mereka. Pada saya, mahasiswa hari ini termasuk pada zaman saya, ramai yang menjadi seperti "Mahasiswa Ternak". Pergi kuliah, balik kuliah, belajar, makan, tidur, berhibur....Jumlah mereka yang peka sudah menjadi amat kurang. Perkara ini semakin menular di kebanyakan IPT di Malaysia. Tak percaya? Lihat sendiri masalah sosial dan budaya hedonisme yang semakin menjadi anutan pelajar sekarang....Itupun kalau kita sedar...Atau kita pun termasuk dalam golongan itu?
Baca artikel penuh...

Ahad, 18 Januari 2009

Masyarakat semakin hilang pertimbangan

Moral masyarakat hari ini nampaknya terus merudum...Semakin hilang pertimbangan, hilang kewarasan. Tidak terkecuali di kalangan golongan mahasiswa.

Tak tergamak hendak mempamerkan gambar "kes di APIUM" ini.

Tragedi hari Jumaat yang lalu (16/01/09) mengundang kekecohan dan kemarahan pelbagai pihak....Jika kes mengenai ternakan babi di Malaysia dahulu kecoh, sehingga ada pihak yang menimbulkan provokasi dengan menggantungkan kepala babi di kawasan orang melayu.....Kini lebih biadap lagi apabila dalam musim pilihanraya kampus di UM, kepala BABI diletakkan di dalam surau Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya!!!!

Harap mereka yang melakukannya mendapat balasan yang setimpal di kemudian hari.

http://www.malaysiakini.com/news/96666
Baca artikel penuh...

Khamis, 15 Januari 2009

Bila bantuan akan dihulurkan?

Buletin Utama 16 Januari melaporkan angka kematian akibat serangan Yahudi LAKNAT terhadap penduduk Palestin di Gaza telah meningkat kepada 1025 orang. Separuh daripada angka tersebut adalah orang awam. 300 mangsa yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

Serangan terhadap orang awam diteruskan. Penggunaan bom fosforus diteruskan untuk memastikan mangsa serangan menderita. Serangan terhadap bangunan tempat perlindungan mangsa serangan yang diuruskan oleh PBB disengajakan. Akibatnya PBB menangguhkan bantuan kerana atas alasan keadaan tidak selamat. Walhal ketika ini bantuan kemanusiaan amat-amat diperlukan.

Kalau ada umat Islam yang masih tidak peduli, tidak simpati, tidak benci pada kekejaman yang berlaku ini....Iman di dalam hatinya sudah kering........
Baca artikel penuh...

Isnin, 12 Januari 2009

Sabar dan istiqamah dalam kempen boikot...

Kalau tak bersungguh-sungguh kempen boikot ni, memang tak jadi.....Jadi mulai hari kempen ini bermula, saya kena tanamkan azam bersungguh-sungguh memboikot produk tersebut dan mencari produk buatan tempatan sebagai alternatif.

Dalam senarai barangan yang di boikot, saya bernasib baik kerana kebanyakan produk yang disenaraikan tidak menjadi barang keperluan dan keinginan yang perlu dibeli....Melainkan beberapa produk sahaja yang terdiri daripada produk makanan dan minuman.

Milo......

Namun produk itulah yang menjadi keperluan ramai manusia di Malaysia ini termasuk saya...Produk nestle.....terutamanya MILO, NESCAFE dan NESTUM. Itulah minuman yang saya minum sejak dari kecil hinggalah besar "gedabak" hari ini...Namun tak risau juga kerana banyak produk lain yang boleh menjadi alternatif kepada produk minuman Nestle itu.

Kalau setakat Coca Cola dan Pepsi, tidak ada masalah kerana banyak lagi minuman coke berjenama lain dipasaran. Malah produk air berkarbonat buatan tempatan tak kurang hebatnya. Tak mengapa jika mahal sedikit, kerana yang untungnya nanti rakyat tempatan juga kan...

Juga tidak bermasalah untuk memboikot KFC dan juga Mc Donald. Lagipun saya dilanda "kemiskinan" dan kena menjimatkan duit belanja. Tambahan pula "babat" di perut semakin menebal dan angka di "weight scale" semakin meningkat..Agak merisaukan..Saya menunggu bilakah RFC (Radix Fried Chicken) akan dibuka di kawasan Lembah Klang..

