Ahad, 27 Januari 2008

Mari membaca buku

Assalamualaikum.

Lama juga menyepi diri kerana kesibukan dan kekeringan idea untuk menulis. Jadi post kali ini saya akan celoteh sedikit berkenaan buku.
Minggu ini perhatian saya tertumpu pada buku ini.



Saya terbaca buku milik abg zahar di Sungai Penchala. Sebelum ini juga saya terbaca tentang buku ini di saifulislam.com. Saya membuat keputusan untuk membeli buku ini setelah membaca pendahuluan buku tersebut. Akibatnya RM 36.90 melayang untuk memiliki buku kecil ini. Namun jumlah ini kecil berbanding dengan pengunjung lain yang menghabiskan beratus-ratus ringgit untuk membeli buku di MPH Midvalley. Terasa kerdil pula bila membayar harga buku di kaunter MPH.

Buku ini bukan novel. Buku ini menjelaskan perbezaan lelaki dan perempuan dari segenap aspek termasuk cara berfikir. Dengan mengetahui perbezaan ini, kita dapat tahu cara untuk mengambil hati pasangan masing-masing apabila berumahtangga nanti.

Buku kedua yang saya syorkan.


Buku tulisan hajjah Rohani ini saya syorkan bagi sesiapa yang ingin membuat perencangan kewangan bagi keluarga mereka. Bahasa yang digunakan mudah untuk difahami. Buku ini juga ada menekankan aspek penyucian harta dan membuat pelaburan yang halal. Cadangan yang dibuat cukup praktikal malah telah pun dibuat oleh kebanyakan mereka yang berjaya menguruskan kewangan mereka.
Baca artikel penuh...

Ahad, 20 Januari 2008

Anda boleh memasak?

Jawapan saya kepada soalan ini adalah YA.

Namun kebolehan saya memasak tidaklah sehebat mana. Hanya cukup untuk mengubati perut yang dilanda kebuluran. Sedap atau tidak itu lain ceritanya. Apa pun, saya tidaklah sampai terlalu kekok sekiranya membantu ibu di dapur menyediakan bahan untuk di masak.

Nasi, mee dan bihun goreng


Ini adalah menu yang sering dihidangkan dan dibuat apabila tiba giliran memasak di rumah sewa. Resepinya bergantung kepada bahan yang ada di rumah. Cara masak pun "basic" sahaja dan tidaklah terlalu rumit seperti memasak dalam rancangan TV.

Sup

Pertama kali saya memasak sup pada tahun 2005 semasa mula tinggal di luar kampus UM. Senang sahaja cara mempelajarinya. Saya cuma membeli paket sup tulang adabi dan seterusnya "follow the direction". Hasilnya boleh tahan juga.

Lain-lain
Menu yang lain ialah masak sambal (ayam, ikan, daging), masak kicap, kari, sayur goreng dan sayur bening. Tak ketinggalan juga nasi lemak.

Saya sedang cuba belajar memasak lauk gulai lemak dan asam pedas.

Sedar tak sedar, memasak juga menjadi salah satu daripada hobi saya. Memasak juga salah satu cara saya bersedekah dan membantu meringankan beban sahabat serumah yang sering kelaparan. Biasanya saya memasak untuk kuantiti 3 hingga 6 orang.

Banyak hikmahnya belajar memasak ni.

Percaya atau tidak, saya sangat gembira dan berpuas hati apabila dapat menjamu kawan-kawan dengan masakan saya sendiri. Lebih lebih lagi apabila dapat memasak untuk ibu tersayang. Cukup senang hati melihat ibu tersenyum menikmati hidangan yang kita sediakan, walaupun yang dihidangkan cuma nasi goreng gaya orang bujang. Rasanya juga tak jauh beza dengan nasi goreng di kedai.

Memasak juga memerlukan kesabaran dan ketelitian. Dan yang paling saya sedari, memasak mengajar saya untuk menjaga kebersihan.