Radix Fried Chicken

Dalam senarai yang dikeluarkan oleh PPIM juga tersenarai produk Colgate. Itu juga tidak menjadi masalah kerana sudah lama rasanya tidak menggunakan ubat gigi Colgate. Banyak lagi pilihan ubat gigi jenama tempatan yang boleh dibeli contohnya Mukmin, Halalgel, HPA, Safi, Zaitun dan banyak lagi.


StarBucks juga termasuk dalam senarai. Saya tak mempunyai masalah langsung untuk memboikot Starbucks kerana seumur hidup saya, tak pernah saya makan dan minum di Starbucks. Faktor utama kerana harganya makanan dan minumannya yang mahal "GILA". Maklumlah saya bukan orang berada. Saya boleh menggunakan wang RM 10 yang dibayar untuk secawan kopi di Starbucks untuk membeli bahan untuk memasak bihun goreng yang sedap untuk hidangan 5 orang. Jimat bukan?

Saya tahu ada yang kurang senang dengan kempen ini. Malah mungkin saya akan dituduh sebagai orang yang tidak terbuka dan berfikiran tertutup. Jumud, kolot, kuno, terlalu taksub dll....

Tidak mengapa.

Bagi saya, apa yang diusahakan ini sedikit sebanyak dapat juga membantu saudara seagama di Palestin dan "mengayakan" serta memainkan peranan dalam merangsang ekonomi Malaysia sendiri.

Kalau anda sendiri yang berniaga contohnya ada kedai runcit, pasti anda mengharapkan saudara mara, jiran-jiran dan penduduk tempatan terutamanya yang sebangsa dan seagama dengan anda untuk membeli barang di kedai anda bukan?

Baca artikel penuh...

Ahad, 11 Januari 2009

Mari BOIKOT!!

Kekejaman Yahudi terhadap rakyat Palestin semakin menjadi-jadi. Kita tak mampu untuk pergi berperang mengangkat senjata menentang Yahudi. Apa yang kita mampu hanya menghulurkan sedikit sumbangan untuk membantu dan meringankan beban saudara kita di sana. Tunjukkan kita peduli...

Berita di Buletin Utama !! Januari 2009 melaporkan lebih kurang 800 orang penduduk Palestin di Gaza yang terkorban dalam masa 2 minggu. Lebih separuh daripada 800 itu adalah ORANG AWAM.

Bagi saya, siapa yang mengaku dirinya Islam, tapi tidak peduli, tidak sedih, tak mahu ambil tahu langsung dengan keadaan umat Islam di Palestin, tak layak digelar Muslim. Hal ini bukan lagi isu umat Islam, malah menjadi isu kemanusiaan...

Bagaimana rasanya jika kita sedang belajar di sekolah, tiba-tiba diserang peluru berpandu dan bom. Mungkin agak mustahil di Malaysia, tapi itulah realiti di Palestin....

Kalau kita setakat lapar perut dan rasa lemah, mereka di sana lapar sehingga ramai yang mati kebuluran. Kalau kita sejuk terkena hujan sehingga banjir, masih lagi beruntung. Kerana saudara kita di Palestin dihujani peluru dan peluru berpandu dan bom.

Jadi kesusahan yang kita hadapi di sini, tak setanding dengan penderitaan di sana...

Jadi apalah kiranya kita keluarkan sedikit sumbangan untuk kepentingan saudara kita. Kalau yang biasa bersedekah, untuk sebulan ini lebihkan sedikit. Menteri sudah mengumumkan kutipan derma solat Jumaat di seluruh negara selama 3 minggu akan disalurkan untuk membantu penduduk Palestin.

Kempen boikot sudah pun dilancarkan (boikot produk terpilih). Mari sama-sama kita menyahut seruan ini. Kempen boikot ini bukan sia-sia, bukan kempen sembarangan , bukan nya kempen sampah. Sekiranya kita bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan kempen ini, pastinya impaknya akan terasa oleh Yahudi laknat tersebut. Ini jihad ekonomi.


Selagi ada alternatif selain barang yahudi danAmerika, jangan kita sokong, jangan kita sesekali beli. Mana yang dah kita dah terbeli, tak mengapalah, sudah lepas. Yang penting langkah kita selepas ini. Banyak lagi produk alternatif yang ada.

Bagi saya selagi tak mati kalau tak makan produk Yahudi dan Amerika, jangan sesekali kita beli.

Mari kita doa agar Allah selamat kan Palestin dan umat Islam di sana.

Mari kita sama-sama menyumbang setakat mana yang terdaya.

Mari kita berusaha boikot, pulaukan produk yang telah disenaraikan. (layari web ppim untuk senarai produk atau cari saha di internet. Banyak website dan blog yang memaparkan senarai tersebut)

Bagi saya...Ini sahaja yang saya mampu lakukan untuk membantu....Ini lebih baik, daripada mereka yang hanya berpeluk tubuh mendiamkan diri.

Bagi yang menulis blog, sebarkan maklumat penting seperti ini, tulis sesuatu tentang isu ini. Bagi yang pandai menulis cerita novel dll...coretkan sesuatu berkenaan isu ini. Yang boleh berceramah, pandai berpidato, beri ceramah tentang Palestin.

Sama-sama kita ingat-mengingati.....
Baca artikel penuh...

Rabu, 7 Januari 2009

Apa tindakan kita


SANGAT KEJAM...!!!!!!!
Baca artikel penuh...

Selasa, 6 Januari 2009

PAHALA + DOSA = ??????????

Mungkin agak lewat saya memperkatakan isu ini, tetapi rasa seperti tak puas hati jika tidak di ulas....

Sambutan tahun baru Hijrah dengan tahun baru masihi yang lalu hanya dibezakan beberapa hari sahaj. Namun sambutan dingin terhadap sambutan tahun baru Hijrah dilihat dingin seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya. Jika ditanya kepada masyarakat terutama anak-anak muda yang beragama Islam sekarang, ada yang tidak tahu sudah masuk tahun baru hijrah. Memalukan, tetapi sudah semakin berleluasa sehingga tidak dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.

Tidak kurang juka yang tahu dan menyambutnya dengan sederhana. Alhamdulillah. Rata-rata blog yang saya lawati ada yang mengulas tentang kebaikan dan kedatangan bulan Muharam. Ada yang panjang lebar menulis mahu berhijrah ke arah yang lebih baik. Alhamdulillah. Ada yang menulis tentang nasihat dan pengajaran sempena kedatangan ! Muharam, detik Hijrah yang amat penting bagi umat Islam. Alhamdulillah.

Namun sambutan Maal Hijrah ini ditenggelami dengan tahun baru masihi yang seperti biasa juga disambut secara menggila oleh rakyat Malaysia, termasuk yang mengaku dirinya Islam. Malah tanpa segan silu, rasa gembira dan bangga dirinya hadir ke majlis seperti itu. Bagi "bloggers" ada yang menceritakan keceriaan mereka pergi menyambut detik 12 malam serta mempamerkan gambar yang pada hemat sebagai seorang Muslim.....Amat tidak sesuai sekali.

Pada hal artikel blog mereka sebelum itu adalah tentang kedatangan tahun baru Hijrah???!!!

Percampuran antara halal dan haram semakin berleluasa, menjadi perkara biasa...Walhal tak sepatutnya berlaku.

Analogi mudah.

Saya pernah terbaca kartun satu muka dalam majalah OK (satu majalah kartun berbentuk dakwah satu masa dahulu)

Seorang anak muda sedang makan di warung dan berbual dengan seorang imam kampung.
"Rilek la ustat, gua rock ni, rock jugak, nampak je pakai koyak-koyak tak senonoh, pegang-pegang perempuan."
"tapi gua solat ustat...hati gua bersih"

Tiba-tiba sebiji tahi cicak kering jatuh ke atas mee goreng yang dimakan dan juga teh tariknya. Lalu ditolak ke tepi mee dan teh ter sebut tersebut.

Budak rock : Aisey spoil la...tak lalu gua nak makan.

Imam : Ai ngapenye..kan membazir tu..taik cicak tu kecik je...makan je le...

Budak rock : Ustaz tak nampak ke tu...taik cicak...geli la gua...tak mau...Air tu kan dah jadi najis dah masuk taik cicak..Ape la ustaz ni!

Imam : Mee yang halal ni, masuK taik cicak sikit pun kamu dah tolak....Kamu agak tuhan terima ke orang yang solat tapi buat mende-mende tak elok ni ye.....?

Itu sedikit analogi mudah...Ramai antara kita yang solat, patuh pada suruhan agama....Tapi ianya seperti jadi budaya yang sudah hilang roh penghayatannya...Solat, tutup aurat, tapi pergi terkinja-kinja sambut tahun baru...Agaknya tuhan terima ke?