Selain itu juga, memasak juga kalau kena gayanya, boleh mendatangkan rasa insaf dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Kita beruntung masih lagi boleh menikmati makanan yang baik dan sempurna, berbanding mereka yang tak cukup makan dan kebuluran menunggu MAUT di luar sana.


Baca artikel penuh...

Sabtu, 19 Januari 2008

Tak ke mana-mana

Setelah pulang daripada kampung halaman, saya tak ke mana-mana. Banyak menghabiskan masa di rumah dengan bersantai, mendengar lagu dan cuba-cuba membuat rakaman suara yang baru. Harapnya berat badan tidak bertambah dengan drastik akibat aktiviti yang "sangat sibuk" ini.

Pada 16 Januari lalu saya sempat menderma darah di Universiti Malaya. Perkara yang sudah setahun saya tinggalkan. Segalanya berjalan dengan lancar. Tekanan darah normal, tinggi tak bertambah, tapi berat masih maintain 75 kg. Agak berat dan dikategorikan sebagai overweight bagi ketinggian 165cm. BMI yang dicatatkan juga tak stabil, melebihi 25. Sungguh sedih.....
Saya memiliki darah jenis B.

Sempat juga melayan celoteh abg Zahar yang kebetulan duduk di sebelah saya semasa proses menderma dijalankan. Disebabkan saya tak pandai duduk diam, proses menderma sedikit lewat kerana kedudukan jarum beralih sedikit menyebabkan darah berhenti mengalir ke dalam beg darah. Selesai menderma adacabutan bertuah, namun hanya mampu memperolehi sekotak kecil jus epal...Tak mengapalah, rezeki juga kan. Alhamdulillah....!

Masih mencari-cari kerja sementara menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di UM. Saya menemui Pak Ya, kenalan Abg Zahar yang bertugas sebagai editor bersama syarikat PTS. Panjang lebar juga penerangan yang diberikan berkenaan tugas sebagai editor. Tugas ini menuntut kesabaran, ketelitian dan komitmen yang tinggi daripada editor. Tugas yang diberi perlu dihantar mengikut dateline yang diberi oleh syarikat. Saya kira saya akan menyahut cabaran dengan menghantar CV untuk diteliti oleh syarikat PTS.


Baca artikel penuh...

Selasa, 15 Januari 2008

Sitcom "Mind Your Language"

Barangkali ada yang telah menonton rancangan komedi dari British ini. Sitcom ini sudah lama, sekitar tahun 60an kalau tidak silap. Sitcom ini berkisar tentang sekumpulan 'foreigner' yang menghadiri kelas bahasa Inggeris di British. Kelas dikendalikan oleh cikgu Jeremy Brown.

Saya tidak ingat tahun berapa saya mula menonton sitcom ini, tetapi ia sangat menghiburkan walaupun pada masa itu saya kurang memahami perbualan dalam bahasa Inggeris.

Ayah saya menggalakkan kami adik beradik menonton sitcom ini. Seringkali saya lihat abang dan ayah saya ketawa dan tersengih-sengih semasa menonton. Ceria sungguh suasana ketika itu. Tetapi sitcom itu tidak lama bertahan di televisyen.

Namun saya menemuinya semula dalam laman web Youtube setelah diberitahu oleh sepupu saya sekitar September 2007. Apa yang terjadi....Saya sering ketawa bersendirian di depan PC semasa menonton sitcom ini. Memandangkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik dari dahulu, saya dapat memahami kebanyakan jenaka yang dibuat.

Dan lakonan serta jenaka yang dibuat nampak spontan, tidak seperti sengaja dibuat-buat seperti lawak dalam sitcom senario yang pada pendapat saya semakin hilang akal. Apa pun, lain orang lain pendapat. Sedikit video pendek disertakan di sini. Selamat menonton.



Baca artikel penuh...

Ahad, 13 Januari 2008

halal haram dalam sistem kewangan

Semalam saya baru sahaja selesai membaca buku Wang, Anda dan Islam , karangan Ustaz Zaharudin

Buku itu merangkumi sebahagian daripada apa yang saya pelajari di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Sebagai umat Islam dan pelajar bidang Syariah, saya amat sedih kerana ramai di kalangan kita kurang mengendahkan tentang halal dan haram dalam urusan kewangan. Malah ramai juga di kalangan pelajar Pengajian Islam sendiri kurang mengambil berat tentang hal ini.

Ramai juga sahabat-sahabat saya sendiri yang kurang celik tentang kewangan Islam ini. Walhal ianya penting kerana melibatkan HALAL dan HARAM. Kalau dalam hal makanan ramai yang ambil peduli, tapi dalam hal kewangan?

Adakah anda tahu interest bank konvensional haram?
Adakah anda tahu insurans konvensional telah lama difatwakan haram?

Ramai di antara kita tidak tahu. Dan menggunakan alasan tidak tahu sebagai alasan untuk terus terlibat dengan riba di bank.

Agak sukar untuk mengubah minda masyarakat. Rata-rata tak mahu ambil tahu dan tiada usaha untuk mencari maklumat sendiri. Walhal perkara ini berkaitan dengan hidup, bukan sahaja di dunia tapi hidup di akhirat.
Bila diberitahu, tak percaya pula...Lebih suka berada di dalam zon selesa.

Nasihat saya....Tolong ambil tahu tentang halal haram ini. Halal dan Haram bukan pada makanan sahaja.
Kepada sahabat sekalian, kita dah dewasa dan tahu menilai sendiri. Malah ada juga dikalangan kita yang sudah berkeluarga. Sanggupkan menyara diri dan keluarga dengan hasil usaha yang syubhah dan terlibat dengan riba?
Memang sukar untuk berubah dengan drastik, namun yang penting kita perlu usahakan sedikit demi sedikit untuk membebaskan diri dari sistem riba ini.

Manfaatkan orang disekeliling anda untuk bertanya. Jangan segan bertanya, kerana hal ini melibatkan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Namun pada siapa yang tidak yakin dengan akhirat...Teruskan berada dalam 'zon selesa'.
Jangan menyesal di kemudian hari.
Baca artikel penuh...

Pulang sebentar ke kampung halaman

Sengaja nak berkongsi cerita sedikit.......

Saya mengambil keputusan untuk pulang sebentar ke kampung halaman di Kluang, Johor untuk melarikan diri dari kesibukan Kuala Lumpur. Lagipun acap kali juga ibunda tersayang menelefon bertanyakan bila hendak pulang ke rumah...

Maklumlah selepas ayah meninggal, ibu keseorangan di rumah dengan adik yang bongsu. Sekarang adik berada di Kolej Matrikulasi Tangkak, jadi ibu keseorangan di rumah. Abang long hanya menjengah balik seminggu sekali jika berkesempatan. Si Ami (abang ngah) sibuk dengan tugasan sebagai pegawai tentera di KL dan Mamat pula sibuk dengan pengajian di UPM dan sebagai atlet hoki UPM dan kelab hoki Sapura.

Jadi saya mengerti ibu pasti "kangen" sama anak-anaknya, semuanya hero-hero belaka dan kuat makan. Selepas abang long, selalunya saya akan diharap pulang untuk menemani dan menjadi driver untuk ibu pergi ke mana-mana.


Sahabat yang sedang meningkat naik dalam perniagaan

Sebelum balik saya singgah bermalam di Melaka. Bermalam di rumah Fadli (kawan seangkatan dalam kumpulan nasyid). Umur sebaya dengan saya (tahun ini 25 tahun) dan sudah mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan. Dia merupakan pemilik Pusat Tuisyen dan Qiraati Jazim yang ditubuhkan kira-kira tiga tahun lalu.

Sedikit cerita mengenai kawan saya ini. Dia menceritakan bagaimana idea untuk menubuhkan pusat tuisyen ini dipersoalkan, malah diperlekehkan oleh ahli keluarganya sendiri dan kenalannya yang lain. Idea ini timbul semasa berada di tahun akhir pengajian di UM. Namun berkat kesabaran dan kerjasama dengan isterinya, Alhamdulillah kini pusat tuisyennya mempunyai lebih 200 orang pelajar dan mampu menjana kutipan hampir RM 20 000 dan mencatat pendapatan bersih antara RM 5000 hingga RM 6000 sebulan. Agak lumayan juga bagi syarikat yang baru 3 tahun dibuka.