Solat, tutup aurat, pakai tudung....Tapi pergi menari bergelek-gelek masa malam sambutan tahun baru, bercapur lelaki perempuan, ketawa mengilai...Agak tuhan terima ke?

Kita ni, benda yang baik, ade sikit unsur yang tak elok pun kita tolak (seperti analogi mee tadi).

Jadi kalau SOLAT + BUAT DOSA = TUHAN MURKA, TAK TERIMA SOLAT??

Hmmm...tepuk dada, tanya hati, tanya iman....

Kalau hidup kita penuh campur aduk dengan perkara-yang haram, syubhah, rasanya Allah terima ke solat kita? Atau solat tu dilempar kembali seperti kain buruk atas muka kita?

Susah kan? Renungan untuk kita bersama-sama.....
Sama-sama kita ingat mengingati...
Baca artikel penuh...

Isnin, 5 Januari 2009

Palestin...perihatinkah kita?

Akhir-akhir ini berita mengenai pencerobohan tentera Yahudi terhadap Palestin di Gaza semakin banyak mendapat perhatian di ruangan berita di televisyen. Semapt juga menyaksikan laporan yang disediakan oleh buletin utama semalam. Paparan yang dibuat agak menyentuh hati. Tahniah pada Buletin Utama.

Siapa sebenarnya yang menjadi sasaran tentera Yahudi tersebut. Jika dilihat pada jumlah mangsa yang cedera dan terkorban, majoritinya adalah orang awam yang terdiri daripada orang tua, wanita malah kanak-kanak!

Tahun baru Hijrah dan tahun baru masihi yang baru berlalu, rata-rata negara diseluruh dunia mengadakan sambutan dengan bunga api yang cantik menerangi malam tahun baru. Di Palestin, tahun baru mereka disambut dengan bedilan bom, diterangi oleh cahaya letupan bom yang memusnahkan kediaman awan termasuk Hospital dan Masjid. Malah bangunan pentadbiran seperti bangunan Parlimen juga turut dibedil.



Alasan serangan dilakukan mahu memburu tentera Hamas yang dianggap pengganas dan menghentikan bedilan Hamas terhadap Israel. Namun mangsanya, orang awam yang tak bersenjata, wanita dan ibu yang lemah, kanak-kanak yang memegang mainan...Itu sasaran mereka. Bukan tentera atau pejuang Hamas.

Lihat sendiri bagaimana Yahudi yang jahanam itu merampas sedikit demi sedikit tanah Palestin hasil "toleransi" dan demokrasi terutama restu daripada Amerika Syarikat.


Pelbagai sekatan yang dilakukan, menyebabkan penduduk Palestin serba serbi kekurangan dan MEREMPAT di negara mereka sendiri. Makanan tidak cukup, duit tak cukup, bahan keperluan tak cukup, apatah lagi hendak mendapatkan bekalan senjata menentang Yahudi? Hasilnya terjadi perang antara senapang dan balingan batu.....


Apa dosa mereka............


Anda perihatin? Tahukah anda keadaan di sana yang semakin genting?

Baca artikel penuh...

Sabtu, 3 Januari 2009

Tulisan Pahrol Md Juoi dan ustaz Hasrizal Abdul Jamil



Saya terbaca majalah SOLUSI terbitan telaga biru yang dibeli oleh kawan serumah. Artikel yang menjadi perhatian saya adalah artikel tulisan Pahrol Md Juoi seorang penulis yang bertugas di Fitah Perkasa Sdn Bhd. Saya mula meminati tulisan "ustaz" Pahrol sejak membaca artikel tulisannya di ruangan Kemudi Hati majalah ANIS. Bagi saya tulisannya banyak yang menyentuh perasaan dan membuatkan diri ini berfikir mengenai kekurangan diri di hadapan tuhan, walaupun adakalanya topik artikelnya berkenaan CINTA sesama manusia. Entah mengapa, saya memang tertarik dengan bahasa yang digunakan dalam menyampaikan mesej yang terkandung dalam artikelnya. Analogi yang digunakan logik, dan mudah diterima akal.