Pusat tuisyen tersebut juga membuka peluang pekerjaan sambilan kepada mereka yang ingin menjadi tenaga pengajar di situ.

Apa yang saya dapat lihat dari kejayaannya, tiada jalan singkat untuk berjaya. Berniaga memerlukan kesabaran, komitmen dan disiplin yang tinggi.

Ahad 13 Januari 2008 (selingan)

Alarm telefon berbunyi. Reminder menyatakan hari ini merupakan ulangtahun sahabat saya, Aminudin Saleh. Selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke 25. Dah tua rupanya.


Ustazah Saerah di Simpang Renggam

Bas dijadualkan bertolak dari Melaka pukul 9.00 pagi. Saya selamat tiba di Kluang pada pukul 12.20 disebabkan bas singgah di Muar dan Batu Pahat terlebih dahulu. Ibu tiba dengan kereta proton saga pada pukul 12.30 dan kami terus pergi ke majlis kenduri kenalan ibu di Simpang Renggam.

Tak disangka-sangka bertemu pula dengan Ustazah Saerah, guru Bahasa Arab semasa di tingkatan 6. Terharu juga ustazah masih lagi kenal (manakan tidak.....batch tingkatan 6 kami memang sangat degil dan bermasalah). Gembira juga berjumpa ustazah Saerah. Terkenang kembali zaman sekolah di tingkatan 6 dahulu.

Rata-rata di kalangan pelajar lelaki tingkatan 6 ketika itu sangat rajin tidur dalam kelas. Terutama kelas Bahasa Arab Ustazah Saerah. Entah kenapa, tapi kelas itu memang menjadi favourite untuk tidur.


Kematian akibat kanser

Selesai menghadiri majlis kenduri pada pukul 2.00 petang, ibu mengajak saya menziarahi rumah sahabatnya (sama-sama bertugas sebagai staf nurse) yang baru meninggal dunia akibat kanser payudara. Saya pernah berjumpa dengan Allahyarhamah tahun lepas semasa "shopping" di pasar awam bersama ibu.

Menurut ibu, sahabatnya itu telah pun menjalani pembedahan membuang kanser dan menjalani rawatan kimoterapi. Walaubagaimanapun berlaku semula serangan kanser dan tidak dapat diselamatkan lagi. Menurut ibu, doktor memberitahu yang kemungkinan pesakit kanser payudara yang telah dibedah mengalami serangan dan jangkitan semula adalah sebanyak 20%. Bermaksud daripada 100 orang, 20 akan diserang semula. Dan kebiasaannya tidak dapat diselamatkan lagi kerana sel kanser sudah merebak dengan teruk.

Terkenang pula pada Mak Ngah saya yang baru selesai menjalani pembedahan rawatan kimoterapi kerana penyakit yang sama....Ibu merahsiakan berita kematian sahabatnya ini kerana takut Mak Ngah lemah semangat. Saya melihat sendiri bahagian yang dibuang dari tubuh Mak Ngah yang terkena kenser. Mengerikan. Dan saya melihat sendiri bagaimana Mak Ngah mengerang kesakitan dan keletihan selepas pembedahan. Sungguh kasihan....
Semoga Mak Ngah terus sihat selepas ini.

Itu cerita orang....Bahagian kita nanti tak tahu laaa macam mana nanti.
Baca artikel penuh...

Jumaat, 11 Januari 2008

Bukan Rezeki Kami Lagi

Semalam kami menyertai pertandingan nasyid ibnu sina di Universiti Malaya. Dan seperti biasanya, kami kalah hahaha...Walaupun telah biasa menyanyi dan membuat persembahan sepanjang pengajian di UM, tetapi bila masuk pertandingan, memang tak pernah menang. Nampak sangat tak berbakat tu. Tapi anehnya prestasi persembahan di majlis-majlis jemputan adalah jauh lebih baik semasa di pertandingan...Tak tahu kenapa, tapi selalunya ada sahaja yang tak kena kalau masuk bertanding.