Begitu juga dengan tulisan Ustaz Hasrizal yang banyak berkisar mengenai hal kekeluargaan. Ulasan dan penjelasan yang diberikan melalui artikel dan ceramahnya mudah untuk saya tangkap dan fahami (cuma sukar juga nak laksanakan) serta sesuai dengan situasi semasa!



Ada yang mengatakan saya sebagai "mat jiwang" kerana membaca buku Pahrol Md Juoi seperti Tentang Cinta, Satu Rasa Dua Hati dan Aku Terima Nikahnya (tulisan ustaz Hasrizal). Malah artikel yang ditulisnya banyak yang bersifat kekeluargaan.

"ape bace buku JIWANG ni?"
"dah nak kawin ke bace buku macam ni?"

Antara sindiran dari kawan-kawan, malah adik saya sendiri...
Sekali pandang, mungkin ada yang tersalah tafsir bukunya sebagai buku Jiwang karat! Seperti lambakan novel cinta di pasaran.

Namun hakikatnya bila membaca hasil tulisan buku tersebut, kita akan mengerti betapa pentingya hubungan kita dengan Allah yang maha pengasih! Bagi yang sedikit peka, terasa sangat diri ini sangat jauh dan banyak leka, lalai, alpa dengan kehidupan sebagai HAMBA ALLAH. Apa yang dapat saya rumuskan, untuk mendapat cinta daripada manusia@hamba Allah, perlu kita fokus 100% dahulu cinta kita kepada Allah! Bunyinya mudah bukan, tapi pelaksanaannya amat sukar. Buktinya? Nilai sendiri diri kita, adakah kita taat dan patuh pada suruhan dan larangannya. Atau hanya banyak mengundang murka?

Kefahaman yang saya dapat dari pada bacaan hasil tulisan Pahrol sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan diri ini, dan saya sedar banyak kali saya telah terpesong dan lalai dalam menunaikan perintah Allah, termasuk dalam menyalurkan perasaan cinta pada manusia. Manusia pada hari ini ramai yang tersilap menyalurkan perasaan CINTA mereka, dan ramai juga yang tak mahu mengaku dah tersilap......

Jika kita teliti dan amati betul-betul, kebanyakan masalah sosial yang melanda hari ini berpunca daripada longgarnya kawalan dalam diri serta masalah didikan daripada ibu bapa atau keluarga. Namun hal didikan, kekeluargaan, keutamaan cinta seringkali dipandang enteng oleh kita semua.

Bagi yang belum berumahtangga, saya amat mengesyorkan anda membaca buku tersebut sebagai persediaan menempuh alam rumah tangga. Kerana yang menanti di alam rumahtangga itu adalah satu tanggungjawab yang amat besar, tidak kira sebagai suami mahupun sebagai isteri. Untuk memikul tanggungjawab dan menunaikannya dengan baik, kita perlukan ilmu dan persediaan, bukannya bersifat sambil lewa. Ramai diantara kita yang menangguhkan perubahan positif untuk dibuat selepas kahwin. Contohnya:

"alah kalau dah kawin nanti elok la perangainya tu"
"dah kawin nanti baru la aku tutup aurat"
"balik lewat selalu,lepak-lepak takpe...aku bujang lagi..kawin nnt aku ubah la"


Perubahan bukan berlaku sekelip mata, tapi perlukan masa, dan kekuatan hati untuk melaksanakannya. Biar sedikit perubahan, asalkan kita istiqamah. Lebih baik daripada berubah drastik, tetapi hanya sementara dan rasa amat terbeban.

Kalau lagi 2 bulan nak kawin baru nak belajar fardu ain, baru nak membaca tips dan petua rumah tangga, baru nak ubah perangai berbudi bahasa dll...Alamatnya memang susahnya lepas kahwin nanti..Jadi tak salahkan jika kita bersedia awal? Persediaan banyak boleh dilakukan dengan menumpukan kepada pembaikan perbadi dan akhlak diri sendiri. Nak yang baik, kita kena jadi baik dahulu. Nak yang soleh@solehah, kita perlu soleh@solehah dahulu.

Saya pernah mengesyorkan buku Tentang Cinta dan Satu Rasa Dua Hati untuk di baca oleh kawan-kawan (lelaki). Ini antara reaksi yang diterima:

" tak main la bace buku cintan-cintan ni.. Tentang Cinta...mende ni??"
" hek eleh...bosan la jiwang-jiwang ni"
" takde masa aku bace buku macam ni. buang masa je"


Padahal yang memberi reaksi begitu, kebanyakannya jadi seperti kucing manja apabila bersms atau bergayut dengan GEWE masing-masing....tak main baca buku jiwang konon....
Kebanyakannya menilai dari luaran semata-mata.