Walaupun kalah, tapi kami berpuas hati kerana berjaya memperbaiki tahap vokal, persembahan dan penghayatan lagu kami. Tambahan pula kami dikritik lantang oleh saudara Nazrey Johani yang menjadi juri pada malam itu. Katanya vokal, persembahan dan penghayatan bagus...tapi penampilan out....Kerana kami masuk pada saat-saat akhir dan pakaian kami adalah yang paling buruk antara peserta lain.

Pertandingan diadili oleh

  1. Saudara Munif dari kumpulan Hijjaz (saya sangat mengagumi kemerduan vokalnya)

  1. Saudara Dak Mie, bekas ahli kumpulan rock Barongan

  1. Saudara Nazrey Johani, bekas vokalis Raihan (vokalis nasyid yang paling saya minat vokalnya)


Rupa-rupanya Nazrey masih cam muka kami (sebelum ini kami pernah 2 kali berjumpa dan membuat persembahan berkongsi pentas bersama Nazrey di UM)...Patutlah kami ditenung lama semasa baru naik pentas. Seorang sahabat sempat berjumpa beliau selepas itu, dan ternyata beliau mengakui kami mempunyai markah yang amat kurang dari segi penampilan dan juga lagu ciptaan (kerana nyanyi lagu ciptaan orang). Sungguh kelakar katanya melihat kami memakai baju yang beliau istilahkan sebagai stok lama.

Walau apa pun kami berpuas hati kerana menyertai pertandingan ini yang merupakan pertandingan amal, yang menyalurkan sumbangan kepada Majlis Kanser (MAKNA) dan anak-anak yatim. Sekurang-kurangnya penyertaan kami dapat juga membantu sedikit. Lagipun sudah lama tidak berkumpul satu kumpulan, memandangkan salah seorang dari kami telah mendirikan rumahtangga dan membuka pusat tuisyen di Melaka.

Baca artikel penuh...

Rabu, 9 Januari 2008

kesekian kali

Kesekian kali kini ku berdiri
Tulus hati dihadapanmu
Masih terus merayu dengarkan aku
Jalan yang berliku
Sepanjang hayatmu
Aku juga merasainya
Lantas aku mengerti dan memahami
Lihatlah ke dalam hatimu
Percikan cahaya
Yang akan membara
Mmenjadi penerang segala yang didepanmu
Lihatlah jua ke hatiku
Aku lah temanmu
Terimalah aku
Kita kan bersama mengharung dunia fana ini
Kesekian kali ku ulangi lagi
Tidak kan pudar keyakinanku
Yang kau akan berdiri atas kemuncak tinggi

(nyanyian munif dan suhaimi)
Baca artikel penuh...

Selasa, 8 Januari 2008

Tahun baru Hijrah


Walaupun tidak berapa pandai nak menulis dan menyusun ayat yang cantik, tetapi teringin juga nak bercerita sedikit tentang sambutan tahun baru. Bukan ikut bulan masihi, tetapi bulan Islam.

Sedar tak sedar kita akan menempuh tahun baru hijrah yang akan disambut pada hari khamis ini. Khamis ini bersamaan 1 Muharam 1429 hijrah, bermulanya tahun baru bagi kalendar Islam.

Namun rata-rata di kalangan kita tidak begitu ghairah untuk menyambut tahun baru hijrah ini berbanding tahun baru masihi. Malah tidak kurang juga yang tidak tahu yang tahun baru hijrah akan tiba tidak lama lagi. Adakah anda tahu?

Liputan media juga kurang hebat mengenai kedatangan tahun baru 1429 hijrah ini. Iklan yang dibuat tidak semegah sambutan tahun baru 2008, malah ada yang saya lihat dibuat ala kadar, setakat nak bagi ada sahaja daripada tak ada langsung.

Kalau tidak silap saya kalendar tahun hijrah ini diperkenalkan dan disusun dengan baik pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a. Beliau menyusun calendar bulan Islam ini kerana tidak mahu mengikut dan terpengaruh dengan kalendar masihi yang menggunakan tarikh kelahiran nabi Isa ‘alaihissalam (jesus bagi kristian) bagi permulaan tahun masihi. Oleh itu permulaan tarikh hijrah nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke Madinah dijadikan sebagai tanda permulaan tahun Hijrah.

Namun pada hari ini rata-rata penggunaan kalendar masihi mendominasi perkiraan tarikh dan hari kita pada hari ini. Penggunaan dan perkiraan kalendar tahun hijrah kurang diambil peduli walaupun oleh umat Islam sendiri. Kalendar hijrah hanya diingati apabila tiba hari perayaan dan sambutan dalam Islam seperti hari raya, bulan puasa (Ramadhan) dan awal muharam.

Hmmmm….bercakap mengenai tahun hijrah ini…Adakah anda tahu tarikh lahir anda dalam bulan Hijrah. Saya dilahirkan pada 10 muharam (mengikut apa yang diberitahu oleh ibu saya). Maksudnya saya akan menyambut ulangtahun kelahiran saya mengikut bulan Islam ini dalam masa terdekat ini. Anda pula bagaimana?

Untuk mengetahui pertukaran tarikh masihi ke tahun Hijrah, rasanya tidak sukar. Boleh gunakan search engine untuk mencari laman web yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Namun tarikh tersebut tak semestinya tetap, berkemungkinan terdapat ralat/beza sebanyak satu hari.

Walau apa pun selamat menyambut tahun baru. Semoga tahun ini kita menjadi insan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Sama-sama kita ambil iktibar dari peristiwa hijrah Rasulallah s.a.w.
Baca artikel penuh...

Ahad, 6 Januari 2008

berkeluarga.....

Pada tahun baru ini saya mendapat perkhabaran gembira. Seorang kawan yang masih saya hubungi akan bertunang dalam jangkamasa terdekat ini...Dalam bulan dua..Siapa orangnya akan dirahsiakan terlebih dahulu, atas permintaan tuan punya badan. Walau apa pun tahniah. Semoga majlis tersebut akan berjalan dengan lancar.


Kenang-kenang semula satu demi satu kawan-kawan seangkatan semasa disekolah dahulu sudah mendirikan rumahtangga. Kebanyakannya perempuan. Yang lelaki mungkin lewat sikit, biasalah kena kerja keras cari belanja nak tanggung anak orang. Masa ini juga dapat digunakanuntuk berjumpa kembali teman-teman lama, yang rata-rata semakin mengembang tubuh badan (termasuk tuan punya blog).


Rancak berbual kisah lama dan bertanyakan perkembangan semasa. Namun satu soalan yang rata-rata sukar dijawab oleh kawan-kawan dan individu yang diajukan soalan ini...


'kau bila pulak?' atau ' bila lagi nak kawin?'


Saya sendiri mengalami kesukaran untuk menjawab soalan itu secara tepat, walaupun ditanya oleh IBU sendiri. Kadang-kadang terfikir juga. Usia terus meningkat. Kerja masih belum tetap/belum ada kerana baru sahaja menamatkan pengajian dengan keputusan yang tidak berapa cemerlang. Calon pula......ini lagi hal yang sensitif...saya percaya masing-masing ada cerita sendiri bila sentuh hal berkenaan calon ni.


Walau apa pun...Tahniah kepada sahabat-sahabat yang akan berumahtangga


Kepada yang belum, berdoa banyak-banyak...Smbil-sambil menimba ilmu untuk menempuh alam perkahwinan. Jangan tunggu dah nak kawin baru sibuk-sibuk nak belajar. Siapkan diri lebih awal agar tak kelam kabut nanti.

Baca artikel penuh...