Baca artikel penuh...

Jumaat, 2 Januari 2009

Mengenai yoga




Penghujung tahun 2008, dikeluarkan satu fatwa yang agak kontroversi : Yoga Haram!

Fatwa yang dikeluarkan ini mencetuskan pebagai pendapat dalam masyarakat. Ada yang menyokong dan tak kurang juga yang tidak bersetuju, malah ramai juga yang keliru. Ada yang kata yoga tanpa mentera haram, jika geraknya sahaja tidak haram. Ada yang kata haram keseluruhannya. Ada yang kata fatwa tak betul!! Handal betul yang kata begitu.


Saya juga pada mulanya agak keliru dengan fatwa ini. Memandangkan saya tiada pengetahuan yang lengkap tentang yoga, saya juga bukan pelajar sejarah, jadi agak keliru juga pada mulanya. Apa yang saya tahu, yoga itu asalnya daripada amalan agama hindu dan apa juga yang diamalkan mempunyai sangkut paut dengan kepercayaan agama lain (bukan budaya), maka haram bagi umat Islam mengamalkannya.


Saya melakukan sedikit carian di internet dan menjumpai penerangan ringkas oleh ustaz Hasrizal

Dan juga penerangan agak panjang oleh ustaz Dr Abdulfatah Haron Ibrahim. Hasil kajiannya dijadikan panduan dalam isu pengharaman yoga ini. Klik di sini untuk membaca peneranganya.

Masyarakat bukan Islam tidak sepatutnya tersentuh dengan isu ini. Dalam hal ini, yoga Cuma haram diamalkan oleh umat Islam sahaja. Ini melibatkan soal kepercayaan.


Saya juga mencadangkan agar setiap fatwa yang dikeluarkan disertakan sekali dengan penjelasan yang lengkap tentang MENGAPA difatwakan begitu supaya mereka yang keliru, boleh merujuk kepada penjelasan tersebut.

Bagi mereka yang tidak setuju, belajar-belajarlah untuk menerima. Sebagai umat Islam, bukan kepentingan diri atau emosi kita yang dijadikan kayu ukur untuk sesuatu itu menjadi HALAL atau HARAM.

“saya dah lama buat yoga..tapi tak murtad pun!”

“bila buat yoga, tak pun saya jadi hindu”

“saya rasa majlis fatwa kena kaji balik fatwa ni!”

“sepatutnya majlis fatwa kaji betul-betul sebelum keluarkan fatwa”


Saya mendengar ayat-ayat ini di televisyen semasa wartawan menemuramah orang awam untuk mendapatkan reaksi mereka. Percaya atau tidak, semua kenyataan ini dikeluarkan oleh insan yang mengaku dirinya sebagai individu Muslim.


Malah saya ada membaca kenyataan di akhbar yang mana seorang pengusaha kelas yoga tetap meneruskan kelasnya dan sudah melaburkan banyak wang untuk membesarkan kelas yoganya, dan tak mungkin dia akan menarik diri!! (kenyataan oleh seorang perempuan yang mengaku Islam)


Alasan untuk seseorang untuk meneruskan aktiviti yoga atas alasan berfaedah untuk kesihatan adalah amat dangkal sekali. Banyak lagi aktiviti lain yang boleh dibuat untuk membuatkan tubuh badan kita sihat.


Bagaimana jika pergerakan dalam solat dikomersilkan dan dibuat kelas “senaman pergerakan solat” dan diajar dalam kelas yang besar, dihadiri pelbagai kaum??? Solat juga memberi kesan baik ada kesihatan dan ada kajian dilakukan. Tapi tak pula orang bukan Islam sibuk nak buat pergerakan solat. Mengapa? Antara sebabnya solat adalah ibadah orang Islam.Jadi sebagai Muslim mengapa kita berkeras nak amalkan "ibadat" agama lain untuk menyihatkan tubuh badan?


Harap mereka yang melenting dalam isu ini, kawal diri, banyakan bertanya jika tidak faham, jangan gunakan emosi buat keputusan...Soal kepercayaan bukan perkara yang boleh dipandang ringan...

Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...