Sabtu, 5 Januari 2008

Review buku- Wang, Anda dan Islam


Selalunya bila sebut halal dan haram, kita lebih tertumpu kepada hal-hal yang berkaitan dengan makanan. Tetapi ramai di kalangan umat Islam hari ini kurang peka hal Halal dan Haram dalam urusan Muamalat pada hari ini.



Oleh itu buku ini bagi saya amat bagus dan perlu dimiliki oleh individu yang ingin membebaskan diri daripada perkara haram dalam urusan perbankan dan kewangan. Selama ini kita ambil ringan dan ambil mudah dalam perkara ini tanpa kita sedari, kita selama ini turut membantu menjayakan institusi Riba' yang jelas nyata diharamkan oleh Islam.

Buku ini ditulis oleh Ustaz Zaharuddin yang sekarang bertugas sebagai pensyarah di UIAM Gombak. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam institusi kewangan Islam dan pernah bertugas sebagai penasihat Syariah seperti di RHB Islamic Bank.

Kebanyakan tajuk yang disentuh dalam buku ini melibatkan urusan kewangan semasa yang sememangnya kita jumpa saban hari. Dalam buku ini juga dijelaskan berkenaan halal dan haram dalam perbankan konvensional serta alternatif yang ditawarkan oleh perbankan Islam. Hal berkaitan Insurans konvensional turut dijelaskan kebatilannya dengan mencadangkan takaful sebagai alternatif.

Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini boleh melayari web zaharuddin.net

Bagi saya, buku ini wajib dimiliki oleh mereka yang benar-benar inginkan perubahan dan keberkatan dalam urusan muamalat mereka.


Mencari yang halal itu fardhu...!

Pilihan di tangan kita.
Baca artikel penuh...

Jumaat, 4 Januari 2008

kenapa saya menulis?????

Soalan ini bukan saja saya utarakan untuk diri sendiri, tetapi kepada sahabat-sahabat lain yang mempunyai blog masing-masing. Kenapa menulis di blog?


Kita mempunyai alasan masing-masing untuk menulis di blog. Namun bagi saya dengan menulis ini dapat juga meredakan sedikit ketegangan dan tekanan di hati. Atau boleh juga menjadi tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Namun perlu juga kita jaga adab-adab semasa menulis agar tidak melampau batas.


Dengan cara ini juga saya berharap dapat memperbaiki bahasa dan juga penulisan saya yang sekejap nampak formal, sekejap nampak cincai. Kesilapan memang sentisa wujud. Bagi saya tak mengapa membuat silap, yang penting kita belajar dari kesilapan itu. Yang salahnya, berulang kali buat silap dan tak mahu ambil pengajaran. Harap kita semua dijauhkan dari perkara seperti itu.


Saya juga amat berharap agar apa yang ditulis dan dinukilkan di blog ini dapat memberi faedah kepada yang membaca walaupun sedikit. Walaupun banyak entry berkisar tentang pengalaman dan perjalanan peribadi, harap masih ada pengajaran yang dapat dikutip oleh pembaca.


Kepada sahabat-sahabat yang lain. Kita perlu ingat....Kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita tulis....Oleh itu diharap agar apa yang kita tulis, bukan sekadar tulisan dan omong kosong sahaja, bukan untuk hiburan dan luahan perasaan sahaja, tapi biarlah terselit sedikit mesej dan pengajaran yang boleh diambil oleh pembaca.


Semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi penulis yang dapat memberi manfaat kepada pembaca.


Ingat....kita bertanggungjawab atas setiap tindakan kita...

Baca artikel penuh...

Selasa, 1 Januari 2008

Menteri yang sumbang...!!!!!!!

Saya amat kecewa hari ini dengan kualiti pemimpin negara kita apabila melihat pengakuan seorang menteri yang mengaku bahawa dia adalah orang yang dimaksudkan dalam rakaman hubungan seks yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.

Kecewa kerana seorang pemimpin yang mempunyai reputasi yang tinggi, yang mempunyai imej yang baik, mendapat kepercayaan daripada orang ramai, tergamak melakukan perbuatan tersebut. Tak perlu disebut siapa menteri itu, anda pasti tahu sekiranya peka dengan menonton berita di TV dan suratkhabar.

Walaupun individu yang melakukannya adalah cina, bukan muslim, tetapi oarang tersebut adalah pemimpin dalam masyarakat dan pemimpin sepatutnya menjadi contoh. Itu baru satu kes yang dapat dibongkar, bagaimana pula jika ada kes-kes yang berjaya disorok daripada pengetahuan masyarakat?

Saat ini saya semakin ragu-ragu dengan akhlak dan tingkah laku pemimpin kita.
Kita semakin hari semakin dewasa....Dan kita sepatutnya ambil tahu dan peka dengan hal-hal seperti ini... Baca artikel penuh...

tahun 2008

Alhamdulillah masih ada kesempatan menulis....Sempat curi-curi masa keluar pergi ke CC untuk melayari internet.

Tahun 2007 sudah berlalu, muncul pula tahun 2008..Rasanya seperti biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang menarik perhatian dengan kedatangan tahun 2008 ini melainkan menyedari umur yang semakin bertambah dan makin risau dengan amalan yang masih tidak cukup andai dijemput menghadap TUAN PUNYA DUNIA dalam jangka masa terdekat.....

Malam tahun baru saya hanya duduk dirumah selepas membuat sedikit latihan panas suara bersama rakan kumpulan nasyid. Menyaksikan sambutan tahun baru di kaca televisyen. Rata-rata hangat dijayakan dengan konsert nyanyian dan tari-menari, sama seperti tahun sebelumnya. Kasihan melihat mereka yang terkinja-kinja, memekik-mekik sempena kedatangan tahun baru, tidak faham apa yang disambut sebenarnya. Saya yang bosan menukar rancangan melihat cerita Starship Troopers yang ditayangkan dirancangan lain. Itu lebih baik rasanya dari sakit hati melihat telatatah umat melayu menyambut tahun baru 2008.

Cara Sambutan tahun baru 2008

Rata-rata sambutan dibuat dengan konsert dan nyanyian artis. Itu sebagai tarikan yang utama. Saya hanya tertarik dengan sambutan yang dianjurkan oleh Masjid Al-Syakirin KLCC yang menganjurkan forum dan persembahan nasyid oleh kumpulan Fareast dan usatz Akhil Hayy....Rugi rasanya tak sempat hadir.

Ditempat-tempat lain, rata-rata sambutannya sama. Bangsar, dataran merdeka, KLCC, Sunway dan banyak lagi tempat, saya kira sambutannya lebih menjurus kepada hiburan kosong melalaikan, walaupun ada tempat yang dihadiri oleh Perdana Menteri kita Pak Lah. Dapat dijangka muda-mudi berpesta dan berpeleseran hingga lewat pagi tanpa hala tuju. Dibukit bintang disambut dengan beribu-ribu botol minuman keras yang diteguk dan di jirus umpama air mineral.

Saya sedikit bersyukur kerana melihat Buletin Utama yang seolah-olah menegur tingkahlaku anak-anak muda yang dilanda masalah sosial yang hebat ini dengan membandingkan sambutan yang penuh dengan hiburan yang melalaikan ini dengan sambutan di Masjid Al-Syakirin KLCC. Harap perkara ini dapat disedari dengan lebih meluas lagi oleh masyarakat kita. Sesiapa yang menonton Buletin Utama 1 januari 2008 dapat melihat bagaimana lekanya muda mudi menyambut tahun baru di Bukit Bintang. Dan saya terdengar ayat pembaca berita "adakah ini pemuda harapan bangsa?" (kalau tak silap la...)

Saya bukan anti hiburan

Saya bukan anti muzik

Saya suka hiburan

Saya juga sangat sukakan muzik

Namun sebagai umat Islam kita perlu tahu setiap perkara ada batasnya dan tidak boleh melampau.

Selamat menyambut tahun baru 2008. Moga tahun ini kita menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya.

Baca artikel penuh...

E-book

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...